Wahai anak Adam! Kamu hanyalah (kiraan) hari dalam kehidupan! Apabila berlalu sehari maka hilanglah sebahagian daripada hidupmu. (Kitab al-Zuhd susunan Imam Ahmad bin Hanbal).
Kata-kata hikmah Imam Hasan al-Basri di atas sangat tepat dihayati manusia setiap hari ketika bangkit dari tidur. Ia juga sangat releven difikir secara mendalam ketika kita menjengah masuk awal tahun Masihi 2024.
Biasanya masuk sahaja tahun baharu, orang akan giat merancang apa aktiviti, azam atau sasaran yang bakal diusaha-capai pada tahun itu.
Sikap ini bagus dan seiring ajaran Islam yang menuntut agar umatnya berfikiran jauh dan sentiasa bersedia untuk hari depan sama ada hari hidup di dunia, di alam barzakh dan di akhirat.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. (al-Hasyr: 18)
Pada asalnya perkataan ‘hari esok’ dalam ayat ini merujuk kepada hari akhirat, iaitu setiap orang beriman perlu bersedia menyiapkan bekal untuk akhirat (Tafsir Ibn Kathir).
Pun begitu, perancangan hidup di dunia yang bakal kita tempuhi pada tahun 2024 dan seterusnya turut termasuk atas makna hari esok kerana dunia yang kita diami adalah ladang amal soleh atau lubuk maksiat yang akan kita tuai hasilnya di akhirat kelak.
Jika dalam takdir Allah (semenjak azali) usia kita menumpang di dunia hanya sekadar 22,995 hari atau 63 tahun, maka pada awal tahun 2024 ini angkanya akan semakin berkurang. Jika usia kita diibaratkan seperti sebuah bateri yang diguna pakai seumur hidup, maka kuasanya semakin menurun setiap hari.
Inilah juga yang disinggung Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Yasin: 68)
Dengan peningkatan usia setelah masuk tahun baru 2024, jiwa dan hati nurani kita perlu menjadi seperti resmi rambut di kepala ‘semakin berusia semakin putih!’ Jika rambut sudah putih beruban, namun hati nurani masih berkarat dengan dosa atau masih ‘malar hijau dengan angan-angan dunia’ maka kita perlu segera ditalkinkan.
Sepatutnya azam wajib tahun baru adalah meninggalkan sebanyak mungkin tabiat buruk pencetus dosa dan mengumpul sebanyak mungkin amal soleh pembuka rahmat Allah untuk kita ke syurga kelak.
Nabi SAW menegaskan apa yang kita tanam di dunia bakal kita tuai hasilnya di akhirat. Sabda baginda yang bermaksud: Tidak akan berganjak kaki seorang hamba Allah pada hari kiamat (daripada audit akhirat sama ada ke syurga atau ke neraka) sehingga dia disoal “tentang umurnya bagaimana dia habiskan”, tentang ilmunya sejauh mana dia beramal (dengannya), tentang hartanya dari mana dia perolehi serta pada apa dibelanjakannya dan tentang tubuh badannya bagaimana dia gunakannya. (Sunan al-Tirmidzi, 2341).
Dengan neraca hadis di atas, tahun 2023 yang baru berlalu bukan hanya sejarah yang pernah kita lalui, ia adalah himpunan atau timbunan tanggungjawab lalu yang akan diaudit di akhirat kelak.
Jika ia dipenuhi warna indah berseri dan haruman pahala maka syukurilah Allah kerana ia akan ditukar Allah menjadi haruman syurga. Jika tahun 2023 dipenuhi suasana gelap kelam dosa atau hanyir hancing maksiat, usahlah berputus asa kerana Allah sentiasa memberikan harapan kepada hamba-Nya selagi roh dikandung badan.
Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)
Sebesar mana pun silap atau dosa lalu, Allah sentiasa membuka pintu taubat-Nya untuk kita. Lihatlah gambaran kegembiraan Allah terhadap taubat hamba-Nya dalam perumpamaan Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika dia bertaubat kepada Allah, melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas haiwan tunggangannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir). Haiwan tunggangannya, itu pula lari meninggalkannya dengan segala bekalan makan dan minumnya. Setelah berputus asa (kerana tidak mampu) untuk mencari kembali haiwan tunggangannya itu dia duduk berehat di bawah sebatang pokok (dengan pasrah mengenang nasib malangnya). Tiba-tiba haiwan tunggangannya itu muncul di tepinya. Dia lantas bangkit memegang tali kekang haiwan tunggangannya itu dan tersasul cakap kerana terlalu gembira – ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Tuhan-Mu. (Sahih Muslim, 4932).
Taubat dan baiki yang mendatang adalah dua sudut pandang yang sepatutnya dimiliki setiap Muslim apabila menjelang tahun baru Hijri atau Masihi.
Sentiasa melihat tanda penuaan atau petanda mati pada diri sendiri akan menjadikan manusia lebih insaf dan cemas.
Rasa insaf dan cemas sebegini mampu menghalang virus ‘tak sedar diri’ daripada menjangkiti sesetengah orang tua sebagaimana disebut Rasulullah SAW yang bermaksud: Anak Adam semakin tua, tetapi 2 perkara padanya bertambah muda: Kehendak pada harta dan kehendak untuk umur panjang. (Sahih Muslim, 1047 & Sunan al-Tirmidzi, 2455).
Masuk sahaja tahun baharu, kemungkinan kita dijemput masuk ke alam barzakh semakin tinggi kerana kita semakin menjauhi hari lahir kita ke dunia dan mendekati hari bateri hidup akan habis. Jangan pula berpandangan hanya yang tua berusia lebih cepat perginya menghadap Allah.
Ingat, ada sahaja bateri baru yang rosak hilang fungsi sebelum tarikh luputnya.
Benar, buah tua senang gugur kerana tangkainya sudah masak serta longgar tetapi yang muda belia juga boleh gugur bila-bila masa apabila digoncang ribut.
Ribut itu boleh jadi kemalangan atau sakit kronik. Ayuh perbaharui azam tahun baru dengan azam menyediakan bekal sebanyak mungkin untuk hari esok kita.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










