KUBAH masjid selalunya polos tanpa corak. Kalau adapun, hanyalah menggunakan corak yang minimal.
Namun, ia tidak bagi Masjid Usamah bin Zaid yang menampilkan kubah dengan motif bunga berwarna merah jambu.
Masjid yang terletak di atas bukit ini pula tersergam indah dikelilingi lampu pada waktu malam dan boleh dilihat melalui Lebuh raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Siap dibina pada tahun 2008, kos pembinaan masjid ini mencecah RM19 juta di atas tanah seluas 4.3 hektar milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Presiden Masjid, Murshidi Abd Hamid berkata, motif bunga yang digunakan pada kubah adalah untuk menarik perhatian orang ramai.
“Corak kubah kita lain daripada masjid di sekitar, bagi kita, itu adalah antara kelebihan masjid ini selain terletak di atas bukit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kecantikan masjid yang dapat dinikmati khususnya pada waktu malam ini memakan kos elektrik yang sangat tinggi.
Kata Murshidi, kos itu disebabkan oleh lampu yang dipasang bagi menonjolkan kemegahan kubah masjid.
“Bil elektrik kami sangat tinggi kerana lampu yang dipasang pada waktu malam. Kami tanggung kos sebulan dalam RM8,000.
“Kami memang sengaja pasang lampu pada waktu malam. Kalau ikutkan tiada keperluan, tapi kami buat untuk tarik perhatian orang.
KEMUDAHAN PERCUMA
Berbanding masjid lain yang meletakkan caj atau kos sewaan bagi sebarang kemudahan, masjid ini sebaliknya menawarkannya secara percuma.
Antaranya adalah ruang nikah merangkumi pelamin dan 40 kerusi serta ruang penyembelihan binatang korban yang sistematik.
Kata Murshidi, sejak ditawarkan percuma pada tahun 2012, ruang berkenaan ditempah sekurang kurangnya tiga kali acara dalam seminggu.
“Ramai yang datang pada kami, seminggu dalam dua ke tiga pasangan hadir untuk nikah.
“Kalau dulu kami buat nikah duduk di atas lantai, tetapi kini kami sediakan pelamin, meja dan kerusi untuk tetamu.
“Kami tiada letak had kapasiti namun hanya sediakan 30 ke 40 kerusi. Kalau ramai kena berdiri sahaja,” katanya.

Untuk ruangan korban pula, masjid itu merupakan antara masjid pertama melaksanakan sistem perparitan sistematik untuk tujuan penyembelihan.
“Kami menggunakan sistem tiang untuk ikat lembu dan lubang bagi pengaliran darah secara terus ke bawah tanah.
“Ada tempat gantung untuk haiwan yang telah siap disembelih.
“Masjid ini merupakan antara masjid sulung tampil dengan dengan sistem ini. Selepas itu baru ramai orang datang belajar dengan kita,” katanya.
Rumah Allah ini turut menyediakan lebih banyak kemudahan lain yang boleh digunapakai oleh orang ramai dengan sewaan pada kadar minimum.
Antaranya sewaan bilik seminar dengan pakej keperluan merangkumi mikrofon, projektor dan pendingin hawa pada harga RM300 untuk satu sesi dan padang futsal dengan harga RM50 untuk dua jam.











