LAPORAN Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 oleh Institut kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melaporkan satu daripada enam kanak-kanak mengalami masalah mental.
Beban masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak ini meningkat dua kali ganda berbanding pada 2019.
Sebanyak 46 peratus responden melaporkan masalah dengan rakan sebaya, 25 peratus mengalami masalah tingkah laku, manakala 17 peratus mengalami masalah berkait emosi dan lapan peratus hiperaktif.
Tinjauan hampir serupa, membabitkan populasi remaja pada 2022 pula melaporkan, 26.9 peratus atau satu daripada empat remaja mengalami gejala kemurungan dengan seorang daripada 10, mempunyai keinginan membunuh diri.
PUNCA MASALAH MENTAL
Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria menyifatkan masalah mental dalam kalangan kanak-kanak, sebagai fenomena rumit dan perlu difahami secara menyeluruh.
Lebih-lebih lagi faktornya pelbagai dan dinamik.
“Antara puncanya adalah faktor biologi seperti sejarah keturunan keluarga dengan penyakit mental.
“Masalah kesihatan ketika ibu mengandung, komplikasi sewaktu proses kelahiran dan masalah perkembangan berlaku pada fasa awal kehidupan kanak-kanak terbabit juga boleh menjadi punca,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Faktor psikologi turut menyumbang kepada masalah mental.
Contohnya, pendedahan kepada trauma seperti penderaan emosi, fizikal dan seksual, pendedahan kepada keganasan rumahtangga, masalah keluarga seperti penceraian dan keterikatan perhubungan dengan penjaga yang tidak positif boleh mencetuskan masalah gangguan mental.
Dr. Rozanizam yang juga Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) ini berkata, selain faktor persekitaran seperti buli di sekolah isu menyumbang sakit mental turut membabitkan keyakinan diri, pandangan kanak-kanak dan remaja terhadap imej diri sendiri serta kemampuan kognitif dalam akademik.

TANDA BERMASALAH
Tanda penting ibu bapa perlu ketahui adalah perubahan mood atau emosi anak-anak. Antaranya alami gangguan mental membabitkan murung, hilang minat pada aktiviti digemari sebelum ini, suka marah dan terlalu sensitif.
Perubahan tingkahlaku seperti suka menyendiri, memberontak, mencederakan diri atau menjadi terlalu berahsia juga tanda gangguan mental.
Dr. Rozanizam berkata, perhatikan perubahan rutin seharian anak seperti perubahan pola tidur, selera makan, tenaga dan kemampuan mengurus diri.
Ia termasuklah perubahan akademik seperti prestasi menurun, enggan ke sekolah dan terbabit aktiviti di sekolah, kurang tumpuan dan gemar menganggu rakan dalam kelas.
“Gangguan fizikal turut boleh dialami seperti kerap mengadu sakit, tidak sihat dan mengadu masalah kesihatan yang tidak spesifik atau sukar dikesan.
“Namun tanda yang lebih membimbangkan perlu diperhatikan adalah terbabit dengan penggunaan bahan terlarang seperti dadah dan mula merokok termasuk e-rokok,” katanya.
ATASI MASALAH
Pencegahan langkah terbaik melindungi anak daripada masalah mental.
Berkomunikasilah secara terbuka, selain tunjukkan empati atau mengambil berat hal anak, selain menjadi pendengar yang baik.
“Jangan mudah hukum sekiranya anak buat silap sebaliknya sedia terima pandangan dan perspektifnya dalam sesuatu isu dihadapinya.
“Bina persekitaran positif dengan menyediakan persekitaran selamat bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada penderaan emosi dan fizikal,” katanya.
Ujarnya ibu bapa patut menjadi tempat anak mengadu masalah dan tempat mereka menyelesaikan masalah.
“Jangan berkira puji anak. Modelkan cara hidup sihat, termasuk bagaimana orang dewasa mengatasi tekanan.
Jangan tunjuk contoh negatif dalam menguruskan sesuatu masalah depan anak-anak,” katanya.
Pastikan anak menjalani rutin seharian yang membantu kesihatan mental seperti tidur cukup, penggunaan media yang terkawal, aktiviti riadah, pemakanan seimbang dan sediakan aktiviti keluarga yang menyeronokkan.
BILA JUMPA DOKTOR
Segera bawa anak berjumpa doktor apabila tanda awal masalah mental berpanjangan dan tidak berubah walaupun berlaku intervensi awal di peringkat dalam keluarga.
Antaranya perubahan emosi tidak terkawal hingga membabitkan risiko seperti anak meluahkan rasa putus asa untuk hidup, rasa diri beban kepada semua orang, mencederakan diri atau orang lain.
“Kalau ada tanda ini, bawa anak jalani penilaian awal di klinik kesihatan atau jabatan kecemasan dalam kes-kes yang membabitkan risiko tinggi dan keselamatan anak,” katanya.
Sekiranya penilaian lanjut diperlukan, doktor akan rujuk ke bahagian psikiatri kanak-kanak dan remaja di hospital.
Stigma atau pandangan negatif ke atas penghidap masalah mental antara punca ramai enggan mendapatkan rawatan perubatan.
Lebih 90 peratus kajian dalam berhubung halangan mendapat rawatan dalam kanak-kanak adalah disebabkan stigma atau pandangan serong ke atas penghidap masalah mental.
Justeru, Dr. Rozanizam berkata, penting menyediakan maklumat tepat kepada ibu bapa dan guru mengenai masalah mental, jenis-jenis, rawatan dan kaedah pencegahan berkesan.
“Normalisisasikan isu ini supaya semua pihak melihat isu ini sebagai isu sejagat yang perlu mendapat perhatian tanpa stigma. Ini termasuklah memperbaiki cara isu kesihatan mental dibincangkan di sekolah, dalam media dan komuniti secara amnya.
“Capaian sistem kesihatan mental di sekolah, klinik kesihatan dan klinik psikiatri juga perlu dipertingkatkan bagi memperbaiki kualiti kemudahan dan penyediaan perkhidmatan.
“Pendidikan kesihatan mental juga perlu diintegrasikan di sekolah menerusi program Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), di tempat kerja dan media bagi membetulkan salah faham berhubung isu mental,” katanya.
Perkhidmatan mesra keluarga perlu disediakan disamping menghormati privasi keluarga dan pesakit.
Kemudahan juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi seperti intervensi digital.
“Mendidik pengetahuan kesihatan mental secara formal dan tidak formal antara langkah perlu dilakukan.
Sediakan persekitaran sihat dan elakkan diskriminasi.
Jaga kerahsiaan dan galakkan komunikasi positif dalam kalangan pelajar dan cegah masalah buli.
“Beri sokongan kepada pesakit yang sedang jalani rawatan seperti mengubahsuai sistem pembelajaran untuk membolehkan mereka kembali kepada rutin asal,” katanya.
Pihak hospital juga perlu menjalin kerjasama dengan ibu bapa serta guru seperti menyediakan fasiliti mesra kesihatan mental seperti bilik bertenang dan bilik sensori.
Saringan kesihatan mental di sekolah perlu dipergiatkan.
Intervensi awal perlu dijalankan di bagi meningkatkan daya tahan mental pelajar.
Pelajar juga perlu diberikan kemahiran menyelesaikan masalah, mengurus tekanan, berhubung secara positif dan membina keyakinan diri.
KESAN PENGABAIAN
Sekiranya tidak diberikan perhatian, penyakit ini berpotensi jadi serius seperti mengalami kemurungan, anxiety, bipolar dan skizofrenia yang membawa kepada risiko keselamatan diri kanak-kanak dan remaja terbabit seperti perbuatan mencederakan diri dan orang lain.
“Pengabaian membawa kepada masalah sosial seperti tidak minat bersekolah, lari daripada rumah dan terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Ia juga boleh memberi kesan ke atas dinamik keluarga seperti kesan kepada adik-beradik lain dan konflik dalam keluarga.
“Stres berterusan beri impak ke atas kesihatan fizikal penghidap seperti mengurangkan ketahanan imuniti dan meningkatkan risiko penyakit kronik,” kata Dr. Rozanizam.
PESAKIT BOLEH PULIH
Penghidap masalah mental berpeluang sembuh sepenuhnya sekiranya diberikan rawatan sewajarnya.
Dr. Rozanizam yang juga Felo Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja yang sedang mengikuti latihan subkepakaran di Perth, Australia ini berkata rawatan bergantung kepada jenis, tahap dan risiko pesakit.
“Umumnya rawatan boleh diberikan dalam bentuk ubat-ubatan, terapi psikologi dan bantuan daripada sudut sosial.
“Terapi boleh diberikan dalam bentuk berbeza seperti terapi kognitif dan modifikasi tingkah laku, terapi bermain, terapi interpersonal, terapi keluarga dan terapi kumpulan.
“Bagi yang mengalami masalah lebih serius, pesakit mungkin memerlukan kemasukan ke dalam wad untuk menjalani rawatan lebih lama dan rapi,” katanya.
Umumnya, keluarga berperanan penting sebagai sistem sokongan masalah mental dalam kanak-kanak dan remaja.
Namun antara isu hari ini adalah sistem keluarga yang makin rumit seperti kesibukan ibu bapa, ibu bapa duduk berjauhan, penceraian, masalah kos sara hidup, tempat tinggal yang tidak kondusif dan tidak cukup ilmu keibubapaan










