TIDAK lengkap Syawal jika tiada acara rumah terbuka.
Bukan sahaja dapat menikmati juadah pelbagai, malah ia juga merupakan peluang untuk sanak saudara dan rakan taulan berkumpul setelah lama tidak bersua.
Namun, dengan keadaan ekonomi yang ‘menyesakkan’ pada ketika ini pasti ramai yang teragak-agak mahu menganjurkan rumah terbuka.
Sudah tentu ia memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit sementelah harga barang mentah melonjak naik sejak beberapa bulan lalu.
Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Mohd Zaidi Md. Zabri berkata, tidak ada salahnya jika penganjuran rumah terbuka diadakan secara potluck.
Terutamanya jika diadakan untuk meraikan saudaramara atau kenalan rapat yang pasti lebih mudah menerima rancangan melakukan potluck tersebut.
“Tidak salah sekiranya rumah terbuka diadakan secara potluck kerana ia akan lebih menjimatkan.
“Tuan rumah hanya sediakan makanan utama dan makanan sampingan lain pula dibawa oleh tetamu seorang sedikit, maka ia akan lebih menjimatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, bagi mengelakkan berlakunya pembaziran, kaedah berkenaan turut memerlukan perancangan teliti daripada segi makanan yang akan dibawa oleh tetamu.
Sebaiknya, tuan rumah perlu menyediakan wadah perbincangan menggunakan aplikasi sembang yang pelbagai pada ketika ini untuk membincangkan jenis makanan yang akan dibawa dan juga jumlah tetamu yang hadir.
“Kaedah ini mengelakkan berlakunya pembaziran kerana makanan dibawa berlainan serta mengikut jumlah tetamu yang datang sahaja.
“Ini kerana masalah pembaziran makanan terutamanya pada Ramadan dan Syawal di negara ini merupakan isu besar yang sering muncul pada setiap tahun,” katanya yang turut menyarankan agar pihak yang ingin mengadakan rumah terbuka, membuat perancangan kewangan
setahun awal supaya pengurusan kewangan berada pada tahap yang baik.
“Saya dan isteri mengadakan perancangan kewangan setahun awal. Bajet untuk raya tahun ini sudah kami rancang tahun lepas untuk lebih mesra poket,” katanya.
ACARA SEDERHANA
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan Fakulti Peniagaan dan Ekonomi UM, Dr. Zarinah Yusof menjangkakan sambutan rumah terbuka tahun ini, lebih sederhana berbanding tahun sebelum Covid-19.
Ia adalah kesan daripada pendapatan yang baharu kembali stabil dalam kalangan mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan semasa pandemik, selain kesan kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini. Katanya, sebaiknya penganjuran rumah terbuka diadakan mengikut kemampuan dan keperluan memandangkan ia bakal menelan sejumlah perbelanjaan.
“Jika pendapatan terhad dan kewangan adalah masalah utama, tak perlu buat rumah terbuka. Memadai meraikan tetamu dan menjamu tetamu yang datang ke rumah dengan apa yang kita mampu sahaja.
“Rumah terbuka biasanya menyajikan pelbagai juadah makanan. Tetamu akan seronok makan hidangan pelbagai disediakan. Bagi yang kurang berkemampuan, mereka pasti tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menyediakan keperluan itu,” jelasnya.

BANTU PENIAGA KECIL
Bagaimanapun, katanya, sekiranya mampu dan\ berpendapatan tinggi, mengadakan rumah terbuka dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.
Malah, perbelanjaan daripada isi rumah yang berpendapatan ini dapat membantu menjana pendapatan kepada peniaga kecil seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.
“Namun, berbelanjalah secara berhemah supaya tidak berlaku pembaziran. Perbelanjaan berhemah ini turut melibatkan berbelanja dengan
munasabah iaitu membeli pada harga berpatutan.
“Dengan cara ini harga barangan akan lebih terkawal dan stabil. Peniaga dan penjual tidak mudah nak letak harga tinggi sesuka hati kerana
pengguna bijak tidak akan membeli pada harga yang tinggi yang tidak munasabah,” kongsinya.
Beliau turut mencadangkan beberapa kaedah yang boleh digunapakai untuk menganjurkan rumah terbuka yang lebih mesra poket.
Antaranya menyediakan sendiri makanan yang akan dihidangkan kepada tetamu.
“Pilih masakan yang mudah disediakan, menarik, sedap dan juga kos rendah.
“Misalnya, nasi lemak, nasi ayam, mi soto, mi goreng, nasi goreng dan laksa. Begitu juga dengan minuman, boleh disediakan sendiri.
“Boleh juga minta kawan yang pandai tolong masak makanan dengan sedikit bayaran. Ini adalah lebih murah daripada mendapatkan perkhidmatan katering makanan.
“Tetapi, bagi yang berpendapatan tinggi, tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan perkhidmatan katering makanan. Malah, digalakkan kerana ini dapat membantu menjana pendapatan pengusaha kecil makanan,” katanya.
PASANGAN suami isteri, Muhammad Ishaq Ibrahim dan Nabilah Natasha Ahmad Johanif, sememangnya acap kali menganjurkan acara makan-makan dan rumah terbuka buat saudara mara dan rakan-rakan.
Kata Natasha, ia bukan sahaja memeriahkan lagi suasana sambutan raya, malah dapat mengeratkan silaturahim sesamam mereka.
Pasangan berusia 32 dan 30 tahun itu memilih untuk memasak sendiri juadah yang akan dihidangkan kepada tetamu mereka.
“Biasanya, kami masak sendiri juadah supaya dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan. Mujurlah, suami pandai memasak dan memang suka memasak.
“Selalunya kami sediakan makanan Melayu dan suami memang akan masak menu kepakarannya iaitu sup ayam. Kadang-kadang buat
mi kari dan sandwich. Ada juga yang kami tempah daripada peniaga tempatan untuk tambahan,” jelas ibu dua anak itu.

Acara makan-makan itu, kebiasaannya dibuat mengikut bajet ditetapkan iaitu sekitar RM200 hingga RM300.
Undangan dan tetamu juga dirancang secara teliti bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
“Tujuan utamanya adalah untuk berjumpa dan beramah mesra jadi, disamping itu kita adakan makan-makan untuk meriahkan suasana.
“Jadi, kita tidak mahu terlalu membazir disamping mengikut kemampuan sendiri sahaja. Kena bijak atur dan kawal perbelanjaan jika ingin menganjurkan makan-makan atau rumah terbuka,” jelasnya.










