Baru-baru ini tular berkenaan gas sulfur dioksida yang diletuskan oleh Gunung Berapi Ruang, Sulawesi Utara mulai masuk ke ruang udara Semenanjung Malaysia.
Malah individu dengan masalah berkaitan pernafasan seperti asma dan bronkitis diingatkan memakai topeng atau penutup muka jenis anti zarah sulfur dioksida (SO2).
Kerisauan jika tersedut SO2 ini ada benarnya tetapi mungkin ramai tidak menyedari, sebenarnya gas SO2 adalah gas toksid yang berbau mancis terbakar.
Ia terhasil secara semulajadi disebabkan letusan gunung berapi tetapi ia juga boleh berada di ruang udara yang dilepaskan oleh kilang-kilang.
Pakar Kesihatan Awam, Unit Kesihatan AwamIkatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr. Aishah Abas berkata, gas SO2 bukanlah asing dalam kehidupan kita kerana ia banyak digunakan dalam industri pengilangan.

“Gas reaktif yang secara amnya tidak berwarna ini kebanyakannnya digunakan sebagai bahan pengawet dalam industri pembuatan makanan.
“Selain itu, ia kerap menjadi by-product untuk industri lain seperti penapisan minyak dan industri tenaga, bagi penggunaan dandang, relau dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebarang pelepasan gas ini atau SOx, SO2 dan seangkatannya, melalui by-product, tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
Bagaimanapun orang ramai tidak perlu bimbang kerana punca pelepasan melalui cerobong akan dipantau oleh pemilik industri dan Jabatan Alam Sekitar.
Ada had diberikan dalam akta ini untuk dipatuhi oleh industri yang melakukan pelepasan gas ini melalui serobong kilang.
Dr. Aishah berkata, risiko keracunan SO2 lebih rendah sekiranya jarak gunung berapi yang meletus jauh dari orang ramai.
Namun pendedahan pada gas ini pada tahap tertentu boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Penyebaran SO2 daripada Gunung Berapi Ruang dijangka tidak akan meningkatkan paras SO2 di permukaan bumi dan tidak menjejaskan kesihatan manusia.
“Memandangkan SO2 adalah gas dan lebih ringan daripada partikel debu gunung berapi, SO2 akan tersebar pada altitud tinggi, sama seperti debu gunung berapi,” katanya.

Ada kemungkinan SO2 akan bergabung dengan titisan air dan membentuk asid sulfurik yang lemah dan ada kemungkinan turun sebagai hujan.
Pendedahan berlebihan terhadap gas ini dalam keadaan pekat boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan menyebabkan kesukaran bernafas.
Simptom juga boleh menjadi lebih teruk sekiranya seseorang itu sedang melakukan kerja berat di luar seperti buruh atau senaman berlebihan semasa terdedah kepada gas ini.
Golongan berisiko
Gas SO2 pada kadar tertentu, mungkin berbahaya.
Justeru, langkah berhati-hati perlu diambil bagi mencegah risiko keracunan.
“Golongan paling berisiko akibat terhidu gas ini adalah kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik membabitkan pernafasan terutamanya penyakit asma atau lelah.
“Bagi kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik seperti asma dan bronkitis, seharusnya menilai semula untuk mengurangkan aktiviti luar jika mengalami simptom berkaitan,” katanya.
Pendedahan terhadap gas ini juga boleh menyebabkan kerengsaan pada mata,hidung dan tekak, rasa tercekik dan paru paru menjadi sempit.
Selain itu, mereka yang keracunan juga akan mengeluarkan kahak iaitu antara pencetus pada serangan lelah atau asma.
Keracunan gas ini juga boleh memberi kesan kepada kesihatan jantung manusia.
Ia boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan pada jantung dan salur darah.
Kajian juga menunjukkan terdedah kepada pencemaran udara boleh meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan risiko penyakit jantung lain.
Langkah atasi keracunan
Dr. Aishah berkata, sekiranya berlaku keracunan gas, mangsa perlu dibawa jauh dari punca keracunan dan berikan ruang pernafasan lebih baik dengan udara bersih.
“Kesemua kes yang berlaku perlu dirujuk ke hospital bagi bantuan lebih lanjut. Rawatan kepada keracunan gas ini adalah berdasarkan simptom yang ada,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya simptom seperti batuk atau mengalami kesukaran bernafas, berikan bantuan oksigen sekiranya ada.
Sekiranya serangan asma dicetuskan akibat daripada kesan gas ini, rawatan menggunakan ubat pencegah asma yang ada dapat membantu.
Pencemaran udara akibat pelepasan gas secara semulajadi atau oleh kilang perusahaan seharusnya tidak dipandang remeh kerana ia bukan saja menyebabkan penyakit pernafasan tetapi pelbagai penyakit lain.
Justeru, orang ramai hendaklah sentiasa berhati-hati dan peka dengan maklumat dari pihak yang sah dan berauthoriti di mana setakat ini masih belum ada amaran seperti yang ditularkan.










