HADIAH Kewartawanan Malaysia MPI diperkenalkan pada 1980 bertujuan memberi pengiktirafan terhadap karya-karya terbaik kewartawanan yang dipertandingkan pada tahun tersebut. Hadiah pemenang ditaja PETRONAS, disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia.
Malam gemilang ini dianjurkan setiap tahun bagi meraikan pengamal media seluruh negara selain merapatkan hubungan sesama media. Pemenang akan menerima pengiktirafan masing-masing di mana setiap kategori dipertandingkan menawarkan hadiah lumayan.
Pemenang emas setiap kategori membawa pulang wang tunai RM10,000, tro serta sijil, manakala pemenang perak dan gangsa masing-masing menerima RM 3,000 dan 2,000.
Kewartawanan Foto Terbaik antara salah satu daripada kategori dipertandingkan.
Koleksi foto-foto terbaik daripada pelbagai agensi media dipilih panel pertandingan dan disenarai pendek untuk hadir menerima hadiah pada malam gemilang itu.
Pada Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021, pemenang emas dimenangi Jurufoto Media Mulia, Amir Khalid dengan naskhah bertajuk Mengenang Nasib diterbitkan di muka hadapan Utusan Malaysia pada 24 Disember 2021.

Liputan bencana banjir melanda sekitar Hulu Langat pada ketika itu membuahkan hasil di mana foto dirakam berjaya menarik minat panel juri untuk mengiktiraf sebagai foto terbaik pada tahun itu.
Bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022, sekali lagi Jurufoto Media Mulia, Muhammad Fariz Rusadio berjaya berada dalam senarai pendek tiga terbaik.
Naskhah bertajuk Kasih Ibu itu, berjaya menang tempat kedua atau perak.

Foto diterbitkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada 03 November 2022 itu memaparkan seorang ibu yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan membawa anak kecil dengan menaiki motosikal tular di media sosial dan menjadi tumpuan sebahagian rakyat Malaysia dan beberapa pemimpin negara.
Terkini, pemenang emas kategori Kewartawanan Foto Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023, dirangkul Jurufoto Media Mulia, Muhammad Shiddieqiin Zon dengan hasil naskah bertajuk Keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil diterbitkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia pada 7 Disember 2023 menjadi pilihan pihak juri.

Sekali lagi foto yang mendapat perhatian dari pelbagai pihak ketika itu berkenaan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang tidak sempurna menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di antara JDT dan Terengganu.
Foto dirakam daripada sudut udara itu jelas menunjukkan keadaan padang yang masih belum bersedia sepenuhnya untuk sebarang penganjuran aktiviti sukan.









