DEMI menjaga ibu yang menderita angin ahmar, pemuda ini sanggup mengorbankan pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2017.
Di sebalik tanggungjawab besarnya itu, cinta Muhammad Saniy Samsudin, 25, pada ilmu tidak pernah pudar.
Anak kepada pasangan Samsudin Oli Mohamed, 59, yang merupakan wartawan dan Roziana Saad, 57, ini kemudian memilih menuntut di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyiur di Jitra, Kedah.
Ketekunannya membuahkan hasil apabila meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik Kedah 2018 dan ditawarkan tempat ke Australia.
Namun, tawaran itu ditolak gara-gara masalah kewangan dan Muhammad Saniy sekadar meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kewangan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan tajaan biasiswa Naib Canselor.
Rezeki sekali lagi berpihak kepada penerima Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi dan Pingat Emas Naib Canselor UUM 2023 ini apabila ditawarkan ke universiti berprestij di United Kingdom (UK) dalam bidang Sarjana Kewangan, baru-baru ini.
Peluang keemasan itu amat dinantikan kerana University of Warwick tersenarai di kedudukan ke-4 terbaik di UK, manakala ke-16 di dunia.
“Namun, impian untuk belajar ke luar negara hanya boleh tercapai jika mendapat tajaan daripada Majlis Amanah Raya (Mara) atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ketika ini permohonan sudah dibuat dan saya masih menunggu maklum balas pihak Mara,” ujarnya selepas sambutan Hari Belia Negara peringkat Perlis yang disempurnakan Pemangku Raja, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini.
Dalam majlis itu, beliau meraih Naib Johan kategori individu lelaki dan membawa pulang wang RM1,500 dan trofi.
Terdahulu, anak ketiga daripada empat beradik dari Kampung Bakau, Perlis ini pernah berkhidmat sebagai Felo Akademik di University of Texas, Amerika Syarikat di bawah Inisiatif Pemimpin Belia Asia Tenggara (YSEALI).
Inisiatif itu bertujuan membincangkan dan mengkaji perkembangan, sejarah, cabaran serta kejayaan perusahaan di peringkat global.
Muhammad Saniy terpilih antara 65 calon YSEALI selepas menempuhi proses saringan ketat.
AKTIF SUKARELAWAN
Selain cemerlang dalam akademik, beliau juga aktif dalam kerja-kerja kesukarelawan di peringkat sekolah menengah, universiti dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Malah, pernah dilantik sebagai mutawif untuk mengiringi jemaah umrah.
Antara sumbangannya ialah mengutip derma sebanyak RM5,600 bagi prosedur pembedahan mata seorang warga emas.
“Saya tersentuh dengan nasib penjual kuih itu ketika membeli makanan di gerai tepi jalan. Alhamdulilah dengan bantuan orang ramai, wang dapat dikumpulkan dan pembedahan berjaya dilakukan,” sambungnya.
Selain itu, Muhammad Saniy menerajui usaha pembinaan semula surau asrama sekolah, menaik taraf tembok dan pagar di tanah perkuburan
Islam Tok Paduka Kangar di samping menawarkan ganjaran percutian ke Kuala Lumpur buat murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Malah, beliau turut membimbing pelajar dan lepasan sekolah untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi termasuk dalam bidang kemahiran.
“Bukan itu sahaja, saya sering menasihatkan kawan-kawan supaya terlibat dalam program di peringkat ASEAN dan dunia,” katanya.
Pengiktirafan lain yang pernah diterimanya ialah sebagai Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik IPT, Tokoh Siswa Kebangsaan, Tokoh Kesukarelawanan Majlis Perumahan Universiti Awam (Mapum), Ikon Kementerian Pendidikan dan Pembentang Kertas Kerja Terbaik bertajuk Krisis Ekonomi Global: Kesan Wabak Covid-19 di persidangan dalam talian, Asia World Model United Nations Virtual Conference.











