Kegagalan sistem sokongan keluarga salah siapa? - Utusan Malaysia

Kegagalan sistem sokongan keluarga salah siapa?

Perundangan Islam termasuk pemerkasaan mahkamah syariah hanya melibatkan orang Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila membincangkan masalah keluarga; dari perceraian, pengabaian anak-anak, penderaan fizikal dan emosi isteri atau suami, kegagalan suami dalam mentadbir kewangan keluarga, curang dan pelbagai lagi, masyarakat kerap menunding jari kepada kerajaan dan agensi yang berkaitan.

Sedangkan dalam Islam, Allah memberi kuasa dan tanggungjawab besar kepada lelaki; ayah, datuk, abang atau adik lelaki sebagai wali. Wali bukan hanya wujud dan diperlukan ketika perkahwinan tapi sangat penting dalam kehidupan seoarang wanita.

Peranan lelaki bukan sekadar mengakad nikah tapi memastikan kestabilan insitusi keluarga di bawah kawalannya, memastikan ahli keluarga berfungsi dengan baik dan saling hormat-menghormati.

Namun apa yang menyedihkan, institusi keluarga hari ini semakin hilang peranan ‘mengawal selia’ ahli keluarga yang bermasalah. Ahli keluarga yang bermasalah, dibiarkan sendirian, tanpa bantuan dan sokongan.

Ahli keluarga lain lebih bersikap mementingkan diri dan menjauhkan diri jika berlaku permasalahan.

Banyak keluarga di Malaysia gagal memberikan sistem sokongan terbaik sekiranya ahli keluarga bermasalah, bersikap menafikan (in denial) terhadap permasalahan domestik, melepaskan tanggungjawab menjaga ahli keluarga sakit dan bermasalah.

Mereka tidak sanggup menerima sekiranya anak mereka yang bermasalah atau didera bercerai kerana tidak mahu berhadapan dengan stigma negatif masyarakat. Bagi sesetengah masyarakat kita, lebih baik mempertahankan aib keluarga daripada menerima aib perceraian.

Ramai ibu bapa yang mempunyai anak lelaki bermasalah seperti ketagihan dadah atau mempunyai orientasi seks songsang, bertindak mengahwinkan anak mereka dengan harapan agar pasangan anak mereka boleh menjaga dan mengubah anak mereka menjadi lebih baik.

Bagaimana mereka boleh menyerahkan anak mereka kepada orang lain sedangkan mereka sendiri gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa?

Masyarakat sering kali menuding jari kepada agensi kerajaan dan agensi berkaitan dalam isu sosial hari ini. Jabatan Kebajikan Masyarakat dikatakan gagal dalam fungsi memperkasakan institusi sosial dan mengawal institusi berkaitan kanak-kanak dan keluarga, gagal mengesan kes-kes penderaan dan salah laku walaupun aduan telah dibuat.

Umum mengetahui bahawa pelbagai medium disediakan untuk membuat laporan penderaan antaranya Talian Kasih yang boleh dimanfaatkan secara meluas.

Dalam masa yang sama, Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga Tahun 2023 Edisi Kedua telah diterbitkan sebagai dokumen rujukan berkaitan prosedur permohonan perintah perlindungan, bantuan rawatan, perkhidmatan perlindungan di Tempat Selamat (diwartakan) dan tempat berlindung dan bantuan sokongan lain.

Ini membantu dalam memastikan pengurusan mangsa keganasan rumah tangga adalah lebih baik dan sistematik.

Umum juga perlu mengetahui, peranan membanteras penderaan bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kerajaan telah merangka dasar perlindungan kanak-kanak bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

Masyarakat juga sering melemparkan tuduhan kepada agensi agama seperti pihak Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri, Jakim dan Majlis Agama Islam tidak menjalankan fungsi dengan baik untuk memperkasa insitusi keluarga Islam di negara ini.

Hakim dan Mahkamah Syariah dituduh bias dan berat sebelah ketika mengendalikan kes tuntutan perceraian isteri yang didera dan tuntutan nafkah. Hakikatnya agensi agama dan institusi kehakiman syariah negara kita telah lama mengambil langkah proaktif dalam pengendalian kes pendaftaran perkahwinan, cerai dan rujuk.

Sebagai contoh, Selangor telah mewujudkan “Kaunter Khas (Fast Track) Penceraian” di Mahkamah Syariah Selangor. Pewujudan proses kerja kes cerai secara fast track ini diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) sejak 2015.

Kaunter ini bukanlah proses yang diwujudkan semata-mata untuk selesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya tanpa perlu melalui langkah-langkah yang sewajarnya bagi membendung kes penceraian di Selangor.

Sebaliknya, sebelum sesuatu pasangan suami isteri datang ke mahkamah untuk memfailkan kes cerai, pasangan ini pada kebiasaannya akan berjumpa dengan Pegawai Runding Cara Keluarga di Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik rumah tangga yang dihadapi oleh mereka.

Pemfailan kes di Mahkamah Syariah hanya dibuat setelah usaha melalui rundingcara ini gagal untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.
Pewujudan proses kerja kes cerai secara fast track adalah bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan Mahkamah Syariah Selangor yang mendakwa mahkamah mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan kes-kes cerai di Negeri Selangor.

Kesan inisiatif ini dilihat telah menggalakkan para suami bagi sesuatu perkahwinan yang telah pecah belah untuk menceraikan isteri mereka secara baik selaras dengan Firman Allah yang bermaksud: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikannya) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikannya) dengan cara yang baik. (al-Baqarah: 229).

Secara tidak langsung ia dapat kurangkan kes wanita yang mendakwa diri mereka ‘digantung tak bertali’.

Dalam masa yang sama, kita sebagai individu dan ahli keluarga wajib menjalankan peranan memantau dan membantu ahli keluarga dan sesiapa yang terdekat yang dilihat bermasalah.

Penderaan fizikal tidak akan hanya berlaku sekali, kerana pelaku biasanya mempunyai kecenderungan meneruskan penderaan terutama jika tidak dihalang dari awal. Kita sebagai ahli masyarakat harus ada sensitiviti mengesan tanda-tanda penderaan fizikal dan emosi sama ada terhadap kanak-kanak, suami atau isteri.

Antara tanda yang boleh membantu kita; perubahan kelakuan di tempat kerja atau sekolah, kemurungan, kemerosotan produktiviti dan tanda penderaan di kawasan muka dan lainnya.

Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, beri nasihat yang sewajarnya dan bimbing mangsa untuk mendapat bantuan secara profesional sama ada melalui kaunselor, terapis, doktor atau polis sekiranya melibatkan kes jenayah. Jangan malu mendapatkan bantuan daripada mereka yang pakar.

Penulis adalah Anggota Majlis Agama Islam Selangor dan Jawatankuasa Perundingan Syarak Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN