PENGKHIANATAN golongan Yahudi Bani al-Nadhir berpunca daripada hasrat mereka untuk membunuh Rasulullah SAW. Kisah ini bermula apabila Nabi SAW bersama-sama sekumpulan sahabat baginda pada pagi Sabtu 23 Safar tahun 4 Hijrah bersamaan 3 Ogos 625 Masihi telah bertolak dari kota al-Madinah menuju ke perkampungan orang Yahudi daripada Bani al-Nadhir yang berada hanya satu kilometer dari Masjid Quba’.
Setelah tiba, Nabi SAW mengajak mereka untuk bersama-sama dengan orang Islam membayar diat dua orang lelaki musyrik daripada Banu Kilab yang telah dibunuh oleh Saidina Amr bin Umayyah al-Dhomriyy yang menyangka mereka berdua adalah musuh.
Walhal kedua-dua lelaki musyrik ini baru sahaja mendapat perlindungan dan keamanan daripada Nabi SAW sendiri. Pembunuhan tanpa sengaja ini berlaku pada pagi Jumaat 22 Safar tahun 4 Hijrah bersamaan 2 Ogos 625 Masihi.
Orang Yahudi daripada Bani al-Nadhir bersetuju membayar diat dua orang musyrik itu. Mereka meminta agar Nabi SAW tidak segera pulang kerana mereka ingin memasak bagi menjamu baginda yang menjadi tetamu mereka.
Lalu Nabi SAW menerima pelawaan mereka dan baginda menunggu sambil bersandar di dinding sebuah rumah milik orang Yahudi Bani al- Nadhir. Namun keberadaan Nabi SAW dan sahabat baginda yang jumlahnya kurang daripada 10 orang menyebabkan timbul rencana jahat di fikiran Huyayy bin Akhtob iaitu ayah Saidatina Sofiyyah binti Huyayy dan juga ketua orang Yahudi Bani al-Nadhir.
Lalu dia mencadangkan kepada sebahagian orang Yahudi untuk menjatuhkan batu besar di atas kepala Nabi SAW yang sedang bersandar di dinding sebelah luar rumah seorang Yahudi Cadangan jahat ini disahut oleh seorang Yahudi bernama Amr bin Jallash yang mahu melaksanakan rencana jahat ini.
Maka di saat Amr bin Jahhash sudah bersedia membawa batu besar dan dia telah naik ke bahagian atap rumah yang Nabi SAW sedang bersandar di bawahnya, Malaikat Jibril terus mewahyukan kepada baginda rencana jahat tersebut lalu Rasulullah SAW serta-merta menjauhi dinding tersebut.
Baginda terus meninggalkan perkampungan orang-orang Yahudi Bani al- Nadhir dan terus pulang ke Madinah. Para sahabat yang berada di perkampungan orang Yahudi Bani al-Nadhir ketika itu menyangka Nabi SAW pergi ke lokasi qada hajat namun setelah Ìama menunggu kedatangan Nabi SAW dalam keadaan baginda tidak juga muncul, mereka akhirnya meninggalkan perkampungan tersebut.
Setelah mereka menemui Nabi SAW di kota al-Madinah, baginda memaklumkan kepada mereka perancangan jahat orang Yahudi Bani al-Nadhir yang mahu membunuh Baginda dengan batu besar.
Pada hari itu juga Nabi SAW memerintahkan Saidina Muhammad bin Maslamah pergi ke perkampungan Yahudi Bani al-Nadhir lalu beliau disuruh untuk menyampaikan kepada mereka bahawa Nabi SAW telah menghalau mereka dari perkampungan mereka atas sebab pengkhianatan yang berlaku.
Rasulullah SAW memberi mereka tempoh 10 hari untuk berkemas sebelum mereka keluar meninggalkan bumi al-Madinah. Jika ada yang berdegil dan terus berada di bumi al-Madinah selepas 10 hari, dia akan dibunuh. Orang Yahudi Bani al-Nadhir akur dengan arahan ini. Mereka pun mula berkemas untuk meninggalkan perkampungan mereka dan seluruh bumi al- Madinah.
GOLONGAN MUNAFIQ MENCUCUK JARUM JAHAT
Namun pada hari kelima mereka membuat persiapan meninggalkan bumi al- Madinah iaitu pada Khamis 28 Safar tahun 4 Hijrah bersamaan 8 Ogos 625 Masihi.
Abdullah bin Ubayy yang merupakan ketua golongan munafik telah memujuk orang Yahudi Bani al-Nadhir agar tidak meninggalkan kampung mereka. Abdullah menyatakan dia memiliki 2,000 pengikut yang sanggup mati demi mempertahankan orang Yahudi Bani al-Nadhir.
Pelawaan Abdullah menyebabkan orang Yahudi daripada Bani al-Nadhir mula teragak-agak sama ada patuh kepada arahan Nabi SAW atau ingkar dengan arahan lalu memerangi baginda.
Akhirnya pada Khamis 29 Safar tahun 4 Hijriah bersamaan 9 Ogos 625 Masihi, Huyayy bin Akhtob selaku ketua orang Yahudi Bani al- Nadhir membuat keputusan iaitu ingkar dengan arahan Nabi SAW sekaligus bersedia memerangi baginda SAW.
Pada peringkat awal, keputusan ini ditentang oleh beberapa orang Yahudi Bani al-Nadhir seperti menantu beliau sendiri iaitu seorang ulama Yahudi yang bernama Sallam bin Mishkam yang merupakan suami pertama Saidatina Sofiyyah binti Huyayy bin Akhtob.
Namun akhirnya keputusan Huyayy bin Akhtob diterima oleh orang Yahudi Bani al- Nadhir. Maka pada 30 Safar tahun 4 Hijriah bersamaan 10 Ogos 625 Masihi, Huyayy mengutus saudara kandungnya, Judayy bin Akhtob kepada Nabi SAW bagi memaklumkan kepada baginda bahawa orang Yahudi daripada Bani al-Nadhir tidak akan keluar dari kampung mereka.
Setelah berita ini disampakan oleh Judayy, baginda melaungkan takbir dengan suara yang kuat sambil diikuti dengan takbir para sahabat. Nabi SAW pada hari itu memerintahkan para sahabat menyiapkan kelengkapan bagi memerangi orang Yahudi daripada Bani al-Nadhir.
Pada hari itu juga, Rasulullah SAW dan para tentera Islam telah bergerak dari kota al-Madinah ke perkampungan Bani al-Nadhir dan sampai di sana sekitar waktu Asar.
PENGEPUNGAN YANG MELEMAHKAN YAHUDI BANI AL-NADHIR
Akhirnya setelah kaum muslimin mengepung kubu orang Yahudi Bani al- Nadhir bermula pada Asar hari Sabtu 30 Safar tahun 4 Hijriah bersamaan 10 Ogos 625 Masihi dengan kedua- dua pihak saling berbalas anak panah dalam keadaan peluang tentera Islam untuk merempuh masuk ke dalam kubu orang Yahudi Bani al-Nadhir adalah sukar, Rasulullah SAW pada Khamis 5 Rabiulawal tahun 4 Hijrah bersamaan 15 Ogos 625 Masihi telah memerintahkan sekumpulan para sahabat baginda untuk pergi ke kebun kurma milik orang Yahudi Bani al-Nadhir yang berada di luar kubu mereka.
Lalu baginda memerintahkan agar pokok- pokok kurma daripada jenis Ajwa dan Linah ditebang dan dibakar. Tindakan ini menyebabkan orang Yahudi berasa sedih kerana kebun kurma tersebut adalah harta utama mereka.
Maka setelah didesak oleh Sallam bin Mishkam, akhirnya pada pagi Sabtu 7 Rabiulawal tahun 4 Hijriah bersamaan 17 Ogos 625 Masihi; Huyayy terpaksa berdamai dengan tentera Islam. Rasulullah SAW menerima perdamaian tersebut dengan syarat orang Yahudi Baní al-Nadhir hendaklah meninggalkan selama-lamanya bumi al- Madinah.
Mereka hanya dibenarkan membawa bersama-sama mereka harta benda mereka yang mampu diletakkan di atas belakang unta sahaja. Mereka juga tidak dibenarkan untuk membawa sebarang senjata.
Maka pada Isnin 9 Rabiulawal tahun 4 Hijrah bersamaan 19 Ogos 625 Masihi, orang Yahudi Bani al-Nadhir meninggalkan bumi al-Madinah dengan membawa bersama harta benda mereka yang telah diletakkan di atas belakang 600 ekor unta.
Adapun rumah dan harta- harta lain yang tidak dapat dibawa bersama, mereka memusnahkannya agar tidak akan ada sama sekali harta mereka yang ditinggalkan dapat dimiliki pula oleh orang Islam.










