SENIBINA masjid di Malaysia sering dipengaruhi kemegahan dari negara Asia Barat. Masjid seringkali menggunakan rekaan di mana kubahnya yang bulat terletak di atas bahagian tengah masjid.
Namun tidak bagi Masjid Damansara Perdana yang membawa konsep reka bentuk rumah Melayu tradisional.
Ia dapat dilihat melalui bentuk tiga segi yang digunakan untuk bumbung masjid menyerupai kebanyakan rumah kampung di Malaysia.
Arkitek reka bentuk Juteras Design Workshop Sdn. Bhd., Jarnee Khoo berkata, ilham itu diperoleh daripada suasana kehidupannya sepanjang membesar.

Katanya, konsep yang dibawakan adalah bagi menjadikan masjid sebagai ruang komuniti untuk masyarakat yang dikelilingi rumah bertingkat.
“Masjid dijadikan sebagai tempat perlindungan kanak-kanak ketika ibu bapa sibuk bekerja.
“Kita ada sediakan kemudahan seperti ruang legar, bilik tuisyen dan dapur untuk digunakan oleh orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang sudah berkecimpung dalam industri senibina selama 35 tahun itu turut meletakkan keutamaan pada kestabilan rohani dan duniawi.
Katanya, berbanding masjid lain yang dilihat megah dengan kos yang tinggi, masjid Damansara Perdana membawakan gambaran yang lebih merendah diri.

“Saya tidak dapat beritahu kos binaan kerana maklumat sulit, tetapi masjid ini menggunakan kos yang rendah.
“Barangan digunakan juga tidak mahal supaya rasa lebih dekat dengan orang ramai,” katanya.
Masjid dua tingkat yang siap dibina pada Mac 2023 lalu itu mampu memuatkan seramai 3,200 jemaah pada satu-satu masa.
Terletak di atas tanah berkeluasan dua ekar, masjid berkenaan dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 5 April lalu.
BARANGAN TEMPATAN
Selain daripada reka bentuknya yang unik, masjid ini turut menggunakan bahan binaan tempatan merangkumi batu-bata, bahan keluli dan lampu kalimantang.
Selain menjimatkan kos, penggunaan bahan berkenaan turut menjimatkan tenaga elektrik masjid sehingga berjaya diiktiraf Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Bata blok angin yang digunakan memberikan peredaran udara yang lebih semula jadi selain turut memberikan sentuhan rumah Melayu tradisi.
Lampu kalimantang dilihat lebih nostalgik kerana menyerupai lampu yang digunakan di warung pinggiran jalan.
“Kita guna blok bata angin, jadi peredaran udara dalam masjid lebih semula jadi tanpa penggunaan pendingin hawa,” katanya.

digunakan memberikan peredaran udara yang lebih semula jadi










