Al-Imam Salim dari Kota Hadhramaut ke alam nusantara - Utusan Malaysia

Al-Imam Salim dari Kota Hadhramaut ke alam nusantara

Safinah al-Najah Fi Ma Yajib ‘Ala al-‘Abdi Li Mawlah sebuah kitab fikah Fadhilat al-Syaikh Salim yang sangat terkenal di alam Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mungkin ramai belum mengenali tokoh bernama Fadhilat al-Syaikh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy, walaupun kitab fikah beliau berjudul Safinah al-Najah Fi Ma Yajib ‘Ala al-‘Abdi Li Mawlah begitu terkenal di alam Melayu.

Lahir di Hadhramaut

Fadhilat al-Shaykh al-Imam al-Mu‘allim: Salim binAbdulloh bin Sa‘d bin Abdulloh bin Sumayr al-Hadhromiyy al-Shafi‘iyy. Di lahirkan di perkampungan Dzi Asbah yang merupakan salah satu perkampungan di wadi Hadhramaut, Yaman.

Saya tidak menemui sebarang catatan menyatakan tarikh kelahiran beliau, namun kalau kita mengandaikan beliau hidup sekitar 70 tahun, bermakna Fadhilat al-Shaykh Salim bin Abdulloh lahir sekitar tahun 1780 Masihi.

Mendapat pendidikan awal daripada ayahandanya dan turut berguru dengan ulama Hadhramaut. Namun tidak dapat dikenalpasti nama guru beliau selain ayahanda beliau.

Antara murid beliau yang terkenal adalah al-Sayyid al-Habib Abdulloh bin Toha al-Haddar al-Haddad dan al-Shaykh al-Faqih ‘Aliyy bin ‘Umar Baghuzah.

Antara ulama yang meriwayatkan daripada al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy secara Ijazah ‘Ammah adalah al-Shaykh ‘Alawiyy bin ‘Abd al-Rohman al-Saqqof al-Jufriyy al-Ba‘alawiyy.

Karya beliau

Fadhilah al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy mengarang kitab:

Safinah al-Najah Fi Ma Yajib ‘Ala Al-‘Abdi Li Mawlah. Kitab ini membahaskan fakta ringkas dalam ilmu fikah al-Imam al-Syafie yang membahaskan tajuk Taharah (Kesucian), solat, puasa dan zakat. Oleh kerana kitab ini membahaskan ilmu fikah secara paling asas, Fadhilah al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy tidak membahaskan sama sekali tajuk yang berkaitan dengan ibadah haji kerana bukan semua muslim berkemampuan menunaikan haji. Beliau juga tidak membahaskan dalam kitab ini perbahasan fikah berkait dengan muamalat, perkahwinan dan kehakiman.

Al-Fawa-id al-Jaliyyah Fi Al-Zajr ‘An Ta‘ati Al-Hiyal Al-Ribawiyyah. Saya tidak menemui kitab ini secara bercetak, kemungkinan kitab ini tersimpan dalam bentuk manuskrip di Yaman. Berdasarkan tajuknya, ia mungkin membahaskan berkenaan pengharaman melakukan sebarang helah yang boleh menyebabkan seseorang melakukan urusan jual-beli secara riba.

Fatwa Fi Jawaz Isti‘mal Al-Nuhas Wa Al-Qirtos Naqdan. Saya juga tidak menemui kitab ini secara bercetak. Berkemungkinan kitab ini juga masih tersimpan dalam bentuk manuskrip di Yaman. Berdasarkan tajuk karya ini, ia berkemungkinan membahaskan berkenaan keharusan menjadikan wang kertas dan wang syiling selain emas dan perak sebagai mata wang.

Sekalipun secara catatan hanya tiga kitab dikarang Fadhilah al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy, mungkin juga beliau ada mengarang kitab-kitab lain selain tiga kitab ini yang tidak sampai kepada kita.

Penglibatan Politik:

Selain bidang keilmuan dan pendidikan, Fadhilah al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy turut terlibat secara langsung dalam politik.

Beliau dipilih Kerajaan al-Kathiriyyah yang memerintah Yaman ketika itu untuk pergi ke India bagi mencari tenaga pakar yang mahir dalam selok-belok meriam agar tenaga pakar tersebut dapat bekerja dengan Kerajaan al-Kathiriyyah.

Fadhilah al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy juga telah membeli peluru meriam dari Singapura untuk dihantar ke Hadhramaut.

Surat beliau tentang pembelian peluru meriam tersebut tiba di Yaman pada Safar tahun 1268 Hijriah iaitu pada November 1851 Masihi.

Seorang ulama Yaman terkenal, al-Shaykh Abdulloh bin ‘Umar bin Abu Bakr bin Yahya al-‘Alawiyy al-Hadhromiyy telah menulis surat pada 19 Zulhijah tahun 1262 bersamaan 8 Disember 1846 kepada pengasas Dinasti Ketiga Kerajaan al-Kathiriyyah iaitu Sultan Gholib bin Muhsin bin Ahmad yang telah memerintah Yaman dari tahun 1845 Masihi sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1870 Masihi.

Fadhilat al-Shaykh Abdulloh bin ‘Umar bin Abu Bakr bin Yahya al-‘Alawiyy al-Hadhromiyy di dalam warkah tersebut meminta Sultan Gholib bin Muhsin bin Ahmad melaksanakan syariat Islam di dalam pemerintahan baginda di samping sang alim meminta sang raja agar menjadikan sahabat beliau; al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy sebagai penasihat baginda dalam pemerintahan.

Permintaan ini ditunaikan Sultan Gholib bin Muhsin bin Ahmad sehinggalah akhir hayat Fadhilat al-Shaykh Abdulloh bin ‘Umar bin Abu Bakr bin Yahya al-‘Alawiyy al-Hadhromiyy yang wafat pada tahun 1265 Hijriah iaitu sekitar tahun 1848-1849 Masihi.

Al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy hasil daripada isi kandungan warkah tersebut telah menjadi penasihat kepada Sultan Abdulloh bin Muhsin yang merupakan saudara kandung merangkap pembantu kepada Sultan Gholib bin Muhsin bin Ahmad.

Sultan ‘Abdulloh bin Muhsin sangat menghormati al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy sehingga segala titah Sultan ‘Abdulloh bin Muhsin tidak akan dikeluarkan melainkan setelah mengambil pandangan al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy terlebih dahulu.

Kota Yaman:

Sekalipun Sultan ‘Abdulloh bin Muhsin pada peringkat awal begitu mengambil berat terhadap pandangan al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy dalam urusan pentadbiran, sultan akhirnya mengabaikan al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy.

Baginda tidak lagi mengambil pandangan al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy sebelum mengeluarkan arahan.

Ini menyebabkan kemarahan al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy lalu beliau meninggalkan terus bumi Yaman lalu bermusafir ke India.

Beliau kemudian bermusafir pula ke Betawi (Jakarta) dan terus menetap di sana sehingga wafat. Berkemungkinan permusafiran al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy ke Betawi adalah dalam lingkungan tahun 1851 sehingga 1855 Masihi.

Cinta Al-Quran:

Fadhilat al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy kuat beribadat, berzikir dan membaca al-Quran.

Menurut al-Shaykh Ahmad al-Hadhromiyy al-Makkiyy, al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy pernah mengkhatamkan al-Quran semasa beliau sedang bertawaf di Kaabah.

Kewafatan:

Al-Shaykh Salim bin Abdulloh al-Hadhromiyy dijemput pulang menemui Penciptanya pada 1271 Hijriah iaitu sekitar tahun 1854-1855 Masihi di Betawi.

Lokasi makam beliau sebagaimana didakwa oleh sebahagian pihak, berada di bawah mihrab masjid Jami’ al-Ma’mur di Tanah Abang, Jakarta.
Semoga Allah SWT mengganjari beliau, para guru dan murid serta seluruh pihak yang mengambil manfaat daripada ilmu beliau sehingga ke akhir zaman. Amin.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Safinah al-Najah Fi Ma Yajib ‘Ala al-‘Abdi Li Mawlah sebuah kitab fikah Fadhilat al-Syaikh Salim yang sangat terkenal di alam Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN