SUP gearbox sering menjadi hidangan pembuka selera terutamanya bagi mereka yang tidak sihat badan, lesu atau kurang bertenaga.
Hirupan sup ini pastinya memikat selera semua. Sekali hirup, badan terasa panas dan peluh mula membasahi muka.
Sempena Bufet Ramadan
2024, Hotel Tenera di Bandar Baru Bangi mempertaruhkan Sup Gearbox Kampung Utara yang pastinya membangkitkan selera pengunjung untuk
menikmati lebih 200 sajian seterusnya.
Cef Eksekutif hotel, Sahisal Azrul Mat Said berkata, sup gearbox itu merupakan sup rebusan paha dan kaki lembu yang didatangkan dengan
aneka pilihan lain seperti paru, daging tetel, ekor dan urat keting.
“Ia dimasak bersama rempah sup pilihan serta pilihan hirisan seperti halia Bentong, daun sup dan bawang goreng.
“Sup gearbox direneh selama sejam dan air rebusan pertama dibuang terlebih dahulu. Ia kemudian direneh sekali lagi selama tiga hingga
empat jam.
“Hidangan ini amat sesuai dimakan bersama nasi putih atau mihun. Lebih menarik, ia boleh dimakan bersama ikan bakar sumbat yang terdapat di bufet ini,” katanya semasa sesi pengenalan menu Bufet Ramadan di hotel yang berkonsepkan Mesra Muslim, baru-baru ini.
Mengekalkan konsep gerai-gerai seperti di Bazar Ramadan, terdapat lebih 40 gerai seperti masakan panas, bakar, sup, pasta, pizza, dim sum,kuih-muih, buah-buahan serta aneka minuman.
Turut mencuri tumpuan adalah gerai Rojak Mamak Padang Kota iaitu pilihan rojak bersama aneka makanan laut dan ayam yang disajikan
bersama kuah rojak resepi asli dari utara berserta racikan timun, sengkuang dan mi kuning.
Pengunjung turut berpeluang menikmati menu pilihan selebriti, Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta di gerai Wadai Kepeng LipLap Lip Lap yang merupakan pemanis mulut pilihan.
Ia dimasak secara tradisi orang banjar yang sangat jarang boleh didapati di bandar.
Che Ta juga dipilih sebagai wajah pelaris sempena bufet Ramadan kali ini.Untuk rekod, Hotel Tenera yang merupakan milik penuh Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad pernah menerima anugerah berprestij ‘Best Ramadan Buffet’ pada 2019, 2022 dan 2023 daripada Gastronomy Association of Malaysia.










