Ketagihan internet jejas perkembangan mental - Utusan Malaysia

Ketagihan internet jejas perkembangan mental

Penggunaan internet secara berpanjangan menyebabkan keresahan, kemurungan dan masalah mental yang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 mendedahkan satu daripada empat remaja mengalami tekanan emosi manakala satu daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun menghadapi gangguan kesihatan mental.

Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding lebih sedekad lalu.

Apabila penggunaan media sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat, kesannya terhadap kesihatan mental juga semakin membimbangkan kerana ia antara punca menyebabkan terjadinya buli siber, keresahan dan kemurungan.

Pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Tee Bee Chin berkata, ketagihan terhadap aktiviti dan permainan dalam talian ini boleh mengakibatkan satu tindakbalas negatif dengan pantas.

“Ia sering menjadi masalah sekunder dalam masalah yang utama seperti kesukaran pembelajaran, konflik sosial dengan rakan sebaya, serta perbalahan keluarga.

“Justeru penting bagi ibu bapa melihat tanda-tanda awal ketagihan aktiviti serta permainan dalam talian dalam kalangan anak-anak mereka.

“Antaranya tabiat anak yang suka mengasingkan diri daripada aktiviti harian, peningkatan kepada toleransi terhadap masa yang dihabiskan di hadapan skrin dan keasyikan aktiviti dalam talian,” katanya.

Asas piawaian digunakan bagi mendiagnosis ketagihan adalah mempertimbangkan faktor seperti masa yang dihabiskan dalam talian, kesan ke atas kehidupan harian serta kegagalan untuk mengurangkan masa yang dihabiskan di hadapan skrin.

PUNCA RESAH, MURUNG

Ketagihan kepada aktiviti dan permainan dalam talian boleh mengakibatkan kesan negatif kepada individu.

Penggunaan internet secara berpanjangan boleh menyebabkan keresahan, kemurungan serta isu-isu kesihatan mental yang lain.

Ia sekaligus menjejaskan kehidupan kanak-kanak secara fizikal dan mental.

Penyelidikan jelas menunjukkan hubung kait yang signifikan antara penggunaan media sosial yang ketara dengan gejala-gejala kemurungan, kegelisahan sosial serta simptom fizikal yang menunjukkan keresahan terutamanya dalam golongan remaja perempuan.

“Saya turut melihat hubungkait antara permainan video yang ganas dengan tingkah laku agresif pada kanak-kanak.

“Permainan yang melibatkan pencarian musuh atau menyelesaikan misi yang agresif boleh mencetuskan tindak balas ganas dalam tempoh yang singkat,” tambah Dr. Tee.

Kajian terbaharu menunjukkan remaja yang terdedah kepada permainan video yang ganas dengan lebih kerap menunjukkan tahap kemarahan yang lebih tinggi, sering bertelagah dengan guru, kerap terlibat dalam pergaduhan dan kemerosotan akademik.

DIAGNOSIS AWAL

Pengesanan awal ketagihan dapat memberi manfaat kepada perkembangan kanak-kanak.

Dr. Tee menegaskan pengesanan dan rawatan tepat pada masanya boleh mengurangkan risiko bunuh diri serta meningkat mekanisme menghadapi tekanan (coping mechanism), terutamanya bagi mereka yang bergelut dengan kemurungan, kegelisahan serta kesepian semasa menjalani rawatan.

“Ibu bapa perlu mencari rawatan dan nasihat yang sewajarnya daripada pakar kesihatan yang memahami cabaran menghadapi ketagihan aktiviti dan permainan dalam talian ini.

“Kumpulan sokongan boleh menawarkan pertolongan kepada remaja yang berhadapan dengan cabaran ini. Mereka akan dapat merasakan ketenangan dalam persekitaran di mana orang dewasa dan rakan-rakan menerima mereka seadanya tanpa perlu mengubah diri mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×