Rasulullah SAW begitu mementingkan isu penggunaan air dalam ibadat dengan kadar yang sedikit. Ini perlu menjadi perhatian kita semua kerana seringkali seseorang yang berwuduk contohnya menggunakan air dengan kadar yang membawa kepada pembaziran sedangkan air tersebut adalah air masjid atau surau yang menjadi milik orang ramai.
Pada kali ini saya membawakan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menceritakan kadar air yang sedikit yang digunakan oleh Rasulullah SAW semasa baginda mandi wajib.
Hadis tersebut adalah: Daripada (Saidatina) Aishah, beliau berkata: “Saya dan Nabi SAW telah mandi daripada bekas penakung air yang sama daripada Qodah. Qodah tersebut dinamakan: al-Faroq”.
Kalimah Qodah pada asalnya bermaksud bekas yang digunakan untuk minum yang pada hari ini bermaksud gelas atau cawan. Walau bagaimanapun Qodah yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah bekas besar yang menakung air dalam jumlah kuantiti yang besar.
Saidatina Aishah menerusi hadis ini menceritakan kepada kita bahawa Nabi SAW pernah mandi junub bersama-sama dengan beliau. Menurutnya, air yang digunakan oleh mereka berdua ketika mandi junub tersebut adalah diambil daripada bekas penakung air yang sama. Nama bekas tersebut adalah al-Faroq.
Berdasarkan hadis-hadis yang lain, bekas yang menakung air yang tertera dalam hadis di atas adalah sebuah bekas air yang diperbuat daripada tembaga.
Ini bermakna kita boleh menggunakan sebarang bekas yang diperbuat daripada tembaga sekalipun warna tembaga kelihatan seakan-akan emas.
Rasulullah SAW Contoh Teragung
Rasulullah SAW adalah contoh teragung kepada golongan suami dari sudut kemesraan baginda dengan isteri-isteri baginda. Maka tidak hairanlah apabila Allah mengharamkan para isteri baginda berkahwin dengan lelaki lain selepas kewafatan baginda sebagai rahmat buat mereka semua kerana para isteri Rasulullah SAW sama sekali tidak akan menjumpai suami yang lebih baik atau sama seperti Rasulullah SAW.
Hidup mereka pasti akan kecewa dan tertekan sekiranya mereka dibenarkan berkahwin dengan mana-mana lelaki selepas kewafatan baginda dek kerana para ibu bagi orang mukmin ini semestinya tidak akan dapat sama sekali merasai kebahagiaan berumahtangga sebagaimana yang dikecapi oleh mereka semasa hayat Rasulullah SAW.
Maha benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya anda (duhai Rasulullah SAW) adalah benar-benar berada lebih tinggi daripada akhlak yang hebat. (al-Qalam: 4).
Mandi bersama isteri
Hadis ini menunjukkan suami boleh mandi junub bersama isterinya dengan menggunakan air yang sama yang ditakung di dalam sebarang bekas penadah air. Maka berdasarkan konsep qias, orang lelaki juga boleh mandi bersama-sama dengan mahramnya dalam kalangan perempuan dan orang perempuan juga boleh mandi bersama-sama dengan mahramnya dalam kalangan lelaki.
Walau bagaimanapun orang lelaki atau orang perempuan yang mandi bersama-sama dengan mahramnya yang berlainan jenis hendaklah masing-masing menutup aurat iaitu antara pusat dengan lutut. Namun dari sudut adab, wanita hendaklah menutup bahagian dadanya apabila dia bersama-sama dengan mahramnya.
Kuantiti Satu Faroq
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan kadar kuantiti air yang dapat diisi secara penuh di dalam bekas air yang bernama al-Faroq. Kebanyakan mereka berpandangan satu al-Faroq menyamai 3 So’. Satu So’ di sisi kebanyakan fuqaha adalah menyamai 2.04 kilogram (kg).
Adapun di sisi al-Hanafiyyah, satu So’ adalah menyamai 3.25 kg. Ada juga yang berpandangan bahawa satu al-Faroq menyamai 2 So’.
Menurut Prof. Dr. Aliyy Jum’ah, satu al-Faroq menyamai 3 So’ adalah 6.5 kg air di sisi al-Hanafiyyah dan 6.12 kg air di sisi kebanyakan fuqaha. Ini bermakna satu al-Faroq di sisi kebanyakan ulama adalah menyamai 6.12 liter air.
Saidatina Aishah menerusi hadis ini menyatakan Rasulullah SAW dan beliau mandi dengan menggunakan air yang diceduk daripada bekas yang bernama al-Faroq yang boleh mengisi air kira-kira 6.12 kg iaitu 6.12 liter air.
Namun hadis ini secara khusus tidak menunjukkan kadar air yang digunakan oleh Nabi SAW secara khusus semasa mandi junub. Ini kerana berkemungkinan air yang ada di dalam al-Faroq semasa Rasulullah SAW dan Saidatina Aishah mandi junub secara bersama-sama adalah memenuhi bekas tersebut atau tidak.
Walau bagaimanapun ada hadis lain yang menunjukkan Rasulullah SAW pernah mandi junub dengan menggunakan air satu So’ sahaja iaitu 2.04 kg air iaitu menyamai 2.04 liter air.
Kesimpulannya, Rasulullah SAW begitu berjimat dalam menggunakan air sekalipun untuk tujuan beribadat. Maka menjadi satu tuntutan agar umat Islam mencontohi Rasulullah SAW yang sangat berjimat dalam menggunakan air.
Sikap membuka pili air semasa berwuduk dan mandi wajib dengan bukaan yang besar sehingga berlaku pembaziran air adalah sikap yang tidak selari dengan tuntutan Islam.
Aurat Pasangan
Seorang suami dibenarkan melihat aurat isterinya. Begitu juga seorang isteri dibolehkan untuk melihat aurat suaminya. Ini dikuatkan lagi dengan riwayat al-Imam Ibnu Hibban bahawa seorang tabiin yang bernama ’Ato pernah bertanya kepada Saidatina Aishah tentang adakah seorang suami melihat kemaluan isterinya lalu Saidatina Aishah meriwayatkan hadis di atas ini.
Kandungan penuh hadis riwayat al-Imam Ibnu Hibban ini adalah seperti berikut: Al-Hasan bin Sufyan telah mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata: Abd. al-Rohman bin Ibrohim menceritakan kepada kami, beliau berkata: Muhammad bin Shu’ayb telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Utbah bin Abu Hakim telah menceritakan kepada saya bahawa sesungguhnya beliau telah bertanya kepada Sulayman bin Musa tentang seorang lelaki yang melihat kemaluan isterinya lalu Sulayman berkata: Saya telah bertanya tentang perkara tersebut kepada ‘Ato lalu beliau berkata: Saya telah bertanya tentang perkara tersebut kepada (Saidatina) Aishah lalu beliau berkata:“Saya dahulu telah mandi bersama-sama dengan kekasih saya daripada sebuah bekas penakung air yang sama. Tapak-tapak tangan kami saling berselisih di dalam bekas tersebut”. (‘Ato berkata): Beliau telah menunjukkan (kepada saya) sebuah bekas penakung air di dalam rumah yang berkuantiti 6 Qist.
Menurut Prof. Dr Aliyy Jum’ah; satu Qist di sisi kebanyakan fuqaha adalah 1.02kg. Adapun di sisi al-Hanafiyyah; satu Qist adalah menyamai 1.625 kg.
Walau bagaimanapun hadith riwayat al-Imam Ibnu Hibban ini tidaklah bermaksud bahawa Nabi SAW pernah melihat kemaluan Saidatina Aishah.
Ini diakui oleh Saidatina Aishah apabila diriwayatkan bahawa beliau pernah berkata: Rasulullah SAW tidak pernah mendatangi seorang pun daripada isteri-isteri baginda melainkan dalam keadaan baginda menudungi kepala baginda. Baginda akan menjuntaikan pakaian di atas kepala baginda. Saya tidak pernah melihatnya daripada baginda (iaitu kemaluan baginda) dan baginda (juga) tidak pernah melihatnya (iaitu kemaluan Saidatina Aishah) daripada saya.
Adapun tindakan Saidatina Aishah yang mendatangkan hadis kedua ini apabila beliau ditanya tentang hukum seorang suami melihat kemaluan isterinya, maka saya berpandangan bahawa Saidatina Aishah sebenarnya ingin menyatakan bahawa secara qias, seorang suami tidak diharamkan melihat kemaluan isteri sebagaimana dia tidak diharamkan melihat aurat isterinya.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










