Tapak bersejarah utama timur kota Madinah - Utusan Malaysia

Tapak bersejarah utama timur kota Madinah

Telaga Ghors antara yang sering dikunjungi oleh jemaah umrah di timur kota Madinah al-Munawwarah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kota Suci Al-Madinah tidak akan pernah sunyi daripada menyimpan pelbagai nostalgia suka duka Rasulullah SAW.

Para jemaah umrah hendaklah mengambil peluang menyelami sejarah Rasulullah SAW dengan menziarahi lokasi yang pernah menjadi saksi keberadaan Nabi SAW di setiap inci tanah kota al-Madinah.

Kali ini saya ingin membicarakan beberapa tapak sejarah yang berada agak jauh dari al-Masjid al-Nabawi yang terletak di arah timur kota al-Madinah.

Telaga Ghors

Telaga Ghors yang dahulunya adalah kepunyaan Saidina Sa‘d bin Khoythamah al-Ansoriyy adalah antara telaga al-Madinah al-Munawwarah yang sedap airnya. Telaga ini asalnya digali oleh moyang Saidina Sa‘d bin Khoythamah iaitu Malik bin Ka‘b bin al-Nahhat.

Rasulullah SAW pernah datang ke telaga ini yang ketika itu airnya sedikit sahaja. Lalu Nabi SAW mengambil setimba air dari telaga ini seterusnya baginda berwuduk dengan air tersebut. Baginda juga telah meludah ke dalam timba tersebut.

Setelah itu air yang masih ada di dalam timba yang sudah bercampur dengan ludah suci Nabi SAW dituang semula ke dalam telaga oleh baginda. Maka Allah SWT mentakdirkan telaga itu tidak pernah kering sehingga hari ini dan telaga ini antara telaga-telaga al-Madinah yang sedap rasanya.

Antara kelebihan telaga ini adalah:

Al-Imam Ibnu Majah meriwayatkan di dalam kitab Sunan beliau bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila saya telah meninggal dunia, maka kalian mandikanlah saya dengan tujuh timba (air yang diceduk) daripada telaga saya (iaitu) telaga Ghors.

Al-Imam Ibnu Sa‘d di dalam kitab beliau al-Tobaqot al-Kubro meriwayatkan Nabi SAW pernah duduk di tepi Telaga Ghors lalu baginda bersabda:

Saya telah melihat (di dalam mimpi) pada malam tadi bahawa sesungguhnya saya seorang yang duduk di satu mata air daripada mata air-mata air syurga.

Mata air syurga yang dimaksudkan oleh baginda adalah Telaga Ghors.

Al-Imam Ibnu Hibban di dalam kitab beliau al-Thiqot meriwayatkan Nabi SAW pernah minum air telaga Ghors.

Kebun Kurma Saidina Salman al-Farisi

Kebun ini dahulunya dikenali dengan nama Kebun al-Mi-thab pernah menyaksikan peristiwa Rasulullah SAW menanam 300 anak pokok kurma demi membebaskan Saidina Salman al-Farisi daripada terus menjadi hamba tuannya yang berbangsa Yahudi.

Saidina Salman pada asalnya adalah beragama Majusi yang menyembah api sebagaimana yang dianuti oleh orang Parsi secara umumnya ketika itu.

Beliau akhirnya memeluk Islam berdasarkan syariat Nabi Isa A.S setelah beliau bertemu seorang rahib yang berpegang dengan ajaran Nabi Isa.

Setelah kematian rahib tersebut, Saidina Salman mendampingi pula rahib yang lain sehinggalah kematian rahib tersebut dan begitulah seterusnya sehinggalah rahib yang terakhir didampingi oleh Saidina Salman sebelum kematiannya menyatakan nabi terakhir yang akan diutuskan Allah sudah semakin hampir waktu perutusan baginda.

Menurut rahib itu, nabi terakhir akan berada di negeri yang banyak pohon kurma.

Selepas kematian rahib terakhir itu, Saidina Salman mula berkelana mencari nabi terakhir tersebut.

Beliau ditakdirkan telah dirompak di jalanan lalu dijadikan hamba abdi dan dijual di pasar.

Saidina Salman dibawa ke Yathrib lalu beliau dibeli oleh Yahudi Yathrib.

Menurut apa yang telah dipelajari oleh Saidina Salman, nabi terakhir yang akan diutuskan oleh Allah tidak akan makan sebarang harta sedekah.

Baginda makan sebarang makanan yang dihadiahkan kepada baginda dan baginda memiliki Khotam al-Nubuwwah (Cap Mohor Kenabian) di belakang badan baginda.

Ia terletak di sebelah kiri sedikit yang setentang dengan arah jantung baginda. Apabila Saidina Salman melihat ketiga-tiga tanda itu ada pada Rasulullah SAW, beliau terus memeluk agama Islam.

Setelah Saidina Salman memeluk Islam, tuan beliau yang berbangsa Yahudi tidak mahu membebaskannya kecuali selepas Saidina Salman mendapatkan 300 pokok kurma dan ditanam di tanah orang Yahudi tersebut.

Saidina Salman tidak ada kemampuan harta untuk mendapatkan pokok-pokok kurma tersebut lalu beliau mengadu masalahnya kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW pun membantu Saidina Salman mendapatkan 300 anak pokok kurma.

Baginda sendiri menanam 300 anak pokok kurma itu. Pada asalnya Rasulullah SAW menanam 299 anak pokok kurma manakala Saidina Umar al-Khattab pula menanam satu anak pokok kurma. Kebiasaannya anak pokok kurma akan mengambil masa tujuh ke lapan tahun sebelum berbuah.

Namun dengan kuasa Allah semua anak pokok kurma yang ditanam oleh Rasulullah SAW telah berbuah pada tahun yang sama kecuali satu pokok kurma tidak berbuah pada tahun tersebut.

Pokok itu ditanam oleh Saidina Umar. Maka Nabi SAW mencabut semula anak pokok kurma itu lalu baginda menanamnya semula. Maka dengan kekuasaan Allah pokok itu berbuah pada tahun tersebut.

Ada sebuah sebuah telaga yang dikenali dengan nama Telaga Saidina Salman al-Farisi di dalam kebun kurma bersejarah ini.
Namun tidak diketahui adakah Rasulullah SAW pernah minum air telaga tersebut ataupun tidak.

Saidina Mukhoyriq Al-Nadhoriyy Sang

Tanah kebun yang pernah menyaksikan Nabi SAW menanam 300 anak pokok kurma ini akhirnya menjadi milik seorang ulama Yahudi daripada Banu al-Nadhir yang bernama Mukhoyriq.

Ketika Peperangan Uhud, Saidina Mukhoyriq memeluk Islam dan mengajak orang Yahudi untuk beriman.

Beliau berkata kepada mereka: “Tidakkah kalian (mahu) membantu Muhammad? Demi Allah. Sesungguhnya kalian mengetahui bahawa membantu baginda adalah satu hak (yang diwajibkan oleh Allah) ke atas kalian”.

Orang-orang Yahudi menjawab: “Hari ini adalah hari Sabtu (yang wajib dihormati)”. Lalu Saidina Mukhoyrîq telah berkata: “Tidak ada Sabtu”.

Beliau pun mengambil pedang lantas bergerak menuju ke medan Peperangan Uhud bersama-sama dengan pasukan Rasulullah SAW.

Semasa dalam Peperangan Uhud, Saidina Mukhoyriq berperang dengan berani sehingga beliau mengalami kecederaan yang parah. Apabila beliau nazak, beliau berkata: “Harta-hartaku adalah milik Muhammad. Baginda akan meletakkannya berdasarkan apa sahaja yang baginda mahu”.

Apabila Saidina Mukhoyriq syahid, seluruh harta beliau iaitu kebun-kebun kurma diserahkan kepada Rasulullah SAW. Kebun-kebun tersebut adalah Kebun al-Mi-thab, Kebun al-Dallal, Kebun al-Burqoh, Kebun al-A‘waf, Kebun Husna dan Kebun Mashrobah Ummi Ibrohim.

Rasulullah SAW telah memberikan Kebun al-Mithab kepada Saidina Salman yang pernah bekerja di kebun itu ketika beliau masih seorang hamba milik seorang Yahudi. Kebun tersebut dikenali pada hari ini dengan Kebun Saidina Salman al-Farisiyy.

Pada hari ini, Kebun Saidina Salman al-Farisiyy dan telaga beliau sudah menjadi tanah kosong dan dibina sekolah di atas tapak kebun itu. Terdapat beberapa kebun kurma di sekitar kawasan Telaga Saidina Salman yang berkemungkinan turut termasuk di dalam kawasan Kebun al-Mi-thab.

 

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN