Tabayyun elak salah faham

Tabayyun elak salah faham

ALLAH SWT mengingatkan hamba-Nya sentiasa melakukan tabayyun ke atas berita yang diperolehi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERA globalisasi yang berkembang maju bersama dengan interaksi manusia melalui alam maya di hujung jari akan menentu kesahihan sesuatu berita. Media sosial menjadi nadi utama penyebaran luas informasi semasa dan terkini. Dunia di hujung jari memberi impak positif dan negatif dalam penyebaran dan penerimaan sesuatu berita. 

Dalam Islam, Allah SWT mengingatkan hambaNya sentiasa melakukan tabayyun ke atas berita yang diperolehi. Tanpa tabayyun akan menyebabkan terjadinya prasangka buruk dan permusuhan akan berterusan ekoran salah faham. 

Allah SWT mengingatkan kita tentang hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesun uhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Jika demikian keadaan mengumpat, maka sudah tentu kamu jijik kepadanya… (al-Hujurat: 12)

Dalam Tafsir Al-Karim Al-Rahman fi Tafsir Kalam Al-Mannan, Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menafsirkan bahawa Allah SWT melarang dari berprasangka buruk terhadap saudara seIslam.

Prasangka buruk menyebabkan berlaku pengumpatan dan mencerca sesama satu sama lain. Ini kerana melakukan perkara yang diharamkan sehingga tertanam di dalam jiwanya perasaan yang buruk terhadap rakan muslimnya dan menimbulkan permusuhan sesamanya. 

APA ITU TABAYYUN?

Tabayyun adalah perkataan Bahasa Arab bermakna menyemak asas kebenaran. Sesuatu berita atau isu yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan kebenarannya bertepatan dengan informasi asal.

Ini bertujuan mengelakkan sebarang agenda yang tidak baik berlaku seperti salah faham, fitnah, tokok tambah, menipu, bertujuan menjatuhkan reputasi individu yang semesti lahir dari hawa nafsu dan sifat kebencian. 

Allah SWT menyarankan hamba-Nya yang beriman sentiasa menyelidik sesuatu maklumat yang terima supaya tidak memberi kesan tidak soleh dalam kehidupan harian dan penyatuan ummah. 

Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (al-Hujurat: 6)

Ayat ini jelas menunjukkan untuk menerima pakai sesuatu berita atau maklumat maka perlu membuat semakan dahulu sehingga mencapai keyakinan akan kebenarannya supaya kita tidak tergesa-gesa dalam menerimanya.

Ini kerana sesuatu isu contohnya isu kalimah Allah SWT dan yang terkini isu perkataan kafir kadangnya penyampaian dengan maksud lain tetapi masyarakat menerima dengan fahaman yang lain. 

Dengan tabayyun maka seseorang itu dapat menyampaikan semula informasi dalam versi yang lebih tepat dan jitu.

Syeikh al-Maraghi dalam Tafsir Al-Maraghi menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT mengajar hambanya supaya beradab mulia dalam soal urusan agama dan dunia. 

Apabila seseorang fasik menyampaikan sesuatu berita yang bertentangan dengan syiar agama. Oleh itu jangan mempercayai beritanya itu melainkan hendaklah menyelidiki serta menelitinya terlebih dahulu.

Perintah Allah SWT menyeru kepada hambaNya yang beriman, apabila menerima atau menyampaikan sesuatu maklumat menjadikan tabayyun sebagai tiang utama dalam mencari kesahihan khabar berita supaya keharmonian sesama hambaNya lebih murni.

Mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Hafs bin Asim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya tanpa tabayyun. (Riwayat Muslim)

ADAB MENYAMPAI DAN MENERIMA BERITA

Umat Islam perlu berhati-hati dalam menyampai dan menerima informasi Allah SWT.

Rasulullah SAW memandang berat perbuatan ini. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia menyangka tidak mengapa, kemudian tanpa diduga telah dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka yang mana kedalamannya sejauh perjalanan 70 tahun.” (Riwayat Tirmidzi)

Informasi diterima atau disampaikan itu perlu dipastikan siapa yang menyampaikan, faktanya benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. 

Selain itu perlu kepada penyemakan dan penyelidikan yang jitu dan telus akan sesuatu berita yang diterima atau disampaikan untuk memastikan kesahihannya.

Ini kerana setiap perbuatan dan kata-kata yang keluar dari lisan boleh  mengundang kemurkaan daripada Allah SWT dan berlaku pergaduhan serta perselisihan di dalam masyarakat.

Ingatlah ancaman yang dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah golongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka berita yang dusta itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar di dunia dan di akhirat. (an-nur: 11)

Selain itu, umat Islam perlu mendahului penerimaan sesuatu berita dengan sikap bersangka baik dan tidak mengambil tindakan terburu-buru dalam membuat kenyataan ke atas informasi yang diterima. 

Ini ditekankan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis bermaksud: Jauhilah daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar. Dan janganlah melihat kesalahan orang lain, dan janganlah suka mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah saling membenci, dan janganlah memutuskan hubungan persaudaraan atau berkonspirasi akan tetapi jadilah kamu semua sebagai hamba Allah SWT yang bersaudara. (Riwayat Bukhari)

Allah SWT mengingatkan umat Islam supaya menerima atau menyampaikan berita yang telah disemak kesahihannya dan tidak mengikut hawa nafsu yang berprasangka akan khabar berita yang buruk atau baik. 

Sebabnya, setiap pancaindera dan hati manusia akan diperhitungkan di akhirat kelak dan dipersembahkan di Padang Mahsyar. 

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (al-Israk: 36)

Untuk memastikan sesuatu pengkhabaran itu merupakan satu tuntutan bagi mengelak terjadinya fitnah dan permusuhan sesama manusia. Kaedah fiqh menyebut: Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN