Gaya hidup punca buah pinggang rosak

Gaya hidup punca buah pinggang rosak

MEWAH dalam soal makanan menjadi antara punca semakin ramai golongan muda mengalami penyakit kronik yang mencetuskan kepada kegagalan buah pinggang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU daripada tujuh dewasa di negara ini menderita penyakit buah pinggang kronik yang menyumbang kepada kadar kematian tinggi.

Pada 2022, lebih daripada 9,500 disahkan mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir (ESRD).

Jumlah pesakit ESRD dijangka mencecah 106,000 menjelang 2040 dan ia dijangka menelan kos sistem penjagaan kesihatan sebanyak RM3.2 bilion.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, amalan pemakanan dan gaya hidup tidak berdisiplin menjadi punca utama peningkatan berkenaan.

“Mewah dalam soal makanan dengan restoran beroperasi 24 jam menjadi antara punca semakin ramai golongan muda mengalami penyakit kronik yang akhirnya menyebabkan kegagalan buah pinggang.

“Generasi muda perlu dididik dengan amalan  pemakanan sihat dan lebih berdisiplin dalam soal makanan bagi mengelakkan penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi yang berkaitan dengan penyakit buah pinggang,” katanya pada Persidangan Nutrisi Buah Pinggang ke 5 anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi NKF, Datuk Dr. Zaki Morad dan Ketua Pegawai Eksekutif NKF, Khor Xin Yun.

Persidangan itu platform penting bagi pengamal perubatan menerokai bagaimana nutrisi berkesan dalam menangani penyakit buah pinggang dan mengurangkan kemerosotan organ itu.

Data NKF mendedahkan, kadar kematian akibat buah pinggang bagi pesakit dialisis, lebih kurang 15 peratus setiap tahun dengan antara 16 hingga 17 peratus meninggal dunia akibat pelbagai faktor seperti jangkitan kuman.

KESEDARAN DAN DIET

LIM SOO KUN

Pakar Nefrologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Lim Soo Kun berkata, pesakit buah pinggang perlu diberikan pendedahan mengenai amalan pemakanan sihat atau diet untuk melindungi buah pinggang mereka.

Katanya, sebelum buah pinggang semakin teruk, doktor perlu memberi sedikit kesedaran kepada pesakit untuk mengawal pemakanan.

“Walaupun diet mereka tidak begitu ketat, pesakit perlu mengelakkan makan protein dan garam terlalu banyak.

“Jadi, apabila keadaan buah pinggang menjadi lebih teruk, maka secara tidak langsung pesakit akan lebih mudah untuk mengawal pemakanan mereka kerana sudah terlatih untuk berbuat demikian,“ katanya.

Ujarnya, diet pesakit buah pinggang bergantung kepada tahap penyakit buah pinggang yang dialami iaitu bermula daripada tahap satu hingga lima.

Tahap tiga ke atas dianggap sebagai tahap serius.

Pesakit yang berada pada tahap serius iaitu tahap tiga ke atas, mempunyai keutamaan untuk mengawal diet atau pengambilan pemakanan.

Bagaimanapun, pesakit tidaklah diminta untuk mengawal semua pemakanan.

“Pesakit akan berputus asa sekiranya mereka diminta mengawal pemakanan sepenuhnya. Justeru, keutamaan dalam diet perlu ditentukan, apa yang perlu dikawal dan sebaliknya.

“Protein dan garam adalah sumber makanan paling penting untuk dikawal pengambilannya oleh pesakit buah pinggang. Bagaimanapun ramai pesakit tidak begitu faham mengenai kepentingannya,” katanya.

PESAKIT TIDAK TAHU

Apa yang lebih mencabar apabila kebanyakan pesakit tidak tahu langsung mengenai apakah yang dikatakan protein dan sumbernya, menyebabkan mereka berdepan masalah untuk mengawal makanan.

Protein merangkumi sumber daripada haiwan seperti  ayam, daging, ikan, telur dan produk tenusu.

Protein sumber daripada  tumbuhan pula adalah yang diperbuat daripada kacang soya selerti tauhu, tempe dan fucuk.

“Keperluan diet turut mengambil kira berat badan pesakit. Biasanya satu bahagian protein seperti ayam yang boleh dimakan pada satu masa adalah sebesar kotak mancis saja.

“Pesakit juga perlu tahu protein daripada jenis apa yang lebih baik.

“Pesakit perlu campur sumber protein haiwan dan sayur ke dalam hidangan. Tidak boleh makan protein haiwan saja. Memang ada kajian, orang yang makan dari protein tumbuhan, buah pinggang lebih sihat,” kata Dr. Lim.

Tambahnya, selain itu, pengambilan daging merah juga perlu dielakkan.

Banyak kajian menunjukkan, pesakit buah pinggang yang makan daging merah akan menjadikan buah pinggang bertambah teruk.

Pesakit perlu mengubah diet secara sedikit demi sedikit kerana memang sukar untuk mengamalkannya secara sempurna.

Mengamalkan diet dalam 30 hingga 60 peratus sudah cukup baik berbanding tidak melakukannya langsung.

MARIA CHAN

Pakar Diet Nefrologi, Universiti Wollongong Australia, Dr. Maria Chan berkata, matlamat diet bagi pesakit buah pinggang adalah untuk menambah makanan berasaskan tumbuh-tumbuhann dalam setiap hidangan.

“Bagi melindungi buah pinggang daripada cepat merosot daripada fungsinya dan jantung pesakit, diet dicadangkan adalah untuk makan lebih banyak buah buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.

“Penuhkan separuh pinggan dengan sayur, kurangkan makanan berkanji atau karbohidrat ringkas. Sebaliknya makan karbohidrat kompleks yang ditambah dengan sayur yang dimasak atau salad,” katanya.

Pilih untuk makan nasi daripada beras perang kerana ia mengandungi lebih serat dan lebih berkhasiat.

Ia juga baik untuk kesihatan kardiovaskular.

Kata Dr. Maria, sesetengah individu, mereka mungkin tidak biasa makan beras perang kerana tidak berasa kenyang.

Sebagai pilihan, tiada salahnya mencampur beras putih dan beras perang.

Sekurang-kurangnya pesakit dapat lebih serat.

Dr. Maria berkata, warga emas yang mempunyai masalah buah pinggang tetapi belum menjalani dialisis juga masih perlu mengawal diet masing-masing terutama pengambilan protein, sodium dan potasium.

Bagaimanapun sekiranya masih bermasalah dalam pengambilan pemakanan atau tidak mempunyai selera, pakar dietetik perlu membantu menyediakan diet lebih realistik, mudah atau mengambil makanan tambahan.

“Apa yang penting pesakit perlu mengambil makanan mengandungi rendah protein, sodium dan potasium tetapi tinggi mengandungi kalori yang membantu mereka untuk merasa kenyang pada setiap hidangan.

“Minum susu formula boleh menjejaskan lagi buah pinggang kerana kandungan fosforus, potasium dan kalsium di dalam susu rendah lemak tidak sesuai untuk pesakit buah pinggang.

“Fosforus adalah mineral yang boleh berkumpul di dalam darah apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik. Ini akan menyebabkan kalsium ditarik daripada tulang,” katanya.

BERI MOTIVASI

Kejayaan dalam mengawal diet boleh memberi motivasi dan semangat kepada pesakit untuk terus mengawal kesihatan buah pinggang daripada terus merosot dengan cepat.

Dr. Lim berkata, mengawal diet bagi pesakit adalah umpama marathon, tanpa galakan mereka akan mudah putus asa dan kembali kepada gaya pemakanan lama.

Ujarnya pembabitan dan sokongan keluarga penting untuk memastikan pesakit mengamalkan gaya pemakanan sihat.

“Kalau pesakit faham diet yang sihat tetapi keluarga tidak faham pun tidak berkesan.

“Sesetengah pesakit mungkin mengambil masa yang lama untuk mengubah gaya pemakanan.

“Pakar nefrologi tidak boleh menjalankan tanggungjawab memantau diet pesakit sendiri tetapi mereka perlu kerjasama dengan pakar pemakanan,” katanya.

Tegasnya, bukan semua pakar pemakanan memahami keperluan diet pesakit buah pinggang.

Kebanyakan mereka lebih terlatih dalam pengurusan diet pesakit diabetes.

Walaupun diabetes dan buah pinggang saling berkaitan tetapi ada perbezaannya daripada segi diet.

Tidak semua hospital mampu merancang diet untuk pesakit buah pinggang dengan teliti kerana tiada pakar pemakanan, jadi pengurusan diet pesakit buah pinggang dijalankan secara am saja.

“Kita hendak lebih ramai pakar dan dietitian faham kepentingan kawalan diet ini.

“Walaupun kini terdapat ubat yang berkesan untuk melindungi buah pinggang dan jantung, namun jika tidak menjaga pemakanan, ubat tidak berkesan sepenuhnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN