API perjuangannya untuk melahirkan generasi berilmu tidak pernah padam biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Anjang Ali tidak menganggap kekurangan dimiliki sebagai beban, sebaliknya sentiasa berusaha memanfaatkan kelebihan-kelebihan lain bagi berdepan dengan pelajar normal ketika sesi pengajaran dancpembelajaran (PdP) berlangsung.
Gaya dan lagak bekas guru Bahasa Melayu dan Sejarah tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong di Jertih, Besut ini seolah-olah seperti insan biasa apabila mengajar.
Insan istimewa ini mampu menghafal nama dan tempat duduk setiap pelajarnya dengan tepat di samping aktif dalam komunikasi dua hala di dalam kelas.
Bahkan, Anjang juga boleh mengesan mana-mana pelajar yang curi tulang atau gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.
Mengakui tiada sebarang ilmu atau rahsia, katanya, semua kebolehan itu diperolehi dengan bantuan pancaindera lain.
“Ada pelajar terkejut apabila saya tahu mereka bangun, manakala individu curi tulang pula dapat ‘ditangkap’ jika meja yang disentuh tidak bergoyang atau tiada bunyi kertas diselak.
“Walaupun saya tidak macam guru lain, tetapi saya mahu buktikan yang saya juga boleh berdiri dan duduk sama tinggi seperti mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Anjang yang kini berusia 60 tahun menamatkan perkhidmatan sebagai pendidik pada 28 April lalu setelah 24 tahun menabur jasa dan bakti, bermula 18 Julai 1999.
Beliau bersyukur kerana sepanjang tempoh itu, khidmatnya hanya dicurahkan di sekolah sama yang terletak di kampung halaman tanpa perlu bertukar ke institusi lain.
Mengimbau pengalaman bertugas di sekolah aliran perdana, katanya, banyak cabaran perlu dilalui terutama untuk mengawal kelas pada waktu tengah hari.
“Masa awal-awal dulu memang ada kesukarannya tetapi alah bisa tegal biasa dan saya cuba atasi kekurangan penglihatan dengan mengoptimumkan deria telinga, bau serta sentuhan.
“Antara amalan lain adalah membuat peta dalam kepala untuk menghafal maklumat pelajar. Sebab itulah saya minta mereka untuk tidak menukar tempat duduk kerana semua itu sudah dipetakan mengikut susunan kelas.
“Apabila PdP berlangsung, mudahlah untuk saya bergerak ke meja setiap pelajar dan dalam masa dapat
memastikan mereka kekal fokus menerusi teknik menyoal secara berhadapan bagi menilai tahap
penguasaan serta pemahaman dalam subjek diajar,” katanya yang selesa dengan teknik
pengajaran itu.
Kecekalan Anjang sebagai pendidik membolehkannya meraih pengiktirafan di peringkat Kebangsaan sebagai Tokoh Guru OKU pada 2008 disusuli negeri dan daerah, pada tahun sama.
Beliau turut mengungguli Anugerah Nilam Guru Terengganu 2015, Anugerah Kecemerlangan Bahagian
Teknologi Pendidikan (BTPN) negeri 2016, Anugerah Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut 2016 dan Tokoh Mahal Hijrah OKU (Lelaki) negeri 2018.
Bapa kepada tiga anak lelaki berusia antara 19 hingga 22 tahun ini turut berpengalaman dalam menghasilkan 20 novel remaja dan buku kanak-kanak di samping lebih 100 skrip drama radio.

DITERIMA, DISAYANGI PELAJAR
Di sebalik fizikalnya yang kurang sempurna, Anjang bertuah kerana disayangi seluruh warga SMK Bukit
Payong terutamanya dalam kalangan pelajarnya.
Kasih sayang itu terbukti apabila pelajarnya sanggup menjemput dan memimpinnya dari bilik guru untuk ke kelas.
Selain itu, mana-mana pelajar yang bertembung dengannya juga sentiasa ringan tulang untuk membantu menghantarnya ke destinasi yang dituju.
“Memandangkan sudah lama berkhidmat di sini, saya tahu kedudukan blok dan kelas, jadi tiada masalah walaupun perlu mengajar di tingkat atas atau naik turun tangga.
“Tetapi urusan saya sentiasa dimudahkan kerana dikelilingi pelajar yang baik budi pekerti dan menghormati serta menerima kekurangan saya,” katanya.
Anjang turut akrab dengan pelajarnya hingga menjadi tempat luahan perasaan dalam hal-hal berkaitan masalah peribadi.
Paling kelakar, ada yang meminta nasihatnya berkaitan hubungan cinta.
“Biarpun pendiam di bilik guru tetapi apabila dengan pelajar saya gemar berbual dan bertanya macam-macam kerana semuanya sudah dianggap sebagai anak, jadi tentunya saya
“Mungkin sikap itu yang membuatkan pelajar selesa dan apabila mereka tahu saya mahu bersara, rata-ratanya mengeluh kerana hilang tempat mengadu dan bercerita,” katanya.
MILIKI 10 PEMBANTU
Perkara pertama yang timbul dalam persoalan ramai adalah bagaimana Anjang memeriksa buku-buku dan kertas peperiksaan pelajar.
Kata Anjang, tugasan itu dikendalikan pembantu yang dilantik dalam kalangan orang sekelilingnya.
Ada lebih 10 pembantu dimiliki yang terdiri daripada anak-anaknya di samping anak rakan dan jiran tetangga.
“Pembantu ini tidak disediakan oleh pihak sekolah atau kementerian, tetapi saya upah sendiri untuk mereka bacakan hasil kerja pelajar.
“Sebagai guru Bahasa Melayu, saya kena peka dengan tanda baca, tatabahasa dan penulisan bagi membetulkan kesalahan-kesalahan,” katanya yang sering memberi latihan dalam bentuk kertas.
Kertas kemudian ditampal pada buku nota bagi mengelak menyimpan buku teks pelajar dalam tempoh lama.
Bergelar pendidik adalah cita-cita yang tertanam dalam diri Anjang sejak kecil.
“Masa kecil dulu saya pernah berbual dengan adik tentang cita-cita dan saya jawab mahu jadi cikgu.
“Emak dengar perbualan kami dan sejak itu dia tidak berhenti berdoa dan berkat doanya, saya
dapat mencapai impian tersebut,” katanya.

TOLAK PEMINDAHAN KORNEA
Kira-kira 20 tahun lalu, seorang pakar mata yang ditemui di Klang memberi jaminan penglihatannya
boleh pulih jika melakukan pemindahan kornea.
Namun, selepas berfikir panjang, Anjang memutuskan untuk menolak daripada melakukan prosedur itu.
Beliau sebaliknya akur dengan takdir yang menimpanya walaupun sebelum ini dilahirkan sebagai
insan normal.
Ujarnya, kecacatan itu berlaku ketika berusia tiga tahun akibat diserang demam panas hingga penglihatannya hilang 100 peratus.
“Dalam pertemuan dengan pakar mata pada 1998 dan 2006, doktor menyatakan keyakinan yang penglihatan saya boleh kembali sebanyak 50 peratus.
“Beberapa kali saya buat solat istikharah dan saya dapat ‘petunjuk’ apabila hati saya berat untuk melakukan pembedahan itu,” katanya.

SIMPAN MUTIARA KATA
Cinta pada bahasa mendorong Anjang menyimpan ratusan mutiara kata bagi digunakan ketika PdP.
Kesemua kata-kata itu disimpan kemas dalam buku sehingga menjadi koleksi.
“Apa sahaja mutiara kata yang dijumpai dalam akhbar atau sumber lain, saya potong dan tampalkan di buku, selain disalin semula dalam Braille.
“Semasa kelas, sambil-sambil mengupas topik dalam sukatan, saya akan kaitkan dengan mutiara kata berkaitan bagi merangsang fikiran pelajar,” katanya yang menggemari karya tulisan
Hamka.
Hampir sebulan bersara, beliau akui masih merindui rutin sebagai guru malah sering terkenang-kenang
kenangan bersama para pelajarnya.










