Tempat kerja bising punca pekak - Utusan Malaysia

Tempat kerja bising punca pekak

PEMERIKSAAN pendengaran bukan prosedur menakutkan. Bila dengar bunyi, tekan butang diberikan sebagai tanda anda mendengar bunyi berkenaan. – GAMBAR HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Amir (bukan nama sebenar) resah gelisah tiap kali berdepan dengan penyelia di tempat beliau bekerja.

Pekerja kilang besi di Klang dan berusia sekitar 30an itu berpeluh-peluh setiap kali berdepan dengan penyelianya yang akan bertanya pelbagai perkara berkaitan kerja yang dijalankan.

Amir perasan ia terjadi sejak beberapa bulan lalu apabila dia gagal memahami apa yang cuba diperkatakan oleh bosnya itu. Akibatnya Amir selalu dimarahi kerana dianggap lembab dan tidak memberikan kerjasama.

Suatu hari, kilangnya dikunjungi oleh pasukan yang membuat ujian saringan pendengaran secara bergerak untuk kakitangan di situ.

Semua pekerja termasuk Amir turut menjalani pemeriksaan berkenaan.

Dia terperanjat apabila keputusan ujian dikeluarkan mendapati beliau disahkan mengalami masalah pendengaran. Patutlah selama ini dia tidak faham apa yang ditanya oleh bosnya.

Ketua Audiologi Alpro Pharmacy, Nur Elya Shafira Mohamad Nadzri berkata, ramai tidak sedar sedikit demi sedikit mengalami kehilangan pendengaran hingga akhirnya pekak sepenuhnya.

“Bercakap mengenai hilang pendengaran, perkara pertama orang ramai akan fikirkan adalah pekak atau tidak dapat mendengar langsung.

“Kehilangan pendengaran adalah kesan terburuk di mana ia boleh bermula secara ringan, diikuti sederhana dan teruk. Apabila ia mula menjadi sederhana atau teruk, di situlah masalah akan bermula,” katanya pada forum Kesedaran Bunyi Bising Di Tempat Kerja anjuran Alpro Pharmacy dan organisasi pengurusan, MiCare, baru-baru ini. Panel lain, Ketua Jabatan Kebersihan Industri & Seksyen Ergonomik, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Elaini Wahab, Pelatih Jabatan Pendidikan dan Latihan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Ahmad Syazrin Mohamad dan Ketua Pembangunan Perniagaan MiCare, Gabriel Loh.

Pekerja yang bekerja dalam suasana bising disarankan menjalani ujian pendengaran sekurang-kurangnya setahun sekali.

Pemeriksaan pendengaran bukan prosedur menakutkan.

Individu hanya perlu memakai penekap telinga, bila mendengar bunyi, tekan butang diberikan sebagai tanda anda mendengar bunyi berkenaan.

Nur Elya menjelaskan bunyi pada frekuensi tertentu, membantu mengesan masalah pendengaran dan ia menumpukan kepada pencegahan bagi mengurangkan kesannya serta bagi memastikan pengurusan dan kaunseling disediakan bagi membantu pesakit.

Lebih daripada itu, akses kepada pemeriksaan pendengaran penting bagi pekerja berisiko kerana kehilangan pendengaran beri impak terus kepada produktiviti dan emosi.

Majikan boleh kena denda

Di bawah Seksyen 37, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 154), mewajibkan majikan untuk menubuhkan Program Konservasi Pendengaran dan sekiranya ingkar mematuhi akta berkenaan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Akta ini menjelaskan bahaya yang wujud ke atas pekerja di sesebuah premis atau kilang apabila terdedah kepada bunyi melebihi 85 desibel dalam jangka masa lapan jam atau lebih ketika bekerja.

Ukuran bunyi itu adalah setara dengan tahap bunyi seperti keretapi bawah tanah, bunyi persekitaran lalu lintas, penggunaan alat stereo peribadi dengan kekuatan maksima atau bunyi kilang.

Elaini berkata, pekerja sebenarnya berhak diberi perlindungan pendengaran dan majikan perlu memastikan bunyi bising di tempat mereka bekerja adalah terkawal.

“Kawalan bunyi bising di tempat kerja bermaksud majikan perlu memasang penyerap bunyi dan bahan-bahan yang boleh mengurangkan getaran yang dikeluarkan oleh mesin-mesin atau peralatan di persekitaran tempat kerja.

“Langkah kawalan lain ialah seperti mewajibkan pekerja memakai penutup telinga. Namun dalam senarai kawalan, langkah itu yang terakhir sebab pekerja ada kecenderungan tidak memakainya seperti rimas bila terpaksa memakai dalam tempoh lama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan dengan memastikan bunyi yang bising di tempat kerja tidak melebihi had ditetapkan dan terkawal serta selamat untuk semua pekerja.

Majikan perlu mengupah perunding bunyi bising yang ditetapkan oleh DOSH untuk menentukan tahap kebisingan yang dikeluarkan.
“Sekiranya kadar kebisingan melebihi had ditetapkan, kita ada kumpulan daripada Seksyen Kebersihan di tempat kerja yang akan pergi melihat premis terbabit. Apakah kawalan sudah dibuat? Adakah ia berkesan?

“Biasanya surat arahan akan dikeluarkan bagi memastikan majikan bertindak segera bagi mengawal bunyi bising. Sekiranya masih tiada perubahan, mereka boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Tambah beliau, tahap kesedaran mengenai kepentingan menjaga pendengaran pekerja masih rendah di mana 40 peratus premis yang dilawati, masih lagi tidak patuh dengan akta ditetapkan.

Sepanjang tahun 2022, sebanyak sebelas majikan didenda kerana gagal mematuhi akta dan arahan yang dikeluarkan.

Pekerja dari industri pembuatan seperti pembuatan makanan, besi logam dan perkayuan adalah paling berisiko berdepan masalah pendengaran dan mencatatkan kes tertinggi setiap tahun.

“Sebelum pendakwaan dibuat, kita akan perhalusi semula apa punca mereka ingkar. Ada yang disebabkan masalah kesedaran, pengabaian atau memang ada isu kos.

“Pendakwaan biasanya membabitkan syarikat yang sudah lima tahun beroperasi dan sudah ada kes penyakit di tempat kerja. Ada ingkar pematuhan. Itu sebab kita dakwa sebagai pengajaran,” katanya.

Majikan juga wajib membawa pekerja yang terbabit secara langsung dengan bunyi bising, di tempat kerja menjalani pemeriksaan telinga atau pendengaran setiap tahun bagi memastikan pendengaran mereka tidak terjejas.

Pemeriksaan pendengaran ini biasanya untuk pekerja yang terdedah kepada bunyi bising 85 disibel untuk lapan jam, setiap tahun tetapi pekerja lain yang berkemungkinan terkesan juga perlu menjalani pemeriksaan.

Pekerja yang disahkan mengalami masalah pendengaran disebabkan oleh tempat kerja, boleh menuntut pampasan daripada majikan dan PERKESO.

“Langkah lain adalah memindahkan pekerja tebabit ke unit lain yang sesuai dan pada masa sama mengawal kadar bunyi berkenaan.

“Manfaatnya adalah untuk semua pekerja sebab kadang-kadang orang yang tidak bekerja di kawasan itu pun berkemungkinan terkena kesan bunyi bising,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kuasa DOSH adalah terhad dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan majikan mematuhi akta ditetapkan.

Justeru, peranan majikan diperlukan bagi melantik pekerja mereka sebagai pengawai keselamatan dan kesihatan pekerja yang ditugaskan untuk mengawal kadar kebisingan di tempat kerja.

Latihan keselamatan dan kesihatan pekerja

Sementara itu, Ahmad Syazrin berkata, pihaknya menyediakan latihan keselamatan ditempat kerja untuk majikan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin termasuk keselamatan pendengaran.

“Latihan terbahagi kepada yang memenuhi keperluan perundangan iaitu kursus passport keselamatan serta kursus kesedaran seperti kesedaran kebisingan.

“Sebagai contoh, mana-mana individu yang hendak bekerja di atas platform minyak dan gas, perlu ada passport selepas menjalani kursus dengan NIOSH,” katanya.

Tambah beliau lagi, kursus biasanya dijalankan selama sehari termasuk teori dan praktikal. Passport yang dikeluarkan mempunyai tempoh masa dan perlu diperbaharui dalam masa dua tahun.

Ahmad Syazrin berkata, latihan sangat penting bagi memastikan tanggungjawab dan kawalan di tempat kerja dapat dilaksanakan dengan betul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN