PETALING JAYA: Pelakon, Tiz Zaqyah, mengkritik jalan cerita filem mahupun buku yang sengaja mengagungkan idea berkahwin dengan perogol sendiri.
Menurut Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Razak, 35, perbuatan rogol tetap sebuah jenayah dan tidak wajar untuk mangsa memaafkan apalagi menerimanya sebagai suami.
“Ilmu sepatutnya datang dengan pembacaan, tapi apa yang kita baca sebenarnya? Kemudian, ia diadaptasi ke filem membuatkan lebih ramai yang menonton.
“Kita sepatutnya didik macam mana untuk saling menghormati, bukannya suruh mangsa terima perogol mereka.
“Kahwin dengan perogol sendiri? Ia patut dihentikan. Banyak yang sudah terlepas. Berhentilah meromantikkan idea rogol,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Tiz berkata demikian bagi mengulas mengenai lambakan novel di pasaran yang mengangkat cerita kehebatan menjadi penyondol dan ‘keindahan’ berkahwin dengan perogol.
“Lembaga Penapisan (Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri) perlu lakukan sesuatu. Apalagi yang membaca pun ramai budak bawah umur.
“Terima kasih kepada semua yang telah menyuarakan isu ini. Mari kita pastikan isu ini mendapat perhatian lebih ramai orang,” tulisnya.
Ramai rakan artis yang turut menyokong pendapat yang diutarakan Aktres Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia 2023 itu termasuklah Catriona Ross, Arash Mohamad dan Beto Kusyairy.










