Enam tahun beraya di Mesir

Enam tahun beraya di Mesir

SEMASA khutbah Aidil tri anak Malaysia di Hayu Asyir, Mesir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYAMBUT Aidilfitri di kampung halaman sudah menjadi kemestian bagi mana-mana anak perantau.

Suasananya lebih meriah apabila dapat berada di sisi keluarga tercinta, termasuk saling bersalaman dan bermaafan di samping kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara.

Setahun tidak pulang beraya pun boleh membuatkan hati sesiapa jadi sayu, apatah lagi jika tempohnya mencecah enam tahun.

Demikian pengalaman dilalui Zarqan Mat Riduan, 24, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Usuludin di Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir.

Sejak berhijrah menuntut ilmu di negara berkenaan pada 2019, sudah enam kali Syawal diraikan secara berjauhan dengan keluarga yang menetap di Sungai Siput, Perak.

“Semasa tahun pertama dahulu, tipulah jika tidak sedih beraya tanpa ibu bapa dan adik-beradik.

“Oleh itu, menjadi kewajipan untuk saya membuat panggilan video pada pagi Aidilfitri dengan mereka, sekurang-kurangnya terubat rindu bila berjauhan,” katanya baru-baru ini.

Katanya, bagi pelajar berkemampuan kebiasaannya golongan itu akan pulang beraya di tanah air bersama keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, Zarqan tetap bersyukur kerana masih berpeluang menikmati suasana Aidilfitri menerusi inisiatif komuniti Malaysia di Mesir.

Sebahagian daripada mereka lazimnya akan berkumpul dan bersolat bersama-sama, disusuli dengan bergambar beramai-ramai.

Aktiviti kemudian diteruskan dengan beraya ke rumah-rumah sewa pelajar lain bagi mengeratkan ukhuwah.

“Saya dan kawan-kawan serumah biasanya akan memasak rendang, kuah kacang, nasi himpit serta mi kari untuk dijamu kepada tetamu yang datang.

“Secara tidak langsung dapatlah kami menghidupkan kemeriahan Aidilfitri seperti di Malaysia walaupun berjauhan dengan keluarga,” katanya
yang akan menamatkan pengajian tahun ini.

ZARQAN Mat Riduan (duduk, kanan) bersama-sama rakan-rakan ketika majlis jamuan hari raya di Mesir

Selain itu, terdapat juga rumah terbuka yang dianjurkan persatuan anak negeri masing-masing misalnya Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dan Keluarga Pelajar Kelantan Mesir.

Zarqan berkata, masyarakat Arab di Mesir tidak mengamalkan budaya ziarahmenziarahi sanak saudara serta rakan taulan pada Aidilfitri, dan terus pulang ke rumah selepas selesai bersolat.

“Walaupun raya di sini biasa-biasa tetapi berbeza dengan Ramadan yang disambut secara meriah oleh penduduk tempatan, seolah-olah itulah raya,” kongsinya lagi.

MASAK NASI LEMBIK UNTUK 350 TETAMU
Di sebalik kenangan manis beraya di perantauan, namun ada satu kejadian yang tidak dapat dilupakan pemuda ini pada Syawal tahun lalu.

Zarqan memberitahu, situasi cemas itu berlaku ketika dia bersama seorang rakan ditugaskan memasak nasi basmati untuk jamuan raya komuniti Johor di Mesir.

“Nak jadikan cerita, nasi yang kami masak lembik dan tidak berapa menjadi.

“Sebelum ini, tiada masalah timbul apabila memasak nasi sebab guna beras biasa, mungkin sebab pertama kali kami guna basmati dalam masakan,” katanya.

Walaupun agak kecewa dengan hasil yang kurang memberangsangkan tetapi dia lega kerana nasi itu masih boleh dimakan para tetamu.

KONGSI SEWA DEWAN RAYA DI NORWAY

Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di Norway berkongsi kemeriahan sambutan Aidilfitri di negara berkenaan.

Zara Yuhana Razlan, 21, yang pertama kali beraya di perantauan berpeluang menyertai rumah terbuka raya bersama-sama komuniti Malaysia di Oslo.

Katanya, perancangan untuk majlis itu diatur sejak sebulan lalu dan mereka turut diminta membawa juadah raya masing-masing.

Ujarnya, menu-menu tidak terhad kepada citarasa Melayu, sebaliknya turut menampilkan hidangan barat seperti piza dan pasta.

“Rumah terbuka ini diadakan pada hujung minggu lepas, malah kami turut berkongsi menempah dewan sebagai lokasi majlis.

“Saya memasak lasagna kerana kalangan tetamu merupakan rakyat Norway yang berkahwin dengan orang Malaysia dan mempunyai anak kacukan, jadi menu-menu barat turut disediakan untuk mereka yang tidak biasa makan juadah Melayu,” katanya.

LEBARAN pertama Zara Yuhana Razlan (tengah) sebagai anak perantau di Norway

Menurut Zara Yuhana, ketika ini terdapat lebih 800 rakyat Malaysia menetap di Norway.

Anak jati Shah Alam, Selangor ini boleh dianggap bertuah kerana sambutan raya di perantauan ditemani keluarga dari Malaysia.

“Ini merupakan tahun pertama saya beraya di Norway dan Alhamdulillah keluarga ada di sisi untuk beraya bersama,” katanya.

Terdahulu, dia menjejakkan kaki ke negara itu pada Ogos 2023 kerana menuntut di Universiti Handelshøyskolen BI.

Norway menjadi destinasi pilihannya untuk menuntut ilmu kerana negara itu mesra wanita bertudung, selamat dan tidak ramai dihuni orang Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×