Pupuk minat belajar tarian tradisional

Pupuk minat belajar tarian tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA anak-anak kecil lain leka bermain gajet, sekumpulan 10 murid Sekolah Kebangsaan Presint 9(1), Putrajaya gigih berlati tarian zapin di saat-saat akhir, di belakang pentas.

Masing-masing kelihatan bersahaja tetapi cukup berdisiplin. Tiba masa beraksi di atas pentas, lagak mereka bertukar lincah mengikut alunan lagu Zapin Ya Salam. Pelbagai jenis tarian zapin dipersembahkan seperti Zapin Tenglu, Zapin Padang Sari dan Zapin Selat Panjang.

Mengenakan persalinan Melayu lengkap bersongkok bagi lelaki dan baju tradisional songket bagi perempuan, tingkah laku dan gerak tari mereka disambut sorakan ramai yang ternyata kagum dengan bakat si cilik.

Memang bukan mudah mengendalikan kumpulan tarian lebih-lebih lagi dalam kalangan murid, namun andai mahu melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Pengurus Pasukan Kelab Legasi Ekatari sekolah itu, Wan Mohd. Mahfodz Wan Hasan mengakui bukan mudah menubuhkan kumpulan tarian tradisional di kala zaman ledakan media sosial dan internet di hujung jari.

Namun, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan legasi tarian Melayu itu terus hidup dan tidak lapuk dek peredaran zaman, sekali gus menjadi legasi dalam bidang kesenian yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

“Bagi memahirkan seni tarian, latihan perlu selalu dibuat agar penari mahir dengan segala gerak-geri asas tarian dan mampu menari mengikut tempo muzik yang diberi.

“Sebagai contoh lagu Zapin Ya Maulai, lenggok penari perlu ikut alunan. Apabila penari mendengar lagu sama dalam setiap latihan, mereka lebih mudah mengingat.

“Lenggok tari pun tidak canggung dan mereka mampu larut bersama lagu diberikan dalam setiap persembahan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa Battle of Zapin di Karnival Komuniti Pesta Air Putrajaya, pada September lalu.

Beliau turut bersyukur kerana kelab tarian yang ditubuhkan sejak 2006 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada murid-murid.
Hingga kini kelab itu mempunyai 90 ahli berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Kongsinya, Kelab Legasi Ekatari merupakan percambahan daripada Ekatari asal yang ditubuhkan sejak 17 tahun lalu, hasil ilham guru besar ketika itu bersama pengasasnya, cikgu Azlan dan Jamilah. Ketika itu juga, ada tenaga pengajar luar yang datang membantu.

“Kelab ini dibimbing oleh empat guru termasuk saya. Saya menguruskan pasukan tarian dan seorang lagi guru, Nor Shafiqah Hamidon merupakan graduan Sekolah Seni Malaysia yang berpengalaman dalam bidang tarian dan juga seorang penari.

“Alhamdulillah, seramai 30 murid sudah boleh menari dan mempelajari tarian tradisional seperti zapin, inang dan joget,” katanya yang mengajar subjek bahasa Inggeris.

KERAP BERLATIH
Mengenai sesi latihan, Wan Mohd. Mahfodz berkata, murid-murid yang terdiri daripada kumpulan elit akan menjalani latihan pada setiap hari bermula dari pukul 5 hingga 7 petang.

“Murid didedahkan dengan asas tarian seperti joget, inang dan zapin. Mereka akan sentiasa berlatih ketiga-tiga asas tarian itu supaya mahir dalam setiap pergerakan.

“Kami bersyukur kerana alumni sering hadir serta datang membantu dari semasa ke semasa. Sebab itu, kelab ini dinamakan Legasi Ekatari kerana jurulatihnya terdiri daripada kalangan alumni,” katanya.

Kelab yang kini dinaungi oleh guru besar sekolah itu, Rohana Abd. Manaf berjaya melahirkan murid yang berbakat besar dalam seni tarian.

Ada di antaranya meneruskan pembelajaran ke Sekolah Seni Malaysia dan kini bergelar koreografer.

Ekatari diwujudkan selaras kebitaraan dan kecemerlangan sekolah dalam seni tarian tradisional dan mendapat sokongan jitu daripada ibu bapa.

Wan Mohd. Mahfodz berkata, setiap tahun pihak sekolah akan memastikan ahli kelab tarian menyertai mana-mana pertandingan yang dianjurkan.

“Kita pernah bawa 15 murid menyertai pertandingan di Sabah serta program pengantarabangsaan di luar negara.

“Baru-baru ini, dua pasukan kami berjaya menggondol gelaran johan dan naib johan bagi pertandingan Battle of Zapin di Pesta Air Putrajaya.

“Lebih bermakna, kami juga berjaya membawa pulang anugerah koreografi dan busana terbaik dengan jumlah wang keseluruhan yang dimenangi sebanyak RM9,600,” kongsinya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya