BAYANGKAN anda terperangkap dalam sebuah bilik gelap, sempit dan menyeramkan.
Bilik yang dipenuhi dengan aksara magis dan ramuanramuan untuk menghasilkan jampi.
Tidak dilupakan juga tengkorak dan kepala manusia memenuhi setiap sudut ruangan sempit itu.
Dalam keadaan cemas dengan pandangan yang samar-samar, anda perlu menyelesaikan teka-teki untuk meloloskan diri dari ruang itu.
Anda bukan sahaja perlu mencari jalan keluar tetapi harus menyelesaikan misi yang diberikan oleh orang atasan.
JEJAK MISTERI
Minggu lalu, saya berada dalam situasi yang sama di Breakout Escape Room.
Berita baiknya, saya tidak keseorangan. Saya bersama lima rakan yang lain. Jadi, kami ada enam otak untuk menyelesaikan misi dan mencari jalan keluar.
Breakout di NU Sentral menawarkan tujuh tema escape room, menampilkan 100 peratus jalan cerita asli dan tahap kesukaran yang berbeza-beza.
Teka-teki yang perlu diselesaikan juga unik dan penuh dengan elemen kejutan. Kami memillih escape room bertemakan The Secret of Hocus.
Dalam misi ini, kami dikehendaki untuk menjejaki penjenayah ahli silap mata yang misteri dan sukar ditemui, Mr. Hocus.
Pada mulanya, ia agak mengelirukan saya kerana tiada pengalaman menyertai permainan seperti yang ditawarkan di situ sebelum ini.
Namun begitu, setelah diberikan penerangan dengan lebih terperinci, saya dan rakan-rakan berasa lebih teruja untuk memulakan misi ini.

UJI MINDA
Dengan berbekalkan sebiji telefon bimbit dan lampu suluh kecil, kami berenam ditinggalkan di sebuah bilik gelap dengan tempoh selama 55 minit diberikan untuk menyelesaikan misi tersebut.
Objektif utama permainan ini adalah pemain perlu mencari petunjuk-petunjuk bagi menyelesaikan cabaran dan teka-teki yang disediakan.
Dengan urutan nombor yang disediakan, kami berenam bekerjasama menggeledah setiap sudut bilik gelap itu bagi mencari sebuah petunjuk.
Untuk misi pertama, kami perlu mendapatkan kunci yang boleh membawa ke bilik seterusnya menggunakan maklumat yang diperoleh melalui carian.
Namun, ia tidak semudah yang disangka apabila kami perlu memerah otak menggunakan kepakaran matematik masing-masing bagi mendapatkan nombor untuk membuka setiap mangga yang berkunci.
MISI SELESAI
Setelah berjaya meloloskan diri daripada satu bilik ke bilik seterusnya, permainan menjadi lebih sukar dan mengelirukan kami untuk mencari petunjuk selanjutnya.
Situasi menjadi kelam kabut apabila masa yang diberikan semakin berkurangan kerana ada beberapa misi lagi perlu diselesaikan sebelum tiba di garisan penamat.
Dengan masa yang berbaki kurang daripada lima minit, kami berjaya menemukan beberapa tongkat sakti yang dikatakan milik Mr. Hocus.
Tidak sangka kami mampu menyelesaikan permainan ini walaupun bermacam-macam karenah ditunjukkan oleh setiap ahli. Sepanjang permainan berlangsung, gelak tawa memenuhi setiap ruangan itu.
Secara keseluruhannya, permainan ini sangat menyeronokkan walaupun ia agak menguji minda namun pengalaman diperoleh bersama rakan-rakan menjadikan setiap detik lebih bermakna dan penuh dengan kenangan manis.










