Harumanis berkualiti, berbaloi harganya

Harumanis berkualiti, berbaloi harganya

AKTIVITI memungut harumanis sedang rancak di Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM harumanis kembali. Pasti ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menikmati keenakan buah ikonik Perlis ini.

Harumanis menjadi antara kebanggaan rakyat negeri ini kerana apa yang istimewa, ia hanya terdapat di Perlis, meskipun sejak akhir-akhir ini mempelam itu dikatakan turut berbuah di negeri-negeri lain termasuk Kedah.

Apa yang pasti, sifat dan rasa harumanis Perlis itu cukup berbeza berikutan faktor tanah dan cuaca di negeri ini mendorong kepada penghasilan buah berkualiti.

Musim ini, nilai pengeluaran harumanis dianggarkan mencecah sehingga RM44.48 juta dengan jangkaan pengeluaran hasil pula melebihi 1,779,21
tan metrik.

Ia membabitkan keluasan kawasan tanaman 1,745.79 hektar dengan keluasan berhasil pula sekitar 1,611.59 hektar membabitkan 2,693 pengusaha.

Dengan harga pasaran antara RM35 sehingga RM40 sekilogram, sudah pastinya pembeli ingin memastikan mendapat buah yang benarbenar berkualiti agar berbaloi dengan harganya.

Bagi menikmati keenakan sebenar agar tidak tersalah beli, pengguna perlu melihat ciri-ciri buah seperti lembut, berbau wangi dan kulit berwarna keperangan.

Antara lain, pengguna juga perlu mengetahui ciri-ciri harumanis seperti buah tiada leher, hujung buah rata dan tumpul, ada kehadiran sinus yang sederhana dalam, serat yang terlekat pada biji dan kulit sangat sedikit, tekstur isi halus selain isi buah masak berwarna kuning jingga, manis, harum dan sangat berjus.

Berat buah mempelam harumanis bagi kategori premium, antara 350 sehingga 650 gram sebiji.

Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, mangga harumanis Perlis mempunyai aroma sangat harum apabila masak, sekali gus berbeza dengan mangga lain dan isinya pula berwarna oren kekuningan (yellowish orange) serta rasanya yang manis.

Pokok mangga harumanis Perlis memerlukan panjagaan yang cukup rapi dan terkawal sepanjang tahun bagi menjaga kualiti buahnya.

“Sepohon mangga harumanis Perlis lazimnya boleh menghasilkan antara 80 hingga ke 200 biji buah bergantung kepada cara pengurusan dan faktor lain seperti cuaca, suhu dan iklim.

“Mangga harumanis Perlis unik kerana ia akan mengeluarkan aroma yang harum apabila masak dan isinya berwarna kuning ke jingga. Buah yang sesuai dimakan mempunyai bacaan kemanisan brix 16 sehingga 34,” katanya.

Isi buah masak berwarna kuning jingga, manis, harum dan sangat berjus.

SESUAI DI PERLIS

Harumanis Perlis sesuai ditanam di Perlis kerana iklim, suhu dan bentuk muka buminya.

Ia memerlukan musim kemarau iaitu dari Januari hingga Mac untuk berbunga (stress period) dan berputik. Hafizuddin berkata, perbezaan suhu siang (panas) dan malam (sejuk) turut menjadi faktor untuk harumanis berbunga.

“Musim harumanis Perlis adalah singkat iaitu antara dua atau tiga bulan setahun. Faktor ini yang membuatkan harumanis Perlis berbeza dengan mangga lain kerana pengeluaran dan pasaran harumanis adalah sangat terhad,” katanya.

Ujarnya harumanis boleh ditanam di tempat lain dan berpotensi mengeluarkan hasil sekiranya mempunyai iklim, suhu dan cuaca bersesuaian serta mendapat penjagaan rapi.

“Mangga harumanis Perlis telah didaftarkan sebagai harta intelek di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000 sejak 2 Ogos 2011 oleh Jabatan Pertanian negeri Perlis dan telah diperbaharui bagi tempoh 10 tahun sehingga 2 Ogos 2031.

“Maka dengan itu, harumanis Perlis mempunyai hak eksklusif untuk mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara serta diberi perlindungan oleh undang-undang harta intelek. Oleh itu juga penjenamaan mangga harumanis Perlis tidak boleh diguna pakai oleh mana-mana negeri atau wilayah,” katanya.

Sementara itu, pengusaha, Sofi Shamsudin,33, berkata, harumanis Perlis memiliki isi lebih halus, lembut dan manis disebabkan faktor cuaca panas dan kawasan tanah yang tidak mempunyai banyak air.

Ujarnya harumanis Perlis dan Kedah khususnya sudah pasti mempunyai perbezaan memandangkan kawasan tanaman di negeri ini juga lebih kepada kawasan tanah batu kapur atau bukit dan negeri jiran itu pula kebanyakkan di kawasan tanah bendang.

“Brix kemanisan harumanis Perlis lebih tinggi daripada Kedah. Apa pun, harumanis Perlis tetap paling asli dengan kawasan tanah batu kapur dan faktor iklim dan geografi negeri ini sesuai untuk tanaman mempelam berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN