Polemik hadis: Melihat guru lebih baik daripada 1,000 kuda perang

Polemik hadis: Melihat guru lebih baik daripada 1,000 kuda perang fi sabilillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASYARAKAT Malaysia dikejutkan dengan satu kenyataan dinukilkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di dalam rancangan Salam Baitullah yang mendedahkan kelebihan melihat wajah seorang alim.

Beliau menukilkan satu hadis yang dihuraikan oleh al-Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani (wafat pada 1898 di Mekah) di dalam kitab beliau berjudul Tanqih al-Qowl al-Hathith Bi Sharh Lubab al-Hadith.

HADIS & POLEMIK

Hadis didedahkan Ustaz Don Daniyal ada dalam kitab Lubab al-Ahadith atau Lubab al-Hadith, yang dinyatakan bahawa kitab ini adalah antara karangan al-Imam al-Suyutiyy.

Saya menjumpai empat nuskhah tulisan tangan bagi kitab ini. Pada awal mukaddimah kitab ini, pengarangnya berkata: Sesungguhnya saya mahu mengumpulkan satu kitab daripada hadis-hadis Nabi dan khabar-khabar yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih dan riwayat yang dipercayai. Maka saya telah meniadakan sanad-sanad [bagi hadis-hadis tersebut] sehingga mudah hadis-hadis tersebut dihafal. Saya telah menamakan kitab ini Lubab al-Ahadith dan saya telah memohon bantuan daripada Allah agar sempurna kitab ini.

Pengarang kitab ini menyatakan tajuk-tajuk bagi 40 bab dalam kitab ini. Setelah itu beliau mula mendatangkan bab yangn pertama dengan tajuk: Bab Yang Pertama Pada Kelebihan Ilmu Dan Ulama.

Beliau mendatangkan hadis yang pertama yang dinyatakan oleh Ustaz Don Danial. Terjemahan hadis pertama ini secara penuh adalah: Nabi SAW bersabda kepada Ibnu Mas’ud Rodhiyallahu ‘Anhu: Duduk anda di dalam majlis ilmu dalam keadaan anda [tidak] menyentuh pena dan anda [tidak] menulis huruf adalah [lebih] baik bagi anda daripada membebaskan seribu tengkuk [hamba sahaya].

Pandangan anda ke wajah seorang alim adalah [lebih] baik bagi anda daripada 1,000 peperangan pada jalan Allah Taala.

Anda memberikan salam kepada seorang alim adalah [lebih] baik bagi anda daripada ibadat selama seribu tahun.

Walau bagaimanapun di dalam kitab Tanqih al-Qowl al-Hathith Bi Sharh Lubab al-Hadith, teks hadis ini adalah: “… Pandangan anda ke wajah seorang alim adalah [lebih] baik bagi anda daripada seribu kuda yang anda telah menyedekahkannya pada jalan Allah Taala …”.

Teks inilah disampaikan Ustaz Don Daniyal di dalam rancangan Salam Baitullah.

LUBAB AL-AHADITH

Berdasarkan empat manuskrip kitab Lubab Al-Ahadith saya temui, penyalin bagi dua manuskrip ini menyatakan dengan jelas bahawa kitab ini adalah karya al-Imam al-Suyutiyy.

Walau bagaimanapun tidak direkodkan siapakah penyalin dua naskhah itu dan tarikh penyalinannya. Keduaduanya ditemui di Ilorin, Nigeria.

Adapun dua naskhah berbaki, penyalinnya juga tidak diketahui namun kedua-duanya sama sekali tidak menyatakan bahawa pengarang kitab ini adalah al-Imam Jalaluddin al-Suyuti.

Salah satu manuskrip ini selesai disalin pada Rabu 1 Muharam 1126 hijriyyah yang disimpan di Perpustakaan alAzhar manakala satu nuskhah lagi disimpan di Dar al-Kutub al-Misriyyah tanpa dinyatakan tarikh penyalinan.

Al-Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantaniyy pula di dalam muqaddimah beliau di dalam kitab dengan jelas menyatakan bahawa kitab ini berjudul Lubab al-Hadith yang merupakan karya al-Imam al-Suyuti.

Walau bagaimanapun saya agak ragu akan penisbahan kitab ini kepada al-Imam al-Suyuti kerana saya tidak menjumpai mana-mana ulama silam menyatakan bahawa Lubab al-Ahadith adalah karya al-Imam alSuyuti.

MENATAP WAJAH GURU

Menurut al-Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani, hadis yang telah direkodkan di dalam kitab Lubab al-Hadith tersebut, diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Mundziriyy di dalam kitab al-Durroh al-Yatimah.

Kenyataan ini seolah-olah menunjukkan bahawa alSyeikh Muhammad Nawawi al-Bantani, melihat sendiri hadis ini ada di dalam kitab al-Durroh al-Yatimah.

Secara peribadi saya tidak menjumpai kitab al-Durroh al-Yatimah untuk dirujuk dan dihalusi.

Selain kitab Lubab al-Hadith, saya juga menemui hadis sama atau seumpamanya direkodkan di dalam kitab Ha-shiyah Laqt al-Duror Bi Sharh Matn Nukhbah al-Fikar karya alSyeikh ‘Abdulloh bin Husayn Khotir al-Samin al-Malikiyy di halaman 177.

Begitu juga di dalam kitab Siroj al-Tolibin ‘Ala Minhaj al-‘Abidin karangan al-Syeikh Ihsan Muhammad Dahlan di halaman 66.

Begitu juga di dalam kitab Rowdhoh al-Muttaqin Fi Masnu’at Robbil ‘Alamin karangan al-Imam Muhammad bin ‘Abd al-Latif al-Kirmaniyy di halaman 306.

Begitu juga di dalam kitab Dhiya al-Anwar Fi Fadhl al-‘Ilm Wa al-‘Ulama alAkhyar karangan al- Syeikh Muhammad al-Qoytuniyy di halaman 24 sebelah kanan (manuskrip).

Bahkan ada lagi karya lain merekodkan hadis tersebut. Walau bagaimanapun seluruh karya saya nyatakan ini hanya mendatangkan teks hadis tanpa dinyatakan sanad hadis.

Menurut Prof. Dr. Ahmad Ma’bad ‘Abdul Karim yang merupakan pakar hadis di Universiti al-Azhar al-Syarif: kita tidak boleh terus menghukum bahawa hadis yang tidak diketahui sanadnya adalah dhoif atau palsu kerana mendaifkan sesuatu hadis atau menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu hanya akan berlaku setelah sanad sesuatu hadis diteliti lalu didapati bahawa perawinya adalah lemah atau pendusta.

Menurut beliau lagi kita hanya mampu menyatakan: “Saya tidak menemui sanad bagi hadis ini”.

Berdasarkan kenyataan Prof. Dr. Ahmad Ma’bad ‘Abdul Karim, kita boleh membuat kesimpulan bahawa hadis yang dibacakan oleh Ustaz Don yang turut direkodkan di dalam pelbagai kitab adalah hadis yang tidak boleh dihukum sebagai hadis yang dhaif atau hadis rekaan kerana tidak diketahui sanadnya.

PANDANG WAJAH ULAMA

Para ulama memiliki ketinggian dan kemuliaan di sisi Allah Taala.

Antara cara memuliakan mereka adalah memandang wajah mereka dengan penuh kecintaan.

Bahkan ada hadis Rasulullah SAW menyatakan ganjaran besar menanti mereka yang melihat Rasulullah SAW dan sesiapa sahaja yang melihat Baginda.

Secara tidak langsung hadis tersebut turut menyatakan kelebihan memandang wajah ulama yang pernah melihat ulama sebelumnya sehingga akhirnya bersambung kepada Rasulullah SAW.

Hadis yang saya maksudkan adalah hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidziyy yang berstatus Hasan Ghorib seperti berikut: Yahya bin Habib bin ‘Arobiyy telah menceritakan kepada kami.

[Beliau telah berkata]: Musa bin Ibrohim bin Kathir alAnsoriyy telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata: Saya telah mendengar Tolhah bin Hirosh berkata: Saya telah mendengar [Saidina] Jabir bin ‘Abdulloh berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Api neraka tidak akan menyentuh seorang muslim yang telah melihatku atau yang telah melihat sesiapa yang telah melihatku.

Tolhah telah berkata: Sesungguhnya saya telah melihat Jabir bin ‘Abdulloh”. Musa telah berkata [pula]: Sesungguhnya saya telah melihat Tolhah.

Yahya berkata: Musa telah berkata kepada saya: Sesungguhnya anda telah melihat saya. Kita berharap kepada Allah [agar mengurniakan kepada kita keselamatan daripada api neraka]”.

Saya berpandangan bahawa seseorang pendakwah lebih baik mendatangkan hadis-hadis Rasulullah SAW yang jelas sanadnya.

Sekiranya perbicaraannya tidak berkait dengan hukum kewajipan atau hukum pengharaman, maka tidak ada masalah sekiranya hadis dinyatakan kepada pembaca adalah hadis sohih atau hasan atau dhaif.

Saya mencadangkan agar hadis dalam kitab Riyadhus Solihin lebih diketengahkan kepada masyarakat di dalam kuliah agama memandangkan kitab ini terkenal dan hadisnya kuat dalam membahaskan ilmu tasauf.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN