Musim perayaan pasti membuatkan ramai yang mula kecur liur untuk menikmati juadah istimewa.
Doktor Pergigian Pusat Perubatan Sunway, Dr. Emilia Chua Siew Li mengingatkan orang ramai untuk kurangkan pengambilan makanan mengandungi gula berlebihan bagi mengelakkan masalah gigi.
Ujarnya, tidak salah menikmati juadah lazat tetapi biarlah sederhana.
“Makanan dan minuman manis mengandungi gula berlebihan boleh menyumbang kepada kerosakan gigi dan masalah kesihatan gigi yang lain,” katanya.
Ujarnya, memilih makanan kurang kandungan gula boleh memberi perubahan ketara terhadap kesihatan gigi.
Contohnya ‘dark chocolate’ atau coklat kosong, pilihan lebih baik berbanding gula-gula biasa kerana kandungan gulanya tidak berlebihan dan kurang melekat pada gigi.
Selain itu makanan bergula juga lebih baik diambil bersama hidangan berat berbanding sebagai makanan ringan kerana pengeluaran air liur semasa makan boleh membantu meneutralkan asid dan membilas makanan.
Makan sederhana
Pemilihan makanan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran dengan hummus, keju, kekacang, protein tanpa lemak, bijirin penuh serta minuman seperti teh hijau dan hitam dapat memberikan manfaat tambahan kepada kesihatan mulut.
Dr. Emilia berkata, musim perayaan Tahun Baru Cina ini, pengambilan buah oren akan bertambah tetapi makanlah secara sederhana kerana oren bersifat asidik.
“Sifatnya boleh menghakis enamel dan meningkatkan risiko kerosakan gigi.
“Gunakan penyedut minuman untuk minuman bergula atau berasid seperti minuman ringan dan minumlah pada waktu makan.
“Kekal hidrat dengan air yang cukup dan kunyah gula-gula getah xylitol tanpa gula untuk merangsang penghasilan air liur serta mencegah kerosakan gigi,” tambahnya.
Periksa gigi
Dr. Emilia turut menyarankan ibu bapa untuk melakukan pemeriksaan dan pembersihan gigi sebelum musim perayaan bagi memastikan gigi berada dalam keadaan baik serta dapat mengesan masalah lebih awal.
“Dapatkan nasihat doktor gigi anda dan berbincang mengenai pilihan rawatan yang diperlukan seperti tampalan, pemutihan gigi, veneer, sarung gigi (crown) dan gigi palsu.
“Galakkan kanak-kanak mengambil makanan manis secara sederhana. Pilih snek yang tidak merosakkan gigi dan minum air.
“Kekalkan rutin penjagaan mulut yang betul dan memantau cara memberus gigi bagi kanak-kanak yang lebih muda,” sarannya.
Musim perayaan juga ramai yang mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga.
Sebahagian mungkin mengalami masalah gigi sensitif ketika dalam perjalanan ke lokasi dituju dengan cuaca yang dingin atau sejuk.
“Udara sejuk dan beberapa makanan tempatan yang mengandungi gula dan asid yang tinggi boleh meningkatkan risiko gigi sensitif terutamanya di kawasan akar gigi terdedah atau kawasan gigi yang haus.
“Amalkan kebersihan mulut seperti memberus gigi, flos dan menggunakan pengkumur mulut untuk meminimumkan risiko sensitiviti dan masalah pergigian yang lain,” jelasnya.










