“ENCIK cakaplah dengan majikan saya!”
Jawapan pekerja yang menjaga kaunter sebuah pasar mini murah itu kedengaran penuh geram dan kesal.
Mungkin sudah banyak kali dia ditegur pelanggan yang masuk ke premis tersebut tentang jualan arak di kaunter.
Kisahnya, baru-baru ini saya masuk sebuah pasar mini harga patut di Sri Gombak untuk mencari barang keperluan. Saya terkejut kerana peti ais premis tersebut menjual minuman keras secara terang-terangan.
Sebagai muslim, saya terpanggil untuk menegur penjaga kaunter tentang amaran Rasulullah SAW ini yang bermaksud: Allah melaknat arak, ia merangkumi peminumnya, penuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang minta arak diperah, pembawanya dan orang yang dihidangkan arak padanya. (Sunan Abu Daud, 3189).
Jika dilihat zahir hadis ini, para pekerja di premis terbabit yang saya dapati kebanyakannya Melayu Muslim, pasti terpalit secara langsung dengan semua aktiviti yang Nabi larang itu.
Proses pemunggahan, penyimpanan stok, pelabelan harga, penyusunan dalam peti ais, dan urusan jual beli di kaunter sudah tentu melibatkan semua pekerja Muslim.
Amaran hadis ini bukan menunjukkan kesempitan sudut pandang Islam, sebaliknya ia menunjukkan seriusnya Islam mencegah para penganutnya daripada sebarang penglibatan dengan arak.
Tambahan pula sudah dimaklumi umum bahawa arak adalah ibu segala masalah dan bencana.
Ia sangat bahaya kerana merosakkan terus akal kurniaan Allah. Tindakan Allah mengharamkan arak secara mutlak jelas menunjukkan
banyak bahaya yang berputik daripadanya.
Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) “dari perbuatan syaitan” Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya (al-Maaidah: 90).
Terbaharu, umat Islam Malaysia bangkit bersatu memprotes pasar mini yang menjual stoking tertulis kalimah Allah. Walaupun pihak pasar
mini tersebut sudah memohon maaf, namun luka jiwa umat Islam sangat dalam.
Masakan tidak? Nama Allah yang mereka julang tiba-tiba ‘didakwa’ salah cetak pada alas kaki yang kedudukannya sangat rendah.
Ternyata gerakan boikot sangat digeruni oleh pengurusan pasar mini tersebut kerana umat Islam Malaysia pernah menunjukkan kuasa sebenar mereka memboikot banyak premis perniagaan yang dikaitkan dengan zionis Yahudi di Israel.
Boikot pernah berlaku pada zaman Nabi SAW apabila seorang sahabat Nabi yang bernama Thumamah bin ‘Uthal, bangsawan Bani Hanifah
hampir dibunuh Musyrikin Mekah kerana beliau memeluk Islam.
Sebagai respon kepada kebiadaban penduduk Mekah itu, Thumamah berkata yang bermaksud: Demi Allah! Sebiji gandum pun tak akan sampai kepada kamu (penduduk Mekah) sehingga Nabi SAW membenarkannya. (Sahih alBukhari, 4372).
Tempat asal Thumamah ialah pengeluar utama gandum ke Mekah. Beliau menghalang komoditi tersebut daripada sampai ke Mekah tanpa izin Rasulullah SAW sehingga memaksa orang Mekah merayu Baginda SAW agar membenarkan kembali urusan dagang itu berlaku. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).
Berbalik kepada topik utama rencana ini, saya berpandangan, sudah sampai masanya umat Islam Malaysia bertegas gunakan kuasa boikot
mereka untuk mendidik pemilik sesetengah premis perniagaan yang tidak peka tentang isu arak dan hak pekerja Muslim.
Walaupun begitu, gerakan boikot premis jual arak ini perlu tersusun dan profesional agar Islam tidak dipandang serong.
Sudah tiba masanya masyarakat Muslim bertindak segera dengan kuasa kepimpinan dan pilihan yang mereka miliki.
Usah terlalu bergantung harap kepada pihak berkuasa atau sesetengah ahli politik yang ada kekangan dan kerenah birokrasi mereka
tersendiri.
Antara satu kemuliaan umat Islam ialah kemampuan mencegah yang mungkar menggunakan kuasa mereka, sama ada ‘kuasa politik atau
kuasa beli’.
Firman Allah yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya
mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.
Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41)
Komuniti kejiranan kami di Bandar Baru Selayang Fasa 2B dahulu pernah bertindak drastik melalui pengurusan rukun tetangga dan Surau Nur alSyura bertemu dengan pemilik sebuah pasar mini yang baru dibuka di kawasan kejiranan kami.
Komuniti kejiranan kami memberi amaran agar premis tersebut tidak jual arak.
Alhamdulillah! Pemilik premis tersebut akur dan kawasan kejiranan kami kekal bebas arak.
Berikut beberapa langkah yang boleh dijalankan dalam kempen ‘Tegur dan boikot premis jual arak’:
1) Mengenal pasti premis perniagaan awam yang menjual arak secara terbuka. Ini kerana bukan semua premis yang bernaung di bawah satu
syarikat menjual arak. Setelah dikenalpasti, pihak pimpinan tempatan seperti rukun tetangga atau masjid perlu menegur pemilik premis.
2) Jika pemilik premis mahu menjual arak untuk golongan bukan Islam sahaja, mereka mesti sediakan kaunter jualan berasingan yang tidak diurus oleh pekerja Muslim. Pemilik premis juga perlu menyediakan dokumentasi dan SOP khusus yang boleh diaudit dengan mudah bagi
membuktikan pekerja Muslim tidak boleh terlibat dengan semua urusan arak seperti pemunggahan, penyimpanan stok, pelabelan harga dan
sebagainya. Hak pekerja Muslim untuk mempraktikkan agama mereka wajib dihormati.
3) Jika pemilik premis berkeras mahu jual minuman keras atau arak dan tidak mempedulikan saranan pimpinan tempatan, barulah proses boikot dilakukan secara agresif. Para pekerja Muslim juga disaran menukar kerja jika polisi syarikat kelihatan tidak mesra muslim dalam urusan arak. Fikir jauh sampai ke akhirat berbanding untung gaji seketika hasil syubhat terlibat dengan arak.
Sudah sampai masanya umat Islam menggerakkan kuasa mereka sebagai ‘umat’ atau kumpulan khas mencegah kemungkaran yang berlaku di tempat mereka.
Perkasakan diri anda dengan maruah orang Islam sebagaimana dijulang sendiri Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).
Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang yang berjaya. (ali- ’Imran: 104) Malaysia ialah negara Islam berdaulat.
Islam juga agama rasmi negara yang tidak boleh disangkal kedudukannya oleh penganut agama lain.
Umat Islam Malaysia sangat toleransi dalam hubungan mereka dengan golongan bukan Islam. Buktinya ramai bukan Islam hidup mewah dan
selesa kerana bantuan umat Islam sebagai pelanggan tetap mereka.
Oleh itu, mereka perlu menghormati hak umat Islam sebagai timbal balas sifat toleransi umat Islam. Jika anda masih berdegil, saya menyeru semua umat Islam Malaysia agar guna kuasa boikot yang sudah lama ada di tangan mereka sebagai rotan didik kepada golongan degil sebegini.
Semoga Allah selamatkan kita daripada bencana arak.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah, Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










