Transformasi diri mualaf

Transformasi diri mualaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mualaf, saudara baru, saudara kita atau saudara Muslim adalah mereka yang dijinakkan hati menerima Islam dan melafazkan dua kalimah syahadah. Mereka adalah golongan yang baru memeluk Islam.

Pemberian zakat bertujuan memotivasi dan memantapkan keislamannya dan beramal dengan ajaran Islam.

Kecemerlangan dalam menyantuni saudara baru, memanifestasikan pendakwah saudara baru yang mempunyai keyakinan tinggi, keutuhan motivasi dan disiplin diri yang mana akhirnya akan menatijahkan kegemilangannya dalam membawa risalah Islam kepada masyarakat.

Pelbagai pihak perlu mengambil perhatian ke atas pembangunan dan pemerkasaan saudara baru, iaitu diri saudara baru sendiri, organisasi dakwah terdiri daripada kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pendakwah, keluarga dan masyarakat.

 

Cadangan
Reformasi saudara baru kepada akidah Islamiah yang diyakini menuntut mereka akur kepada taklifan syariat Islam ke atas dirinya.

Segala cabaran dalaman mahupun luaran perlu dilalui dengan kesabaran dan keredaan.

Persediaan yang rapi dalam soal emosi, fizikal dan mental adalah langkah positif untuk menghadapi mehnah kehidupan di dunia.

Dalam usaha menyesuaikan diri dengan cabaran psikologi dan cabaran dunia mengisyaratkan usaha berdakwah kepada masyarakat yang semakin hari semakin mencabar. Maka di sini peranan ilmu ajaran Islam adalah perlu dititikberatkan. Seringkali kita mendengar kalimah berilmu, beriman dan beramal.

Maka jelaslah kepada kita bahawa ketiga-tiga kalimah ini mempunyai konsepnya yang tersendiri.

Dengan penggabungan ketiga-tiga konsep akan melahirkan insan yang berakidah benar, berakhlak mulia serta berdiri di atas landasan syariat yang benar-benar dituntut dalam ajaran Islam.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat menjelaskan tentang keutamaan ilmu.
Antaranya firman Allah SWT bermaksud:

Allah SWT mengangkat orang yang beriman daripada golongan kamu semua dan juga juga orang yang dikurniai ilmu pengetahuan hingga beberapa darjat, Allah SWT mengetahui apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah: 11 ).

Ayat ini menjelaskan kepada kita Allah SWT mengangkat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan beberapa darjat.

Oleh yang demikian, untuk menjadi Muslim yang mukmin memerlukan ilmu pengetahuan sebagai alat panduan kehidupan.

Oleh itu, saudara baru perlulah melengkapkan diri dengan ilmu agama Islam demi untuk merealisasikan matlamat ditetapkan. Tidak hanya berpegang kepada akidah yang sahih (Islam) malah memerlukan pengukuhan dan pemantapan akidah tersebut.

 

TUNTUT ILMU
Saudara baru perlu terima hakikat menuntut ilmu adalah satu kefarduan dan mendalami ilmu dengan mempelajari ilmu akan membawa kepada makrifatullah serta mendatangkan rasa takut kepada Allah SWT.

Menuntut ilmu adalah ibadah, mengulang-ulanginya ibarat bertasbih, pembahasannya merupakan jihad, mengajarkan kepada orang lain yang belum mengetahuinya adalah sedekah dan menyerahkannya kepada ahlinya merupakan pendekatan diri kepada Allah SWT.

Mengamalkan ilmu akan membezakan seseorang itu antara yang berilmu dan sebaliknya.

Secara tidak langsung ilmu yang disebatikan dengan amalan menjadi salah satu metodologi dakwah yang amat berkesan iaitu dakwah bil-hal.

Dengan kedudukan masyarakat kini, walaupun dakwah bil-lisan sering dipraktikkan oleh pendakwah, keberkesanannya masih kurang jelas.

Maka keutamaan dakwah bil-hal perlu diadaptasi dalam kedudukan sosial hidup masyarakat kini, khususnya masyarakat bukan muslim di Malaysia.

Selain itu, penampilan akhlak saudara baru juga memainkan peranan penting dalam usaha berdakwah kepada masyarakat mereka sendiri khususnya dan masyarakat amnya.

Akhlak Islamiah diajar oleh Rasulullah SAW perlu dikaji, dipelajari, difahami dan seterusnya diamalkan dalam segenap kehidupan.

Dengan itu, keindahan akhlak yang dituntut dalam Islam dapat membentuk hubungan sosial yang baik dan amat perlu untuk ditonjolkan kepada masyarakat bukan muslim khususnya dan masyarakat amnya.

Hubungan baik dengan keluarga kandung dan sanak saudara perlu dikukuhkan demi menghapuskan persepsi negatif mereka berkenaan agama Islam dan pengamalnya.

 

DAMPINGI BUKAN ISLAM

Dalam usaha mendekati dan mendampingi bukan Islam yang lain, saudara baru perlu mengekalkan hubungan silaturahim yang terbina dalam keluarga kandung mereka sebelum memeluk Islam dan diteruskan lagi selepas memeluk Islam.

Hubungan yang erat ini akan menghapuskan jurang prejudis dan persepsi negatif mereka kepada saudara baru khususnya dan Islam amnya.

Hubungan erat dapat dilakukan dengan tidak memutuskan hubungan darah daging antara saudara baru dengan keluarga kandungnya.

Amalan menziarahi sahabat handai dan jiran-jiran yang ketika sakitnya, di hari perayaannya dan di semua majlis-majlis seperti majlis perkahwinan dan sebagainya akan mengeratkan hubungan silaturahim antara saudara baru dan keluarga.

Secara tidak langung ia memberi persepsi kepada bukan Islam bahawa tidak ada halangan atau jurang yang membataskan hubungan silaturahim antara mereka yang telah dan belum Islam.

Selagi perkara tersebut tidak bercanggah dengan syariat dan moral serta merosak imej Islam, maka adalah digalakkan untuk sama-sama meraikannya.

Dengan yang demikian, cabaran psikologi dihadapi saudara baru dapat ditangani apabila mereka cuba melakukan segala suruhan agama dan menjauhi larangannya.

Selain itu, saudara baru juga perlu bersikap reda, tawakal dan sabar serta yakin kepada Allah SWT dalam melalui kehidupan yang penuh cabaran.

Mereka seharusnya berfikiran terbuka dalam menghadapi mehnah kehidupan. Setiap masalah perlu dikongsi bersama sesiapa yang mereka percayai dan pergaulan dengan kelompok insan yang dapat meningkatkan kefahaman kepada agama Islam dan mengukuhkan pegangan mereka.

Dakwah Islamiah diperlukan untuk membawa keluar kejahilan manusia daripada lembah yang gelap kepada cahaya Islam dan mengislahkan masyarakat yang kian rosak kehidupan sosialnya.

Selain itu dakwah adalah amanah Allah SWT kepada khalifah-Nya dan Islam dapat disebar melalui manusia sahaja.

Dalam usaha membawa manusia ke jalan Allah SWT untuk mencapai keimanan dan ketakwaan kepada-Nya, seterusnya dapat membina ummah yang kuat dan negara Islam yang diredai serta matlamat yang paling agung adalah mencapai keredaan dan syurga-Nya, pasti wujud pelbagai cabaran dan mehnah yang akhirnya membawa kepada cabaran psikologi yang perlu ditanggung oleh saudara baru.

Maka, kesedaran diri saudara baru untuk memajukan diri, peranan masyarakat, organisasi dakwah dan para pendakwah diperlukan untuk mengimbangi dan seterusnya dapat membangun serta memperkasakan saudara baru yang lestari.

PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN