KETIKA Nabi Muhammad SAW menyusuri likuliku jalan sempit di Madinah pada malam hari, Baginda gelisah kerana memikirkan umat manusia menderita akibat kebodohan, kemunduran dan kejahatan.
Baginda merasakan betapa beratnya tanggungjawab diberikan Allah SWT kepadanya. Lalu turunlah ayat al-Quran yang merupakan perkhabaran gembira kepada baginda supaya menyebarkan agama Islam ke semenanjung Arab dan seterusnya seluruh pelusuk dunia.
Kini, Islam dianuti lebih daripada satu billion manusia, iaitu satu perlima daripada penduduk dunia. Penyebaran Islam di dunia turut menarik banyak bangsa Barat.
Ia menunjukkan kemampuan ideologi Islam yang sempurna dalam memenuhi keperluan manusia global serta keluwesannya dalam membangun masyarakat.
Nabi Muhammad SAW sendiri meramalkan sejak 14 tahun yang lalu dalam sebuah hadis melalui Saad bin Abi Waqas bahawa Orang-orang Barat akan terus berjaya mengikuti kebenaran (Islam) hingga hari kiamat.
Seorang psikologi Amerika, Aliya Heari yang memeluk Islam berkata, Nabi Muhammad SAW meramalkan, cahaya Islam akan bersinar di Barat. Saya fikir itulah yang berlaku kini, malah kehebatannya terserlah apabila ianya dipelopori oleh wanita yang kononnya teraniaya dalam Islam.
Ramalan Nabi SAW kini hampir terbukti. Semakin hari semakin meningkat bilangan orang Barat yang memeluk Islam. Sebahagian daripada mereka menjadi pendakwah, penulis dan pemikir Islam seperti Steve Johnson, John Sillivan, Siraj Wahhaj, Yusuf Islam dan ramai lagi yang telah menjadi pendakwah.
Sebahagian mereka adalah tokoh terkemuka terutama para ilmuwan seperti Ali Selman Benoist, Maurice Bucaille, Jackson Causteau dan ramai lagi.
Sebahagian tokoh terpelajar Barat Muslim lainnya bahkan juga mendalami Tasawuf seperti Hamid Algar, Titus Burckhardt, Ibrahim Gerard dan lainnya.
Warga Barat muslim ini bersama muslim lainnya yang bukan orang Barat merupakan sebahagian daripada penggerak kepada masyarakat yang pelbagai di kota-kota besar dunia seperti New York, Chicago, Los Angeles dan sebagainya.
Syeikh Mahmud, seorang tokoh muslim dari Melbourne berkata “Kalau orangorang Barat berniat untuk menjadikan Mekah dan Madinah sebagai London dan Paris, kita juga berniat untuk menjadikan London dan Paris sebagai Mekah dan Madinah”.Maka mereka mengatur langkah merealisasikan matlamat tersebut.
Orang Barat yang kini dalam pengembaraan kerohaniannya untuk menemukan Islam telah mengalami perubahan kesedaran beragama.
Perubahan identiti yang berkaitan dengan perubahan psikologi, perlakuannya berubah menjadi seorang yang berbeza dari sebelumnya.
Penyebaran agama Islam dimulakan oleh Nabi Muhammad SAW semenjak 1,400 tahun lalu dengan penurunan wahyu yang pertama ternyata telah memberikan kesan besar dalam dunia.
Kini ternyata Islam dianuti lebih dari satu bilion manusia di seluruh dunia.
Sering kali tokoh-tokoh terkemuka Barat memandang serong terhadap Islam. Penyebaran Islam yang berlaku ternyata dapat menarik minat ramai
masyarakat Barat.
Adakah pemelukan Islam tokoh-tokoh terkemuka Barat menjadi faktor penting kepada perubahan itu?
KECEWA DENGAN BARAT
Bagi Malcolm X kekecewaan beliau terhadap gaya hidup barat yang bebas dan bertentangan dengan norma hidup manusia menjadi faktor utama. Perkara yang memberi kesan di dalam hatinya adalah layanan buruk diterimanya semenjak kecil akibat daripada sifat perkauman dipamerkan masyarakat Barat kepada orang kulit hitam sepertinya.
Bagi Maryam Jameela pula, faktor pemelukan Islam beliau disebabkan ketidak puasan hatinya terhadap kekejaman bangsanya sendiri yang menindas masyarakat Palestin di bumi mereka, serta mengusir mereka secara sangat kejam.
Sementara bagi Yusuf Islam pula, faktor utama penerimaan beliau kepada Islam adalah berpunca daripada konflik jiwa yang dihadapinya semasa berada di dalam dunia hiburan.
Kekosongan jiwa dialaminya daripada gaya hidup mewah seorang artis dengan pergaulan yang sangat bebas menyebabkan beliau ingin mencari kebenaran dan makna hidup yang sebenar di dunia.
Bagi Muhammad Ali, faktor pemelukan Islam beliau adalah berpunca daripada ketidakpuasan hatinya terhadap sikap masyarakat Amerika yang selalu mendiskriminasikan warga kulit hitam dengan pelbagai pekerjaan yang tidak sepatutnya serta kemuncak kepada rasa kecewa beliau dengan sikap masyarakat yang memandang hina terhadap warga kulit hitam sepertinya.
Oleh yang demikian, pemelukan Islam dalam kalangan masyarakat Barat sememangnya didorong oleh banyak faktor.
Namun pemelukan Islam dalam kalangan tokoh-tokoh mereka sedikit sebanyak mampu mempengaruhi dan memberi rangsangan umum berkenaan dengan gambaran kesempurnaan dibawa Islam lantaran dalam keadaan masyarakatnya yang rosak
dan sering berputus asas dalam hidup.
Maka secara tidak langsung ianya akan memberikan nilai tambah kepada pendakwahpendakwah lain untuk mencontohi dakwah yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tersebut dalam keadaan sasaran dakwah yang pelbagai dengan menggunakan kaedah yang mampu memberi kesan.
PENULIS adalah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.










