Unit berkuda bukan sekadar hiasan - Utusan Malaysia

Unit berkuda bukan sekadar hiasan

Muhammad Mukhriz Mhd. Pauzi ketika sesi bouding selepas melakukan sesi rutin harian bersama kuda bernama Gaucho. – Utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali sambutan Hari Kebangsaan, Unit Berkuda Bahagian Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) antara yang paling sibuk melakukan persiapan perbarisan.

Menerusi kekuatan 22 orang terdiri daripada pegawai dan anggota penguat kuasa dengan 15 kuda, mereka mula melakukan persediaan perbarisan sekurang-kurangnya sebulan sebelum hari sambutan diadakan.

Antara latihan dilakukan ialah orientation training, bertujuan memastikan kuda terbiasa dan tidak mudah terganggu dengan suasana kemeriahan sambutan seperti bunyian muzik daripada pancaragam, deruan enjin pesawat dan kenderaan serta persekitaran dipenuhi orang ramai.

MOHD. Fauzi Ismail (tengah) bergambar dengan anggota unit berkuda PPj di Putrajaya.

Latihan awal juga bagi memastikan rider bersedia dan boleh mengawal keadaan sekiranya kuda tidak bertenang semasa perarakan berlangsung.

Biarpun tidak terlibat dengan perbarisan pada sambutan Hari Kemerdekaan semalam, keutamaan tugasan anggota penguat kuasa PPj tidak ‘goyang kaki’ sebaliknya memberikan tumpuan kepada kawalan keselamatan pengunjung bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan kawalan keselamatan lancar sepanjang acara berlangsung.

UNIT ISTIMEWA

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Mohd. Fauzi Ismail, berkata unit berkenaan dianggap istimewa sebagai menunjukkan keberadaan anggota penguat kuasa di dalam masyarakat. Ia sekali gus memberikan kelainan fungsi penguatkuasaan iaitu tidak hanya mengenakan tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya boleh didekati untuk bergambar dan mendapatkan informasi berkaitan Putrajaya.

“Kehadiran pasukan ini tidak hanya mengeluarkan kompaun, sebaliknya beri nasihat dan teguran agar mematuhi peraturan. Ia membantu penduduk atau pengunjung rasa selamat di samping kerjasama semua pihak dalam menjaga ketenteraman semua penghuni warga Putrajaya,” katanya.

Beroperasi sepenuhnya sejak 2010, unit berkenaan sebenarnya ditubuhkan lebih awal iaitu pada 6 Jun 2007 dengan objektif utama mengangkat imej Putrajaya sebagai ‘Bandar dalam Taman’ dengan fungsi utama melakukan rondaan berkuda di tempat tumpuan awam seperti kawasan tumpuan pelancong, jalan protokol, taman awam, kawasan komersil dan kawalan orang ramai semasa acara atau majlis rasmi anjuran PPj mahupun agensi kerajaan lain.

PPj muncul PBT kedua selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengoperasikan unit berkuda dengan kekuatan 11 orang anggota penguat kuasa bersama 15 ekor kuda.

Selepas 13 tahun, kekuatan anggota bertambah kepada 22 orang terdiri daripada pegawai dan anggota penguat kuasa serta perkhidmat am di samping 24 ekor kuda pelbagai baka dari pelbagai negara antaranya Argentina, Australia dan Eropah (Belgium, Perancis dan Holland).

Anggota unit ini dihantar menjalani Kursus Asas Menunggang Kuda dengan Unit Berkuda DBKL serta latihan lanjutan dengan Pasukan Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan PDRM di Cheras Kuala Lumpur.

Pegawai dan anggota unit berkuda turut menjalani Kursus National Orientation Course In-Basic Horse Care and Management (O’Level), dikendalikan Majlis Ekuin Malaysia selaku badan agensi yang diiktiraf kerajaan untuk mengendalikan kursus dan latihan berkaitan ekuin.

Acara rasmi disertai antaranya perbarisan berkuda, kawad dan sukan berkuda seperti ekuestrian (show jumping dan dressage) dan kuda lasak (endurance) bermula tahun 2018 sama ada anjuran pihak luar mahupun PPj malah pernah merangkul tempat pertama dan beberapa kedudukan terbaik sepanjang penyertaan acara sukan berkuda.

Unit itu juga berjaya menganjur dan menyelaras pertandingan dan acara seperti Kejohanan Kuda Lasak Piala Presiden Perbadanan Putrajaya di mana pada tahun ini bakal memasuki edisi ke-4. Ini termasuk Pertandingan Sukan Ekuestrian Badan Beruniform dan Putrajaya Horse Show 2019 di Taman Ekuestrian Putrajaya yang mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Record sebagai Karnival Ekuin Terbesar di Malaysia.

BAKA TERBAIK

Setiap baka mempunyai keistimewaan dan keupayaan masing-masing.

Komandan Unit Berkuda, Nor Azman Abdul Rahman berkata, sebagai contoh baka Warmblood lebih kepada sukan ekuestrian, baka Arabian sangat sesuai untuk sukan kuda lasak kerana mempunyai kekuatan stamina sangat tinggi, manakala kuda baka Anglo Arab dan Thoroughbred sesuai untuk sukan ekuestrian serta kuda lasak.

Kos penyelenggaraan sekitar RM400,000 setahun melibatkan pengurusan makanan dan ladam kuda.

‘Boleh baca fikiran’

LKpl Muhammad Hazwan Jamal mengendalikan kuda dikenali Spot sejak lima tahun lalu.

Kuda istimewa berbaka Warmblood dari Belgium ini dipilih mengetuai kontijen berkuda sekiranya terdapat perbarisan rasmi acara dianjurkan PPj.

Karakternya amat senang didekati dan mudah mengikut arahan.

“Kalau dalam perbarisan berkuda, dia paling depan sebab ‘tak buat perangai’. Malah senang berkomunikasi dan faham arahan,” kata pembantu penguat kuasa itu.

Bagi LKpl Muhammad Mukhriz Mhd. Pauzi pula, kuda kendaliannya dinamakan Gaucho merupakan seekor kuda tahan lasak. Atas sebab itu Gaucho dipilih menyertai pertandingan endurance.

“Saya sering berkomunikasi dengan dia waktu memandikannya dan dia seolah-olah boleh faham perasaan saya. Dia boleh tahu kalau kita sedang bersedih atau gembira.

“Kalau pergi rondaan, dia senang beri kerjasama dan tidak meragam walaupun jarak rondaan yang agak jauh. Tugas kami membuat teguran kepada orang awam seperti mereka yang meletak kenderaan di tepi jalan,” katanya yang pernah ‘memiliki’ kuda lain sebelum ini, namun umur kuda tersebut tidak panjang akibat sakit.

Ketua Jurulatih, Sarjan Kay Fairuz Kamaruddin yang merupakan kumpulan pertama menganggotai unit ini dan ditugaskan memberi latihan kepada anggota untuk mengendalikan kuda serta cara untuk memahami karakter haiwan berkenaan.

Katanya, setiap kuda dapat ‘membaca fikiran’ penunggangnya.

“Jika emosi kita terganggu, dia juga dapat merasai emosi itu. Jika ada hubungan atau bonding yang baik, dia akan memberi respon dengan lancar dan tenang,” katanya.

Selain perlu memerhati perkara-perkara berkaitan penguatkuasaan, penunggang juga perlu peka dengan persekitaran kawasan rondaan dari elemen-elemen yang boleh menyebabkan kuda terjatuh atau terganggu.

“Kesannya bukan sahaja boleh menyebabkan bahaya kepada penunggang dan kuda, malah kepada orang ramai dan juga harta.

“Aspek rohani dan kebajikan kuda juga perlu diberikan perhatian, supaya ia sentiasa dalam keadaan tenang dan tidak stres ketika tugasan rondaan dilaksanakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×