“Saya sudah ada lagu sendiri, semoga orang terima saya sebagai Arish Mikael” demikian luahan penyanyi berbakat, Arish Mikael, yang mencuri tumpuan warganet semasa penampilan sulungnya di konsert Temasya Anak Muda baru-baru ini. Sejak itu, nama Arish bertambah dikenali dan tular di platform TikTok.
Arish menerima apabila umum menyamakan suaranya dengan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Namun anak muda asal Muar, Johor ini sebenarnya mahu dirinya dikenali dengan identiti sendiri.
Kata Arish atau nama penuhnya Arish Mikael Kamalruzaman, 21, dia sendiri keliru apabila ada pihak yang menyamakan suaranya dengan legenda tersebut.
Tetapi Arish berlapang dada kerana pendapat itu jugalah yang telah membuka rezekinya untuk muncul bersama pasukan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) semasa Konsert Tribute Sudirman di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tahun lalu.
Arish yang bernaung di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd. kini tampil dengan single terbaharu bertajuk Nukilanmu.
Arish berharap lagu tersebut dapat membuka mata masyarakat untuk menerima dirinya sebagai penghibur tanpa disamakan dengan sesiapa.
“Pada awalnya saya juga keliru mengapa orang ramai menyamakan saya dengan Allahyarham Sudirman kerana dia sangat hebat. Namun saya ambil positif hal itu dan menjadikannya sebagai inspirasi.
“Mungkin itu adalah proses yang perlu saya lalui. Semoga tanggapan itu akan berubah dan lama-kelamaan mereka akan fokus kepada karya saya pula,” katanya ketika ditemui semasa sesi temu ramah dan fotografi di Galeri Sophia, baru-baru ini.
Tinggalkan dunia ‘busking’
Mengimbau perjalanan sebagai penyanyi, Arish sudah pun menghiburkan ramai orang sebagai pemuzik jalanan sejak dibangku sekolah lagi. Hasil kutipan yang diperolehinya itulah digunakan untuk membeli gitar pertama yang berharga kira-kira RM3,000.
Kini, selepas menjadi artis rakaman, Arish mengakui sudah jarang turun ke jalanan kerana masa yang terluang banyak diperuntukkan menghasilkan lagu-lagu baru.
“Sejujurnya sudah lama saya tidak ‘busking’. Kali terakhir saya menyanyi di jalanan adalah kira-kira 9 bulan lepas sebelum konsert di DFP.
“Sebenarnya saya mungkin tidak akan busking lagi kerana terikat dengan syarat bersama syarikat rakaman.
“Selain itu saya mahu memberi keutamaan kepada proses kreativiti menghasilkan karya sendiri kerana semasa busking, saya terpaksa menunaikan permintaan orang ramai untuk menyanyikan lagu artis-artis lain,” tambahnya.
Mengidolakan figura seni seperti Datuk M.Nasir, Loloq, SM Salim dan Michael Jackson, Arish Mikael menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu yang mempunyai gaya bercerita tersendiri.
“Saya tidak meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi untuk lagu pertama.
“Selepas Nukilanmu, saya dalam proses menghasilkan lagu kedua yang dijangka akan menemui pendengar selepas Hari Raya Aidilfitri. Jika tiada aral melintang, saya akan muncul dengan sebuah album. Nantikan ya,” katanya.










