Kebaya Nyonya curi perhatian di Vienna

Kebaya Nyonya curi perhatian di Vienna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBAYA nyonya lambang budaya warisan peranakan yang lahir daripada perkahwinan campur antara pendatang Cina dan Melayu di Melaka.

Dihiasi dengan sulaman yang rumit dan warna-warna cerah, ia dianggap ikon seni yang menceritakan kisah tradisi, cinta dan pertukaran budaya di negara ini.

Baru-baru ini busana berkenaan mencuri perhatian wanita di Vienna, Austria apabila ia dipamerkan pada Pertunjukan Kebaya Malaysia di Kediaman Kedutaan Malaysia di bumi Mozart itu.

Pengerusi Perwakilan, Noor Azida Azmi yang juga isteri Duta Besar Malaysia berkata, program berkenaan dianjurkan dengan matlamat memperkenalkan busana anggun dan penuh kewanitaan itu di persada antarabangsa.

Ujarnya, inspirasi menganjurkan acara itu adalah hasil daripada persoalan dan pertanyaan warga Austria dan rakan diplomat asing berkaitan budaya Malaysia.

“Pertanyaan itu melahirkan keperluan untuk saya mempamerkan dan mengenengahkan kebaya
nyonya bersulam aneka warna ke mata dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada acara berkenaan, seramai 13 model dari Ahli Perwakilan Vienna dan juga kakitangan ambilan
tempatan di Kedutaan Besar Malaysia memperagakan kebaya pelbagai warna dan saiz.

Majlis dianjurkan Persatuan Wanita Kedutaan dan Perutusan Tetap Malaysia di Vienna, (Perwakilan Vienna) dengan sokongan Kedutaan Besar dan Perutusan Tetap Malaysia di negara itu, diketuai Tuan Yang Terutama Ikram Mohd. Ibrahim, Duta Besar Malaysia ke Austria.

Acara itu sejajar usaha negara mencalonkan Kebaya Nyonya didaftarkan dalam senarai UNESCO
Representative List of Intangible Cultural Heritage of Humanity.

Usaha itu bermula sejak 2023 lagi, bersama empat lagi negara ASEAN lain, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand supaya kebaya lebih dihargai dan dipandang tinggi serta kekal mengharungi masa dan perubahan zaman.

Keputusan bagi cadangan pencalonan kepada UNESCO hanya akan diketahui pada Disember 2024 sempena sesi ke-19 jawatankuasa antara kerajaan untuk menjaga warisan budaya tidak ketara.

Busana ini menjadi tradisi abadi yang terus memberikan inspirasi kepada pemakainya tanpa mengira usia dan menggayakannya dengan bangga dalam pelbagai acara.

Tidak hairanlah jika warga Austria dan diplomat asing terpegun dengan sulamannya yang cantik dan dibuat teliti, bermotifkan sumber alam semula jadi seperti bunga, rama-rama dan burung merak dan sebagainya.

MENARIK PERHATIAN
Antara menarik perhatian ialah kebaya ungu dengan sulaman bunga mawar rona merah jambu dipadankan dengan kain batik sarung biru dengan motif bunga.

Ia digayakan dengan kerongsang tiga beradik di bahagian depan baju dan kain batik sarung yang dibawa khas dari Malaysia.

Kebaya Nyonya curi perhatian di Vienna Noor Azida menggayakan baju kebaya merah labuh, sarat dengan sulaman mawar merah jambu dan daun hijau.

Batik sarung hitam dengan hiasan bunga menambah keanggunan.

“Kebaya ini dibawa dari tanah air untuk rakan-rakan Malaysia di Austria serta diplomat asing yang bertugas di Vienna, Austria yang ingin memiliki set Kebaya Nyonya yang lengkap dengan kain sarung batik serta kerongsang.

“Semua kebaya ini hasil sentuhan pereka tempatan, Lia Yunita Ruslan dari Leeya Kebaya Nyonya dari Shah Alam, Selangor,” katanya.

Sementara itu hasil keuntungan jualan setiap kebaya akan dimasukkan ke dalam tabung Perwakilan
Vienna bagi menjalankan pelbagai aktiviti mempromosi budaya dan keindahan Malaysia di masa akan datang.

Perwakilan Vienna turut aktif menjalankan pelbagai aktiviti selaras dengan objektif perlembagaan
Perwakilan adalah bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

Usaha ini biasanya dilaksanakan dengan bantuan pihak Kedutaan Besar dan Perutusan Tetap
Malaysia di Vienna, Austria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×