Hadramawt Kitchen tawar menu Rahmah buka puasa - Utusan Malaysia

Hadramawt Kitchen tawar menu Rahmah buka puasa

Alif Satar dan Cef Fuad Aboasil menunjukkan Nasi Mandy dengan kambing yang menjadi tarikan di Bufet Ramadan Hadramawt Kitchen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengunjung sudah tidak sabar hendak melihat apakah isi di dalam periuk besar yang ditelangkupkan di atas meja di depan mereka.

Cef Muzaffar dan Duta Hadramawt Kitchen (HK), Alif Satar mengetuk-ngetuk buntut periuk, sebelum mengangkat periuk berkenaan perlahan-lahan.

Sebaik diangkat, pengunjung teruja apabila melihat daging kambing tersusun kemas dan di bawahnya terdapat gulungan-gulungan daun sebesar ibu jari bersusun kemas secara bertingkat.

Hidangan itu adalah pembuka selera Lubnan yang unik dikenali sebagai ‘Warak Enab’. Warak Enab adalah nasi dan daging yang digulung dengan daun anggur dan di masak bersama daging kambing yang disusun di bahagian bawah periuk.

Hidangan ini juga dipanggil Dolma dalam Bahasa Turki dan Dolmades dalam Greek. Ia mesti dicuba kerana gabungan daging kambingnya yang lembut dan nasi yang lembut memang cukup enak.

Melihat deretan hidangan pembuka selera lain di Bufet Ramadan HK 2004 ini, membuatkan pengunjung tidak sabar untuk menikmati setiap satu hidangan.

Alif berkata, HK terkenal dengan pelbagai masakan dari Asia Barat seperti Yemen, Algeria, Syria, Lubnan dan Palestin yang mesti dicuba.

“Ada kira-kira 82 jenis masakan dalam senarai bufetnya untuk pengunjung berbuka puasa,” katanya selepas diumumkan sebagai duta restoran berkenaan oleh  Ketua Pegawai Eksekutif HK, Alaa Abdalwahed, sempena  pelancaran Bufet Ramadan HK 2024, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hidangan meriah

Lupakan diet apabila berada di HK kerana bufet Ramadan ini menawarkan hidangan utama yang tidak boleh dilepaskan selepas seharian menahan lapar.

Alaa Abdalwahed menunjukkan seleksi pemanis mulut yang cukup menyelerakan.

Pengunjung teruja apabila sedulang besar Nasi Mandy dengan kambing yang besar dibawa keluar oleh Cef Fuad Aboasil dan kakitangan yang lain.

Daging kambing yang lembut dengan Nasi Mandy berwarna kuning yang masih berasap terasa enak berlemak apabila disuapkan ke mulut.

Nasi ditaburi kismis itu digabungkan dengan aneka hidangan utama lain berasaskan daging kambing, ayam dan ikan.

Antaranya adalah Ayam Haneeth iaitu ayam diperap dengan rempah khas dan dipanggang bersama sayur bayam dan ditaburi kacang gajus dan tomato ceri.

Rasa rempahnya cukup terasa dengan daging ayam yang lembut dan mudah dikunyah.

Kebiasaannya Haneeth dihidangkan di majlis istimewa seperti perkahwinan.

Hidangan dihidangkan dalam bufet ini adalah Ayam Kabsah dimasak menggunakan campuran rempah-ratus seperti buah pelaga, kunyit, kayu manis, limau hitam, daun salam dan buah pala.

Jejari Zainab

Dalam segmen pembuka selera, kecur bila melihat salad yang terdiri daripada jeruk buah zaitun hijau dan ungu yang rasanya masin-masin kelat.

Ada juga hummus yang enak dimakan bersama roti pita. Gabungan yang cukup membuka selera anda.

Terdapat juga sup cendawan dan lentil. Menu pembuka selera lain seperti falafel, kebab yang mengandungi daging kambing atau ayam cincang, samosa kambing dan sebagainya.

Ada lebih 10 pemanis mulut yang perlu dicuba kerana kebanyakannya adalah pemanis mulut tradisional Arab yang enak.

Antaranya Asabe Zainab atau Jejari Zainab, hidangan pemanis mulut paling unik dan sememangnya dimasak ketika menjelang Ramadan sahaja.

Ia diperbuat menggunakan pastri berbentuk jejari, mengandungi keju yang digoreng ranggup, direndam di dalam sirap kunyit dan buah pelaga.

Jangan lupa mencuba Basbousa iaitu kek semolina yang direndam sirap manis berperisa oren. Pemanis mulut yang berasal dari Mesir ini akan dipotong empat segi apabila dihidangkan.

Pencuci mulut lain seperti  Awameh berbentuk bebola donat kemudian dicelup dalam sirap manis ringkas yang berperisa air mawar untuk pencuci mulut Arab yang sensasi, Kunafa dan aneka jenis baklava.

Set menu Rahmah

Teringin hendak berbuka puasa dengan menikmati hidangan Asia Barat tetapi bajet tidak cukup?

Jangan risau kerana HK tidak melupakan golongan kurang mampu dengan menyediakan menu Rahmah untuk penggemar hidangan dari Timur Tengah yang mempunyai bajet kecil.

Set menu Rahmah berharga RM15.90 dan RM19. 90 setiap satu, terdiri daripada set Nasi Mandy kambing dan ayam boleh dibeli sepanjang Ramadan ini.

Alif berkata, setiap pembelian produk di HK akan disumbangkan untuk penduduk Palestin.

“Ramai yang mahu menambah amalan di bulan Ramadan di samping menjalankan ibadah berpuasa.

“Sempena Ramadan, HK juga tidak melupakan saudara kita di Palestin. HK bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memyampaikan bantuan kepada mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×