TIDAK ramai bersedia untuk bercakap mengenai masalah ketidakseimbangan hormon kerana ia dianggap sebagai ‘pantang’ untuk dibicarakan terutama secara terbuka.
Ketidakseimbangan hormon biasanya dialami wanita dan lelaki apabila sampai waktu mereka mengalami menopaus dan andropaus.
Kanak-kanak juga tidak terkecuali berdepan masalah kekurangan hormon yang menyebabkan masalah seperti bantut, tetapi kesedaran mengenainya termasuk rawatan hormon masih rendah.
Menolak hakikat itu menyebabkan ramai menderita dalam diam.
Ada yang tidak mendapatkan rawatan yang betul, malah yang lebih membimbangkan ada yang mendapatkan rawatan berisiko seperti kanser.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi dan Pengarah Perubatan International Medical University (IMU), Prof. Dr. Nazimah Idris berkata, wanita menopaus dinasihatkan tidak mengambil ubat sebarangan mengembalikan haid.
Katanya mengambil ubat yang mendatangkan semula haid bahaya, terutamanya jika tidak pasti kandungan dan kesan jangka panjangnya pengambilannya.
“Bila kita menopaus, selepas itu ada pendarahan semula, kena pastikan tiada kanser rahim,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan ceramah mengenai terapi penggantian hormon untuk wanita bertema ‘Semuanya mengenai hormonmemprekripsi hormon dalam penjagaan primer’.
Penceramah lain, Pakar Perubatan Keluarga (Kesihatan Lelaki), Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Shaiful Bahari dan Pakar Endokrin dan Diabetes Pediatrik, Universiti Malaya, Prof. Madya, Dr. Azriyanti Anuar Zaini.
Dr. Nazimah berkata, ubat-ubatan diambil untuk hormon perlu dipantau dan dipreskripsi doktor pakar bagi memastikan wanita mendapatkan rawatan bermanfaat, bukannya yang memberi risiko.
“Bukan sebarang bahan atau supplemen boleh mendatangkan haid. Biasanya ia mengandungi hormon estrogen. Kalau bukan estrogen, ia tidak akan mendatangkan haid.
“Jika hanya diberikan estrogen saja tanpa satu lagi ubat dikenali sebagai progesterone, ia akan meningkatkan risiko kanser rahim.
“Dapatkan rawatan betul bagi mengatasi gejala kekurangan hormon estrogen,” katanya.
Menopaus bukan penyakit atau bencana, sebaliknya proses yang berlaku secara semulajadi apabila ovari sudah tidak mengeluarkan benih, manakala paras hormon menurun.
“Menopaus menyebabkan perubahan yang baik dan buruk. Baiknya kalau tiada haid, tiada kehilangan darah setiap bulan. Kalau selalu sakit berkaitan haid, tiada lagi masalah ini selepas menopaus.
“Bagi sesetengah orang, pengurangan hormon boleh menyebabkan badan tidak berapa sihat. Sebagai contoh kesan penurunan hormon selepas menopaus seperti osteoporosis, masalah kawalan kencing, masalah bahagian faraj dan fungsi seksual. Masalah lain seperti rasa panas badan,” katanya.
Semua itu boleh dirawat tetapi rawatan itu mula dijalankan selepas melalui satu penilaian dan perbincangan menggunakan Terapi Penggantian Hormon (HRT).
Rasa panas selepas menopaus boleh diatasi dengan mengambil HRT. Selain dalam bentuk tablet, ubat hormon juga boleh diberikan dalam bentuk krim untuk mengatasi masalah kekeringan di bahagian faraj.

Purata usia wanita menopaus di negara ini adalah sekitar 51 tahun tetapi ia normal jika berlaku pada usia 45 hingga 55 usia. Kira-kira lima peratus wanita lewat menopaus iaitu pada usia lebih 55 tahun.
Sekiranya pada usia 55 masih haid atau ada pendarahan, wanita berkenaan dinasihati menjalani pemeriksaan bagi memastikan ia bukan gejala kanser rahim atau pangkal rahim.
“Diet yang mengandungi to estrogen tinggi seperti diet Mediterranean yang mengandungi kekacang, buahbuahan dan minyak zaitun, baik untuk wanita menopaus.
“Bagaimanapun, diet saja tidak cukupi bagi menghilangkan simptom menopaus tetapi memerlukan rawatan HRT untuk mengatasi masalah kesihatan lain,” katanya.
LELAKI SARING HORMON
Kira-kira 18 hingga 19 peratus lelaki berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah kekurangan hormon testosteron.
Testosteron sejenis hormon dihasilkan tubuh lelaki dan wanita tetapi hormon ini lebih tinggi bagi lelaki kerana ia juga dihasilkan di dalam testis.
Prof. Dr. Shaiful berkata, punca penurunan hormon disebabkan beberapa faktor seperti masalah pada testis, kelenjar pituitari dan hipotalamus dalam otak.
“Sama seperti wanita yang mengalami gejala menopaus, lelaki yang mengalami penurunan hormon akan mudah berasa letih, panas badan, mudah berpeluh, selalu mengantuk dan tidur awal.
“Pesakit yang datang ke klinik saya, biasanya mendakwa mempunyai nafsu atau keinginan yang rendah atau tiada keinginan melakukan hubungan intim langsung akibat penurunan hormon kelelakian,” katanya.
Lelaki berusia 40 hingga 50 tahun ke atas sebaiknya menjalani saringan hormon bagi mengesan sama ada mereka berisiko mengalami penurunan hormon terutama dalam kalangan mereka yang mengalami obesiti atau kencing manis.
Menerusi saringan, doktor akan memeriksa secara keseluruhan tahap kesihatan dan keadaan penyakit.
“Ramai lelaki mencari penawar ‘segera’ bila mengalami gejala akibat penurunan hormon terutama apabila mengalami penurunan keinginan dalam hubungan intim.
“Banyak ubat-ubatan dijual untuk mengatasi masalah hormon testosteron.
Bagaimanapun, lelaki dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor,” katanya. Menggunakan ubat terutama yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya akan memudaratkan lagi keadaan dan masalah sebenar tidak diatasi.
Justeru lelaki dinasihatkan tidak memulakan rawatan hormon tanpa mengenalpasti punca penurunan hormon. Kebiasa annya penyakit kronik dialami perlu dirawat terlebih dahulu seperti obesiti dan diabetes sebelum rawatan hormon dijalankan.
Hormon testosteron akan diberikan dalam bentuk pil dan suntikan dengan pengawasan doktor
Terapi hormon cegah bantut
Ramai doktor tidak pernah mendengar mengenai hormon pertumbuhan untuk kanak-kanak walaupun ia adalah rawatan yang wujud di negara ini.
Prof. Madya Dr. Azriyanti Anuar Zaini berkata, hormon bukan semata-mata untuk pertumbuhan tetapi bertujuan menguatkan otot dan penyebaran lemak dalam badan.
Ia diberikan secara suntikan setiap hari di bahagian perut.
Kebiasaannya ia digunakan untuk mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.
“Di Malaysia, hanya tiga petunjuk membolehkan penggunaan hormon diberikan kepada kanakkanak iaitu sekiranya ada bukti kukuh dan data menyokong penggunaan hormon pertumbuhan,” katanya.
Hormon pertumbuhan digunakan untuk mengatasi masalah bantut dan digunakan sejak 1960 an lagi dan di Malaysia pula sejak 1980. Lebih awal hormon ini digunakan lebih baik dan berkesan.
Ada banyak data berkaitan kanak-kanak menggunakannya dengan majoriti menunjukkan kesan baik. Kanak-kanak menggunakan hormon untuk masalah bantut, perlu ke hospital setiap tiga bulan untuk pemerhatian doktor.
Dr. Azriyanti berkata, sekurang-kurangnya tiga hingga empat kes bantut dirujuk di pusat kesihatannya hampir setiap minggu.
“Konsep tunggu dan lihat untuk anak membesar dan tinggi dengan sendiri adalah bahaya. Ada yang mendakwa pernah berjumpa doktor berkaitan tumbesaran anak tetapi ada doktor minta mereka tunggu.
“Ada juga ibu bapa yang merasa tidak mengapa bantut sebab mak dan bapa pun rendah. Ini menunjukkan kita menerima bantut sebagai sesuatu normal dan tidak memerlukan rawatan di mana ia perlu diperbetulkan,” katanya.
Di Malaysia, carta pertumbuhan ketinggian mengikut umur yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi mengukur kanak-kanak dari lahir hingga berusia 19 tahun.
Secara puratanya, seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dijangka mempunyai ketinggian sekitar 110 hingga 115 sentimeter (cm).
Bagi kanak-kanak berumur 10 tahun, median ketinggian antara 139 hingga 144 cm.
Ini bermakna, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun perlu mempunyai ketinggian antara 130 hingga 135 cm bagi mencapai purata ketinggian dewasa.
Pada peringkat individu, kanak-kanak perempuan dijangka mencapai ketinggian sekurang-kurangnya sama dengan ibu mereka selepas mengalami pertumbuhan akil baligh.
“Di Malaysia ketinggian bagi wanita adalah antara 155 hingga 156 sentimeter (sm) manakala ketinggian bagi lelaki pula sekitar 165 hingga 167 cm.
Sepanjang 100 tahun, generasi kita sepatutnya lebih tinggi daripada generasi hari ini.
Sebaliknya sekiranya kekal rendah, lama kelamaan, generasi akan jadi lebih bantut.
“Dalam 100 tahun, penduduk di Jepun dan Korea adalah paling tinggi dengan kenaikan lebih daripada 25 cm, berbeza dengan Malaysia di mana ketingggian dalam 100 tahun hanya naik 10 cm saja,” katanya.
Masalah bantut berkaitan dengan pemakanan
Kajian mendapati pemakan protein haiwan seperti penduduk Scandinavian, lebih tinggi berbanding pemakan nasi seperti Malaysia dan negara Asia Tenggara.
Mengamalkan diet Mediterranean yang banyak memakan protein baik untuk meningkatkan ketinggian.
Justeru ibu bapa digalakkan memberikan anak makan makanan tinggi protein seperti ayam, daging dan makanan laut sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk tiroid.
Pastikan juga anak makan sayur-sayuran, susu, buah-buahan dan kekacang










