Menghentikan dialisis bukan hukuman bunuh diri

Menghentikan dialisis bukan hukuman bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERUSKAN atau menghentikan rawatan dialisis? Ini adalah keputusan yang paling berat perlu dibuat oleh keluarga pesakit warga emas yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir.

Ibarat ditelan mati emak, di luah mati bapa, keputusan yang diambil bakal menentukan hidup mati pesakit.

Ia membuatkan ahli keluarga terutama anak-anak berada dalam dilema untuk membuat pilihan sebaiknya.

Kedua-duanya mempunyai risiko seimbang. Sekiranya memilih meneruskan dialisis, pesakit terpaksa menahan beban kesakitan sepanjang rawatan dan paling membimbangkan jantung boleh terhenti secara tiba-tiba.

Sebaliknya, jika menghentikan rawatan dialisis, jangka hayat pesakit mungkin hanya mampu bertahan tidak kurang seminggu atau lebih tetapi tindakan itu membolehkan mereka meninggal dunia dengan lebih ‘tenang’.

Pakar Nefrologi, Dr. Lily Mushahar berkata, warga emas berusia lebih 75 tahun mungkin berisiko tinggi jika menjalani dialisis ditambah
sekiranya menghidap penyakit kronik lain terutama diabetes.

“Ketika dialisis dijalankan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti tekanan darah pesakit boleh jatuh dan pesakit mengalami ketegangan pada anggota badan terutama pada bahagian kaki.

“Ada pesakit makin teruk dan mengalami jangkitan pada tapak dialisis atau jarum yang ditusuk di leher untuk dialisis. Ada yang tidak boleh berjalan, mata pun tidak nampak. Kenapa kena teruskan rawatan? Jadi, sebaiknya kita hentikan dialisis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucapan bertajuk Membuat Keputusan Warga Emas Yang Mengalami Kegagalan Buah Pinggang
Peringkat Akhir. Dialisis atau Tidak Dialisis? pada Simposium Kesihatan Keluarga di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Dr. Lily Mushahar

Keputusan meneruskan dialisis atau sebaliknya bergantung kepada keinginan pesakit sendiri dan persetujuan ahli keluarga terdekat seperti
pasangan dan anak-anak.

Doktor menghormati sebarang keputusan pesakit sama ada mahu meneruskan rawatan dialisis atau menjalani penjagaan paliatif sahaja.

Penjagaan paliatif sepatutya bermula dari awal iaitu apabila fungsi buah pinggang tinggal di bawah 15 peratus saja.

Dr. Lily berkata di klinik, lebih ramai pesakit memilih untuk tidak menjalani dialisis khususnya warga emas.

“Rawatan paliatif melegakan kesakitan menggunakan ubat loya, muntah dan gatal kulit disebabkan toksin yang berkumpul di dalam badan.

Apa yang penting, pesakit merasa selesa bukannya dalam kesakitan. Kalau pesakit meninggal dunia pun mereka tidak menderita.

“Pilihan untuk tidak meneruskan dialisis bukan diamalkan di Malaysia saja. Sebaliknya sekarang ini, negara lain pun sudah memberikan pilihan rawatan ini. Kita bukan hendak sambung jangka hayat tapi mahukan kualiti hidup pesakit lebih baik,” katanya

Dr. Lily berkata, sekiranya sambung jangka hayat pesakit menerusi dialisis, pesakit mungkin hanya akan terlantar saja dan kualiti hidup pula
semakin merosot.

Ini berikutan pesakit akan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Proses ini bukan saja akan membebankan pesakit tetapi keluarga.

“Keluarga kena angkat pesakit dan risiko untuk pesakit jatuh juga adalah tinggi.

“Berbanding dulu, mahu atau tidak, pesakit perlu menjalani dialisis kerana tiada pilihan tetapi sekarang kita lebih kepada rawatan
penjagaan paliatif. Kalau sudah berusia lebih baik jalani paliatif.

“Pakar Paliatif akan tanya pesakit, dalam setahun apa yang mereka belum capai? Biasanya bila semua anak cucu sudah dewasa dan berjaya,
pesakit sudah bersedia untuk ‘pergi’,” katanya.

Pesakit akan dibawa pulang ke rumah sekiranya itu yang mereka inginkan atau terus berada di hospital sehingga meninggal dunia.

Di hospital, pesakit akan dirawat seperti biasa seperti pengambilan darah yang kerap dan mungkin menyakitkan pesakit.

Tambah Dr. Lily, kira-kira 60 hingga 70 peratus pesakit paliatif buah pinggang memilih mahu meninggal dunia di rumah mereka sendiri.

Ini disebabkan, di hospital, persekitarannya berbeza dengan suasana di rumah sendiri.

Pesakit juga akan lebih selesa menanti detik menghembuskan nafas terakhir ditemani ahli keluarga.

MENGIRA HAYAT

Dr Lily berkata, sebagai manusia biasa, doktor hanya mampu menjangkakan jangka hayat pesakit berdasarkan keadaan kesihatan pesakit
ketika itu.

Bagaimanapun, tempoh mampu bertahan tanpa dialisis kadangkala boleh mencecah beberapa jam, seminggu, dua minggu atau sehingga sebulan lamanya.

“Sebelum pesakit dibawa pulang, keluarga akan diberikan penerangan supaya mereka faham apa risiko apabila pesakit dibawa ke
rumah. Ahli keluarga akan diberi masa untuk bertanya soalan-soalan kepada pakar.

“Ahli keluarga boleh nampak apa akan berlaku kepada pesakit seperti mengalami sawan. Jangan panik sebab ini memang salah satu simptom yang akan dialami akibat pengumpulan toksin dalam badan,” katanya.

Keluarga tidak perlu risau kerana doktor paliatif dari Hospis akan membuat lawatan ke rumah bagi memantau keadaan pesakit dan mengajar
keluarga caramenjaga pesakit.

Bekalan oksigen juga akan dibekalkan untuk pesakit sepanjang berada di rumah.

Katanya bagi melegakan pesakit, ahli keluarga boleh memberikan suntikan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh klinik paliatif.

“Perlu ada ahli yang kuat dan faham mengenai perkara ini.

“Ini kerana sekiranya ada ahli keluarga yang tidak faham, dikhuatiri mereka akan membawa pesakit ke hospital kerana panik melihat keadaan
pesakit yang tidak boleh bernafas.

“Lebih menyedihkan, doktor di unit kecemasan tidak tahu pun pesakit di bawah paliatif dan terus memasukkan tiub atau buat bantuan pernafasan (CPR) yang tentunya ‘menyeksa’ pesakit.

“Ada kes pesakit yang sebelum ini setuju menjalani penjagaan paliatif tetapi ada ahli keluarga mahu pesakit menjalani dialisis semula sebab ada antara ahli keluarga yang tidak faham.

“Bila buat dialisis semula, tekanan darah mula jatuh. Dialisis terpaksa dihentikan. Kita ikut apa kehendak keluarga. Kalau tidak boleh
teruskan, kami bagi pilihan paliatif,” katanya

‘Keluarga usah rasa bersalah’

SEDIH akibat kehilangan orang tersayang terutamanya ibu bapa adalah perasaan semulajadi dialami setiap orang.

Dr. Lily Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan berkata, anak-anak atau ahli keluarga perlu menghormati permintaan pesakit yang enggan menjalani dialisis dan tidak perlu rasa bersalah dengan pilihan mereka.

“Kita mahu ahli keluarga terutama anak-anak tidak rasa bersalah kerana merasakan mereka tidak berdaya menyelamatkan pesakit. Kalau rasa bersalah, maknanya mereka tidak betul-betul bersedia dengan pilihan dibuat.

“Ahli keluarga perlu fikir, ia adalah pilihan pesakit sendiri. Dia tidak mahu lalui apa yang sudah pernah dilaluinya. Kita tidak tahu
beban ditanggungnya setiap kali menjalani rawatan dialisis. Kalau boleh kita mahu pesakit meninggal dunia tanpa rasa sakit dan
derita,” katanya.

Tiada garis masa bagi kesedihan akibat kehilangan insan tersayang. Ia tidak mungkin dilupakan tetapi kita perlu belajar meneruskan kehidupan tanpa mereka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya