Pelihara haiwan eksotik lebih mudah

Pelihara haiwan eksotik lebih mudah

ADA haiwan tidak memerlukan lesen dan ada juga yang memerlukan lesen serta permit khas terutama haiwan yang dilindungi. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAIWAN eksotik adalah antara jenis haiwan yang paling jarang dilihat untuk dijadikan sebagai peliharan.

Sifatnya yang unik dan rare kerana sukar untuk ditemui menjadikan kebanyakan orang tidak tahu akan kewujudannya.

Bukan itu sahaja, perspektif masyarakat terhadap haiwan tersebut juga dilihat negatif terutama bagi haiwan jenis ular dan biawak.

Namun, apa yang mengejutkan adalah cara peliharaan haiwan-haiwan ini adalah jauh lebih mudah dan murah berbanding haiwan domestik seperti kucing.

Haiwan seperti ular, makanan yang diperlukan adalah ayam mentah ataupun tikus selain waktu pemakanan antara dua atau seminggu sekali bergantung kepada saiz dan umur.

Bagi haiwan jenis biawak pula, ia hanya memerlukan makanan jenis serangga seperti cengkerik dengan waktu makan sebanyak dua kali seminggu.

Berikut merupakan perkongsian pemilik Brotherhood Reptiles, Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 27, bagi memecahkan perspektif orang ramai terhadap peliharaan haiwan eksotik itu.

Katanya, berbanding haiwan seperti kucing, penjagaan ular dan biawak adalah jauh lebih murah selain makanannya yang mudah didapatkan.

“Kalau macam jenis cicak ini, kita bagi cengkerik. Cengkerik senang didapatkan dimana-mana, harganya pun murah.

“Untuk ular pula, bagi yang besar hanya seekor ayam, kalau yang kecil, kita bagi tikus dan saiz tikus itu bergantung kepada saiz ular,” katanya kepada Seri.

NUR Nina Farisha Woo Abdullah menunjukkan seekor ular buta yang terdapat di Brotherhood Reptiles.

LIMA TAHUN HILANGKAN RASA TAKUT

Menceritakan kisah awal dirinya mula berjinak dengan haiwan itu, beliau yang lebih mesra disapa Nina berkata, pertemuan pertama adalah bersama ular yang ditemui di kolam renang.

Katanya, bagaimanapun, perkara itu menjadi satu trauma dalam dirinya kerana perasaan takut terhadap haiwan tersebut.

Tetapi disebabkan minat yang mula terdetik, Nina mula mencabar dirinya dalam cuba mengatasi ketakutan yang ada,

“Saya ambil masa yang lama nak hilangkan rasa takut selepas trauma terjumpa ular dekat kolam renang. Tapi sebab minat, saya cabar diri dan cuba hilangkan rasa takut.

Nina yang juga bermula sebagai ejen <em>dropship</em> di satu kedai haiwan berkata, kedainya dibuka setelah melihat potensi besar dalam perniagaan haïwan eksotik itu.

“Setelah saya nampak potensi dalam bidang menjual haiwan eksotik dengan berbekalkan minat dan pengalaman, saya beranikan diri untuk membuka kedai fizikal.

“Kedai ini turut mendapat lesen dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menjual dan mengimport haiwan tersebut,” katanya.

PROSES KEMASUKAN HAIWAN

Selain dari Malaysia, haiwan eksotik yang dijual didapatkan dari pelbagai negara luar, antaranya Amerika Syarikat, Timur Tengah, Afrika, Indonesia dan Amerika Selatan.

Antara faktor menyumbang kepada kemasukan haiwan import ini adalah kerana ia bergantung kepada permintaan peminatnya yang tersendiri.

Kemasukannya pula memerlukan proses yang berbeza mengikut spesis dan jenis haiwan import.

Katanya, terdapat beberapa kategori pengurusan lesen yang ditetapkan pihak Perhilitan di bawah akta 716 Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Ada haiwan tidak memerlukan lesen dan ada juga yang memerlukan lesen serta permit khas terutama haiwan yang dilindungi.

“Untuk penghantaran pula, pihak pengimport haruslah mendapatkan permit import Perhilitan, Kastam, Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan kebenaran dari pihak syarikat penerbangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN