PENANTIAN penuh sabar selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil yang begitu manis.
Kesley Chiew, 28 dan suami, Calvin Cheng sama sekali tidak menyangka zuriat sulung yang begitu ditunggu-tunggu selama
ini rupanya mahu ‘keluar’ di tahun naga.
Sudah tentu ia memberikan kegembiraan berganda kepada pasangan muda ini memandangkan tahun naga dianggap sebagai
tahun bertuah dalam kalangan masyarakat Cina.
Malah, sejak berkurun lamanya, generasi terdahulu memegang kepercayaan bahawa anak yang lahir pada tahun naga membawa tuah dan keberkatan yang lebih bersamanya.
“Sebenarnya kami tidak merancang untuk ada bayi pada tahun naga tetapi memang sudah rezeki kami untuk mempunyai anak pada tahun ini.
“Sejak berkahwin pada April 2022 kami memang menanti-nantikan kehadiran anak kecil sebagai penyeri keluarga,” katanya kepada Utusan
Malaysia.

Baru sahaja selamat melahirkan bayi lelakinya semalam, katanya, sudah tentu perasaan teruja sangat menebal dalam diri.
Apatah lagi, apabila ibu bapanya turut menzahirkan kegembiraan yang tidak terhingga kerana Kesley merupakan satu-satunya ahli keluarga yang memiliki anak tahun naga.
Bayi lelaki yang lahir pada tahun naga dikatakan akan memiliki kejayaan, keberanian selain memiliki sifat kepimpinan pada masa akan datang.
“Saya sebenarnya tidak kisah jantina lelaki atau perempuan, keduanya sama sahaja.
“Paling penting, tahun ini dapat meraikan Tahun Baharu dengan kehadiran si kecil,” katanya.
BAPA DAN ANAK BERTUAH
Pesara, Cho Keng Boon pula tidak menyangka ‘tuah’ dirinya dilahirkan pada tahun naga turut diwarisi oleh anak bongsunya, Cho Ziyang, 24.

Mengimbas kembali cerita daripada orang tuanya, kata bekas pensyarah di maktab perguruan itu, ibu dan bapanya sememangnya merancang untuk
mendapatkan bayi pada tahun naga.
Maka, tahun naga 1964 lahirlah Keng Boon ke dunia, memberi kebahagiaan kepada orang tua dan keluarganya yang memang menginginkan
kehadiran bayi lelaki yang diharapkan akan membawa tuah.
“Selain bayi itu sendiri, pasangan yang mendapat anak pada tahun naga juga dianggap sebagai bertuah kerana bukan semua orang mendapat bayi
pada tahun tersebut.
“Setahu saya, biarpun tiada upacara tertentu dijalankan jika seseorang wanita hamil di tahun naga, tetapi mereka sangat gembira dengan kehamilan tersebut,” katanya lagi.
Bagi dirinya pula, dia tidak merancang untuk mendapatkan bayi tahun naga, namun rezeki berpihak kepada dirinya apabila isterinya
disahkan hamil pada tahun 2000, yang kebetulan adalah tahun naga.
Ujarnya, bukan mudah merancang mendapatkan bayi pada waktu-waktu tertentu, disebabkan itulah beliau dan isteri tidak menyimpan
harapan besar untuk memiliki anak tahun naga.
“Kepercayaan tuah bayi naga memang masih dipegang sehingga hari ini, namun saya dan isteri tidak terlalu fokus untuk mendapatkannya kerana
tahu bukan mudah.
“Tetapi bila isteri selamat melahirkan bayi lelaki yang juga anak kedua kami pada tahun itu, saya sangat gembira kerana rezeki saya dapat anak tahun naga,” katanya.
Selepas 24 tahun, anak bujangnya itu kini berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya (UM).
Ditanya tentang amalan generasi masyarakat purba di tanah besar, China yang dikatakan lebih memberikan tumpuan kepada anak tahun
naga terutamanya anak lelaki, kata Keng Boon ia mungkin pada zaman dahulu sahaja.
Bagi bapa dua anak itu, tiada perbezaan antara lelaki dan wanita, tambahan lagi apabila kaum wanita juga ramai yang berjaya pada ketika ini.
“Anak sulung saya perempuan, bukan lahir pada tahun naga dan anak bongsu saya lelaki, lahir pada tahun naga. Pada saya, proses
membesarkan mereka itu sama sahaja,” jelasnya.










