GURU-GURU muda perlu banyak bersabar dalam mendidik generasi muda hari ini.
Tokoh Guru Lelaki 2024 Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sholehuddin Kayat,70, berkata, perkembangan teknologi maklumat (IT) yang sangat pesat menjadikan pelajar lebih matang sekali gus menjadikan kerja mendidik itu lebih mencabar berbanding zaman dahulu.
“Golongan muda masa kini pengaruhnya begitu hebat. Pengaruh luar zaman IT ini juga cukup mencabar. Kena banyak bersabar dalam memberikan didikan.
“Saya kira menyampaikan ilmu itu mudah tetapi untuk menghayatinya agar lebih berkesan dalam jiwa anak-anak, agak sukar lebih-lebih lagi dengan cabaran masa kini.
“Selain bersabar, memanfaatkan teknologi yang ada sebaiknya. Jangan lupa untuk sentiasa mendoakan pelajar-pelajar supaya tekun menuntut ilmu,” katanya.
Bekas pendidik dan pensyarah di beberapa institusi pendidikan di bawah JAIS itu, pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tinggi Sultan Hisamuddin Klang.
Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila kesemua tujuh orang anaknya berjaya dalam bidang pendidikan dan profesional.
Sementara itu Tokoh Guru Perempuan 2024 JAIS, Mariani Toilan,65, berkata, mendidik bukanlah tugas mudah kerana memerlukan komitmen tinggi yang tidak berbelah bahagi.
“Anak-anak hari ini mahir dengan gajet, maka guru-guru pun perlu mahir dalam bidang IT juga.
“Guru perlu terus belajar lantaran kita ingin memberi ilmu kepada anak-anak murid.
“Biar kita lebih mahir daripada mereka agar pembelajaran dapat berlangsung dengan lebih berkesan,” katanya.
Guru asal dari Tanjong Karang ini turut menegaskan yang guru harus bergaul dengan masyarakat dan menonjol sebagai individu dihormati dan menjadi rujukan apabila diperlukan










