Sayur-sayuran dan makanan seimbang itu, terbaik untuk tubuh. Biarpun ramai yang tahu, ramai juga yang tidak mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Buktinya, hanya 4.6 peratus rakyat negara ini mengamalkan pemakanan seimbang seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Perkara itu didedahkan Pengarah Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Manimaran Krishnan.
Katanya, tingkahlaku dan amalan tidak sihat, menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) sejak kebelakangan ini.
“Penyakit bawaan gaya hidup seperti darah tinggi dan kencing manis itu mengalami peningkatan yang signifikan.
“Literasi kesihatan dalam kalangan rakyat masih lagi rendah. Mereka ada pengetahuan, ada kesedaran tetapi tidak menzahirkan dalam bentuk tindakan.
“Dalam kajian lain juga mendapati 51.2 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Mereka sepatutnya mengamalkan pemakanan mengikut Pinggan Sihat Malaysia” katanya ditemui pada kempen kesedaran kesihatan anjuran Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCAM) baru-baru ini.
Pemakanan seimbang adalah memilih makanan merangkumi pelbagai jenis kumpulan makanan dalam jumlah bersesuaian untuk keperluan fungsi tubuh.
Ia biasanya, mengandungi nutrien seimbang seperti protein, lemak, vitamin, karbohidrat dan garam galian.
PENYAKIT GAYA HIDUP
Penyakit yang berkaitan gaya hidup ini boleh dicegah sekiranya mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Dr. Manimaran berkata, kalau dulu, penyakit diabetes hanya kena pada orang yang berusia sahaja tetapi kini berlaku dala kalangan orang muda.
“Puncanya, gaya hidup yang tidak seimbang dan mengambil ringan soal kesihatan dengan menganggap boleh ke hospital bila-bila masa sekiranya jatuh sakit.
“Sedangkan hospital bukan tempat untuk merawat semata-mata, sebaliknya lokasi untuk mengesan penyakit dari peringkat awal supaya tidak berlarutan,” katanya.
Tegasnya, rakyat perlu membuang rasa takut untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala di pusat perkhidmatan kesihatan.
Pemeriksaan berkala bermaksud menjadikannya sebagai rutin tahunan supaya sebarang simptom abnormal pada tubuh dapat dikenalpasti lebih awal.
“Tidak perlu menunggu sebarang simptom, barulah melakukan pemeriksaan, sebaliknya sentiasa peka dengan kesihatan diri agar boleh menjalani kehidupan berkualiti,” katanya.
Dr. Manimaran turut meluahkan kegusaran terhadap corak pemikiran rakyat ketika ini yang terlalu bergantung kepada rawatan secara klinikal.
KEMPEN KESEDARAN
Sementara itu, kempen kesedaran kesihatan anjuran CCAM bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya ibu bapa dalam melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala terhadap anak-anak.
Tiada umur spesifik, namun sekiranya terdapat abnormaliti dalam sikap atau tingkah laku anak-anak ibu bapa disarankan membawa anak menjalankan pemeriksaan lebih terperinci.
Pengerusi CCAM, Lavaniyah Ganapathy berkata, ibu bapa tidak boleh berlengah atau tunggu dan lihat sekiranya anak mengadu sihat atau kelihatan tidak bermaya.
“Budak-budak tidak pandai memberitahu kesakitan yang mereka alami. Kita yang perlu memantau sekiranya mereka kelihatan berbeza.
“Ada penyakit seperti kanser yang boleh dirawat sekiranya dikesan awal,” katanya.
Beliau yang mempunyai anak berusia 8 tahun penghidap kanser Philadelphia chromosome-positive acute Lymphoblastic leukimia (ph+ B-ALL) berkata, pengalaman merawat anak kanser membuka mata ibu kepada tiga anak itu untuk meringankan beban keluarga lain yang melalui ujian sama.
“Syukur kami ada insurans kesihatan dan simpanan untuk kos rawatan. Bagaimana dengan keluarga lain yang sekadar cukup-cukup makan?.
“Kos rawatan kanser boleh menelan belanja sekitar 350,000 untuk rawatan standard. Jadi, CCAM diwujudkan untuk membantu keluarga kurang berkemampuan daripada segi melancarkan kutipan dana,” katanya.










