Keberkesanan rawatan parut jerawat hanya 30 peratus

Keberkesanan rawatan parut jerawat hanya 30 peratus

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR 70 peratus daripada individu yang mempunyai jerawat akan mengalami komplikasi parut sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal.

Jerawat dan parut jerawat bukan sahaja menjejaskan penampilan seseorang, malah boleh menghilangkan keyakinan diri, menimbulkan rasa malu di samping mencetuskan gangguan emosi.

Dalam sesetengah kes yang serius, jerawat turut mengakibatkan pesakit mengalami masalah kemurungan.

Antara jenis parut jerawat ialah parut dangkal, berlubang, tebal, bintik hitam dan keloid.

Namun, tahukah anda yang rawatan untuk parut jerawat, hakikatnya tidak begitu berkesan dalam memulihkan kulit kembali kepada keadaan asal.

Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. M. Leelavathi mendedahkan keberkesanan rawatan itu hanya sekitar 10 ke 30 peratus sahaja.

Bahkan, katanya, pilihan cara rawatan untuk parut juga sangat terhad dan memerlukan beberapa sesi, bergantung pada keluasan kulit yang dirawat di samping berkos tinggi.

“Filler, laser dan chemical peel adalah antara pilihan rawatan untuk parut jerawat, tetapi kesemuanya memerlukan masa rehat atau downtime berikutan kulit akan mengalami kesan rawatan seperti kemerahan atau bengkak selama beberapa hari atau minggu sebelum kembali pulih.

“Bahkan, beberapa sesi rawatan ulangan juga diperlukan sehingga mendapat hasil yang diingini.

“Oleh itu, penting untuk pesakit tahu mengenai pilihan rawatan sedia ada, kesan sampingan serta berjumpa doktor yang berpengalaman dan bertauliah,” katanya.

Pengambilan ubat sapu, antibiotik

Kaedah rawatan jerawat dibuat berasaskan tahap jerawat iaitu ringan, sederhana dan serius.

Leelavathi berkata, bagi jerawat kategori ringan, pesakit hanya memerlukan ubat sapu untuk diletakkan pada kulit.

Untuk kategori sederhana apabila lebih 50 peratus permukaan kulit terjejas dengan jerawat, pesakit memerlukan kombinasi ubat makan antibiotik dan ubat sapu.

“Bagi kategori jerawat serius seperti jerawat batu, pesakit pesakit memerlukan ubat makan khas iaitu isotretinoin.

“Tempoh rawatan dengan ubat adalah antara tiga hingga enam bulan,” katanya.

Kesan kejayaan rawatan dengan ubat hanya boleh dapat dilihat selepas enam hingga lapan minggu rawatan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila mencuba petua orang tua termasuk serbuk kayu manis dan jus limau untuk merawat jerawat kerana boleh menyebabkan kulit merah atau meninggalkan kesan berwarna hitam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya