SEBUT sahaja sastera rakyat, pasti kita terbayangkan Hikayat Sang Kancil dan Buaya, Bawang Putih Bawang Merah, Si Tanggang, Mahsuri,
Raja Bersiong mahupun Pak Pandir.
Hakikatnya, terdapat 1,001 kisah rakyat di Malaysia termasuk di negeri-negeri tetapi segelintirnya kurang popular atau tidak diketahui
umum.
Namun, seiring perkembangan zaman dan teknologi, wujud keperluan untuk mengolahnya ke dalam format yang lebih kreatif.
Namun, sastera rakyat dilihat seolah-olah terpinggir di platform digital.
Situasi itu mungkin berpunca akibat pelbagai faktor antaranya kurang kesedaran tentang kepentingan sastera rakyat yang harus dikekalkan sepanjang zaman.
Justeru, tidak hairanlah apabila kandungan warisan tempatan kurang mendapat sambutan berbanding cerita-cerita fantasi dan pengembaraan dari Barat.
Pensyarah kanan di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa
berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan usaha untuk mengangkat nilai dan budaya setempat dalam bentuk baharu atau lebih segar berkembang dengan agak perlahan.
Selain itu, kos penerbitan yang tinggi dan kekurangan sumber manusia berkemahiran tinggi dalam mengendalikan teknologi digital turut menjadi kekangan dalam penerbitan sastera secara digital.
Misalnya, kos pembikinan filem animasi Putih pada 2001 yang mencecah RM2 juta.
“Penerbitan buku-buku digital interaktif juga memerlukan sumber tenaga yang mahir dan arif tentang kandungan cerita.
“Malah, perkembangan teknologi yang pantas menyebabkan permintaan terhadap kandungan penerbitan sastera digital tidak kekal lama disebabkan formatnya yang berbeza dengan buku konvensional,” katanya selepas forum Program Borak Orang Timur (BOT): Maghi Baghi Cerita Rakyat Kelantan Terengganu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), baru-baru ini.

Forum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur itu turut menampilkan dua panel lain dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Ketua Jabatannya, Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad
Affendi di samping pensyarah, Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar.
Madiawati berkata, sastera rakyat Pantai Timur termasuk Terengganu juga masih belum meluas penerbitan secara digital.
“Jika adapun, genre puisi atau lagu rakyat seperti ulik mayang, watimang landok dan ayun buai kokek yang dimuat naik dalam YouTube.
“Karya sastera rakyat berbentuk prosa seperti Cerita Awang Si Jambul Lebat dan Tuan Puteri Bunga Telipot masih belum diterbitkan secara
penggunaan digital interaktif,” katanya.
Antara karya sastera rakyat yang terawal dialih ke bentuk digital ialah animasi pendek ikonik, Hikayat Sang Kancil yang ditayangkan pada 1983.
Karya-karya lain ialah animasi Putih dan filem muzikal, Magika yang diadaptasi daripada lagenda Melayu popular.
Seiring perubahan zaman, animasi yang diketengahkan cenderung mengangkat nilai setempat seperti Keluang Man, Usop Sontorian, Kampung Boy, Upin & Ipin dan Didi & Friends.
BINA PANGKALAN DATA
Antara format sastera digital yang biasa digunakan ialah e-book (flipbook atau interaktif), video dan aplikasi.
Namun, disebabkan kaedah pembacaan masyarakat yang makin berubah, wujud keperluan untuk mempelbagaikan karya sastera rakyat ke dalam bentuk digital.
Justeru, Madiawati menyeru semua pihak untuk memainkan peranan masingmasing bagi memastikan sastera rakyat terus subur dalam masyarakat sampai bila-bila.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan kewujudan pangkalan data sastera rakyat.
Inisiatif tersebut diyakini dapat memudahkan orang ramai untuk mencari dan meneliti cerita-cerita rakyat secara dalam talian.
“Sudah sampai masanya negara memiliki pangkalan data khas kerana sastera rakyat tiada tarikh luput.
“Usaha ini sekali gus dapat memastikan ia kekal relevan sepanjang zaman,” katanya.
Antara inisiatif lain untuk memartabatkan sastera rakyat yang dicadangkan Dr. Madiawati adalah pertandingan sastera visual dalam kalangan pelajar.
Katanya, platform itu boleh mencungkil bakat dan kreativiti golongan sasar bagi mempelajari sastera menerusi kaedah baharu.
“Teknologi tidak akan mematikan sastera rakyat, sebaliknya memberi inspirasi dalam menghasilkan karya yang lebih menarik,” katanya.
LAMBANG KEHIDUPAN, NILAI BUDAYA
Mengulas asal-usul sastera rakyat, Roslina berkata, ia bukan sekadar pengucapan semata-mata, malah menggambarkan kehidupan dan nilai budaya setempat.
Katanya, cerita rakyat Melayu memiliki intipati sangat unik dan istimewa kerana diwarisi secara lisan, namun berubah-ubah atau ditokok-tambah mengikut zaman.
Pengisiannya tidak meminggirkan nilai moral dan budaya yang menjadi amalan masyarakat.
Malah, tokoh-tokoh yang diketengahkan bersifat stereotipikal sebagai teladan dan panduan ramai.
“Sebelum ada media perantara seperti cetak dan elektronik, sastera rakyat disampaikan oleh penglipur lara bagi tujuan hiburan serta mendidik.
“Struktur alurnya sederhana dengan di akhir cerita membawa plot gembira untuk menghiburkan khalayak yang sudah penat bekerja di waktu
siang,” katanya.
Kebiasaannya, sastera rakyat disampaikan di sebelah malam, dengan orang ramai berkumpul untuk menyaksikan penglipur lara bercerita.
Proses penceritaan itu turut diselang-seli dengan bermain alatan muzik, menggerakkan badan di samping menggunakan gaya bahasa yang terlalu indah untuk mendidik masyarakat secara tersurat dan tersirat.
Selain itu, tukang cerita turut menyelitkan unsurunsur keajaiban bagi menggambarkan suasana menarik untuk escapisme atau fantasi khalayak.

KONSEP CERITA BERBEZA IKUT USIA
Penghasilan bahan bacaan sastera rakyat perlu berbezabeza mengikut peringkat usia dari kanak-kanak hingga remaja.
Nik Rafidah dah berkata, bukan semua elemen boleh dimasukkan terutama jika pembacanya adalah si cilik.
Katanya, pemilihan bahasa perlu diberi perhatian di samping gambar-gambar yang digunakan.
“Buku cerita rakyat untuk kanak-kanak terbahagi kepada dua jenis iaitu ilustrasi dan bergambar.
“Ilustrasi tiada had muka surat kerana hanya menggunakan dua atau tiga imej penting sahaja manakala untuk cerita bergambar pula perlu dihasilkan mengikut ketetapan iaitu 16, 24 dan 32 halaman,” katanya.
Manakala untuk remaja, penulis boleh menggunakan gambar tanpa warna kerana tahap usia golongan itu yang dianggap sudah memahami
konsep dan unsur tersirat dalam buku cerita rakyat.
Dalam masa sama, beliau menyarankan penggunaan gambar lukisan tangan pada bahan bacaan rakyat kerana lebih halus seninya, tidak
kaku dan dapat menarik minat pembaca.
“Di peringkat awal, cerita rakyat disebarkan kepada seluruh masyarakat tanpa fokus kepada kanak-kanak atau remaja.
“Tetapi ada segelintir kisah itu yang menarik perhatian golongan sasar apabila sering diceritakan oleh nenek atau ibu bapa kita, maka daripada situlah wujudnya cerita rakyat untuk kanak-kanak,” katanya.

NIK MUHAMAD AFFEND










