Mushi, Baby penyeri hidupNatasha

Mushi, Baby penyeri hidup Natasha

ARNAB merupakan haiwan yang sensitif dan memerlukan perhatian khusus dalam penjagaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBELA haiwan peliharaan telah menjadi kebiasaan dalam kehidupan ramai individu di seluruh dunia.

Cinta terhadap salah satu makhluk ciptaan Tuhan itu mengajar manusia erti kasih sayang selain memupuk rasa tanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka.

Salah seorang pencinta haiwan yang ingin dikenali sebagai Natasha Merissa berpengalaman memelihara arnab lebih lima tahun dan kini memiliki dua ekor arnab daripada baka yang berbeza.

NATASHA Merissa bersama arnab peliharaannya, Mushi.

Kehadiran haiwan kecil yang diberi nama sebagai Mushi dan Baby itu bukan sahaja membawa keceriaan dan kedamaian malah dianggap sebagai teman setia yang sering mengisi kekosongan hari-harinya.

BAKA BERBEZA

Pemilik kepada dua ekor arnab itu berkata, dia mula tertarik untuk memelihara spesis tersebut selepas mengenali suaminya yang merupakan seorang pencinta haiwan.

 

“Pada mulanya, saya mahu bela kucing sahaja. Lama kelamaan saya mula tertarik dengan kecomelan dan keunikan arnab,” katanya

Bercerita lebih lanjut mengenai arnab yang dipelihara, Natasha berkata, arnab jantan itu mempunyai karakter dan keunikan tersendiri lantaran ia daripada baka yang berbeza.

“Mushi telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya sejak lima tahun yang lalu. Mushi adalah dari spesies Netherland Dwarf yang mempunyai kaki pendek, telinga pendek dan saiz yang kecil.

“Mushi merupakan seekor arnab yang lebih suka bersendiri dan hanya mendekati orang apabila dia berasa selesa.

“Baby pula merupakan anak Mushi dan berusia satu tahun lapan bulan. Baby berasal dari baka Holland Lop yang terkenal dengan telinga panjang dan jatuh ke bawah.

“Yang membezakan Baby dengan bapanya adalah sifatnya yang manja dan suka dibelai malah Baby juga lebih aktif berbanding Mushi,” jelasnya.

SENSITIF MUDAH SAKIT

Menjaga arnab memerlukan pengetahuan daripada penjangaanya. Sekiranya tidak dijaga dengan baik, haiwan itu mudah dijangkiti penyakit dan berupaya untuk mati.

Arnab merupakan haiwan yang sangat sensitif dan perlu dijaga dengan rapi tidak kira daripada segi pemakanan, habitat mahupun cara manusia berinterasi dengan mereka.

Menurut Natasha, arnab memerlukan habitat yang luas dan selesa atau sebaiknya membiarkan haiwan itu bebas bergerak di kawasan yang selamat.

“Sekiranya arnab dikurung di dalam sangkar, ia akan menyebabkan spesis itu stres. Tekanan boleh memudaratkan kesihatan arnab.

“Arnab juga tidak suka disergah oleh manusia dan haiwan itu tidak sukakan bunyi yang bising kerana ia boleh mengejutkan serta melemahkan mereka.

“Pastikan tempat tinggal arnab sentiasa bersih. Najis arnab juga perlu dibersihkan dengan kerap untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan. Lagipun persekitaran kotor tidak sesuai dengan dirinya sebab ia mudah dijangkiti penyakit,” katanya.

Begitupun apa yang menarik mengenai arnab, ialah ia membersihkan diri sendiri dengan menjilat bulu seperti kucing.

PERUNTUK RM150 SEBULAN

Mengenai aspek penjagaan haiwan, Natasha berkata, anggaran kos diperlukan untuk menjaga keperluan dua ekor arnab  peliharaannya adalah sekitar RM100 hingga RM150 sebulan.

Menurut Natasha, dia cuma akan memastikan arnab miliknya bersih dengan rutin dandanan seperti memotong kuku dan menyikat bulu.

“Kebanyakan kos yang diperlukan adalah untuk makanan kerana arnab merupakan haiwan yang akan mengunyah setiap masa.

“Mereka akan makan dan membuang najis pada waktu yang sama. Disebabkan itulah haiwan ini sentiasa perlukan makanan.

“Saya akan sediakan rumput kering sepanjang masa dan berikan buah-buahan serta sayur-sayuran sebagai makanan sampingan secara berkala,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN