SANGGUP berbelanja barangan dapur dan kelengkapan bernilai hampir RM1,000 dalam sebulan semata-mata untuk mendapatkan cenderahati berupa sampul raya.
Tidak cukup dengan itu, Nurhafizah Mohamad, 41, aktif menyertai pelbagai pertandingan secara dalam talian bagi membawa pulang barangan berkenaan.
Daripada keseluruhan 50 kuiz yang disertai pada Ramadan lalu, 21 kemenangan berpihak kepadanya.
Sehingga kini, surirumah dari Batu Pahat, Johor itu sudah mengumpul hampir 6,000 sampul raya dengan 4,000 daripadanya tersimpan kemas dalam kira-kira 40 fail dan album gambar.

Setiap satunya dikelaskan mengikut kategori atau tema tertentu seperti tahun, institusi perbankan, syarikat atau jenama, pusat beli-belah, warna, makanan dan minuman (F&B), baju diikuti rumah kampung.
Langkah itu bertujuan memudahkannya merekod dan mengenal pasti koleksi, saban tahun.
Manakala, baki 2,000 lagi belum dimasukkan ke dalam fail termasuk 600 sampul yang baharu diterima pada Aidilfitri lalu.
Antara yang paling banyak dikumpul ialah kategori syarikat atau jenama iaitu sebanyak 13 fail diikuti tahunan dan bank yang masing-masing 10 fail.
Gara-gara hobi itu juga, rutin Nurhafizah bertukar sibuk setiap kali menjelang Ramadan dan raya.
Mengimbas penglibatan awalnya, ibu lima anak itu berkata, segalanya bermula selepas melahirkan cahaya mata sulung, 16 tahun lalu.
Ketika sambutan Syawal, si kecil mereka menerima banyak duit raya daripada saudara-mara dan kenalan.

“Sampul-sampul yang diterima pun cantik-cantik belaka dan daripada situ saya mula simpan sebahagiannya bagi diguna semula pada tahun depan.
“Niatnya, semata-mata untuk menyenangkan saya dan suami memberikan duit raya kepada kanak-kanak lain tanpa perlu membeli sampul baru,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Ditakdirkan pada 2009, Nurhafizah bersalin anak kedua dan jumlah sampul raya yang diterima makin bertambah bagi dua cahaya matanya.
Aktiviti menyimpan sampul raya yang cantik bagi diguna semula itu kemudian berterusan hingga memiliki anak bongsu yang kini berusia tujuh tahun.
“Sepanjang 2008 hingga 2017 itu, ia lebih kepada suka-suka sahaja tetapi saya mula serius mengumpul bermula 2018 setelah menyertai kumpulan, Hobi Kumpul Sampul Duit Raya di laman Facebook.
“Daripada situ, saya dapat kenal banyak syarikat perbankan dan kewangan di ibu kota yang sebelum ini tidak pernah diketahui kewujudannya memandangkan saya tinggal di pekan kecil di Batu Pahat.
“Kebanyakan sampul-sampul raya keluaran institusi itu menarik, jadi perlahan-lahan saya kumpulkan setiap satunya hingga penuh fail kategori perbankan,” katanya.
Nilai sentimental
Setiap sampul memiliki nilai sentimental tersendiri kerana di sebaliknya tersimpan kenangan Nurhafizah dengan insan tersayang.
Justeru, menjadi satu kerugian sekiranya barangan tersebut dibuang begitu sahaja.
Apatah lagi ia menggambarkan nilai dan budaya masyarakat Melayu terutama menerusi rekaan, bentuk dan imej yang unik selain kata-kata atau pantun indah.
Antara yang masih dijaga rapi ialah sampul keluaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang diberikan Allahyarham nenek suaminya kepada anak sulung pada 2008.

Selain itu, dia turut memiliki sampul tertua iaitu keluaran Bank Islam pada 1998 yang dihadiahkan oleh kakak ipar.
“Tahun ini, saya tertarik dengan sampul berbentuk mangkuk tingkat keluaran Ajinomoto kerana tidak pernah ada rekaan seumpama itu dalam koleksi.
“Sampaikan saya sanggup membeli barang di platform e-dagang popular semata-mata untuk mendapatkan sampul itu,” katanya tertawa.
Walaupun Aidilfitri sudah berlalu, tetapi Nurhafizah masih lagi mencari sampul keluaran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Dia turut mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak termasuk warga syarikat itu yang bermurah hati untuk menghadiahkan sampul raya tersebut.
Kebiasaannya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) hanya menyimpan dua keping sampul bagi setiap rekaan dan selebihnya digunakan untuk aktiviti pertukaran.
Saling tukar dengan pengumpul
Selain terlibat dalam pertandingan dan pembelian, Nurhafizah turut bertukar-tukar sampul dengan pengumpul lain bagi menambah koleksinya.
Mereka terdiri daripada pengumpul tegar tempatan dan di negara jiran.
Tahun ini, sebanyak 39 sampul raya diterima menerusi aktiviti itu, manakala tahun lalu pula 50 sampul.
“Sebelum ini cuma bertukar-tukar dengan sahabat di Malaysia sahaja dan dua tahun lepas saya cuba buat dengan pengumpul di Singapura.
“Saya terima dua sampul raya keluaran Standard Chartered dan kucing tetapi disebabkan harga setem yang mahal melebihi RM10, saya hentikan aktiviti itu,” katanya.
Namun, Nurhafizah masih bertukar-tukar dengan rakan di Brunei, namun penghantaran dilakukan di alamat kenalan itu di Sarawak bagi menjimatkan kos setem.
Setakat ini, dia sudah memiliki empat sampul dari Brunei iaitu keluaran Toyota, syarikat telekomunikasi, Bank Baiduri dan Takaful.

Katanya, aktiviti pertukaran perlu mematuhi beberapa syarat antaranya merakam video selain penjejakan nombor pesanan.
Dengan adanya bukti tersebut, penerima tidak boleh menyalahkan penghantar jika bungkusan hilang atau gagal sampai ke destinasi.
“Pada 2019 dan 2020, sebanyak 10 sampul yang dikirimkan pada saya tidak sampai, mungkin ada masalah di peringkat penyedia perkhidmatan pos,” katanya.
Jejak kasih sahabat terpisah 24 tahun
Kemanisan terlibat dalam hobi itu membolehkan Nurhafizah bertemu semula dengan sahabat karib yang terpisah sejak 24 tahun lalu.
Kata wanita asal Bachok, Kelantan ini, kali terakhir pertemuan mereka adalah pada 1998 semasa menuntut di tingkatan tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor.
Apabila memasuki tingkatan empat, rakannya berpindah ke sekolah lain.
“Tahun lalu, disebabkan hobi ini saya dapat berjumpanya semula selepas dia nampak hantaran saya dalam kumpulan pengumpul.
“Dia terus mesej di Facebook dan beritahu ada simpan beberapa sampul menarik untuk dikirimkan pada saya,” katanya.

Surirumah ini berkata, hobi itu turut membantunya menambah ramai kenalan daripada pelbagai latar belakang.
Antaranya, sesama surirumah sepertinya selain guru, jururawat, pensyarah serta pegawai penjara.
“Walaupun secara maya tetapi keakraban kami seolah-olah sudah lama kenal dan mereka sangat menyokong antara satu sama lain dalam berhobi.
“Salah seorang daripadanya adalah rakan Cina yang tinggal di Kuala Lumpur dan kawan universiti yang merupakan pegawai bank, mereka banyak kirimkan sampul raya pada saya,” katanya.

Sokongan suami, anak-anak
Tanpa sokongan padu ahli keluarga, tidak mungkin Nurhafizah mampu meneruskan hobi itu dalam jangka masa yang lama.
Suaminya, Ahmad Fadli Sahali, 45, sanggup berhenti singgah di lebih 10 stesen minyak semata-mata untuk mendapatkan sampul raya buatnya .
“Kejadian ini berlaku beberapa tahun lepas ketika mahu mengambil anak sulung pulang dari asrama di Sungai Besar, Selangor untuk cuti Aidilfitri.
“Dia sanggup bersusah-payah singgah di setiap stesen minyak berbeza demi mahu cari sampul raya saya,” katanya terharu.

Malah, kelima-lima anaknya turut membantu menyimpan sampul menarik untuk diberikan kepadanya.
Keseronokan Nurhafizah mengumpul sampul raya turut menarik dua adiknya untuk terlibat dalam hobi sama.
“Selain itu, saya bersyukur kerana ipar duai termasuk di sebelah suami pun menyokong hobi saya dan mereka sentiasa simpan sampul untuk ditambahkan dalam koleksi,” katanya.









