RM90 bilion harta faraid tak dituntut - Utusan Malaysia

RM90 bilion harta faraid tak dituntut

HARTA yang berkat bukan sahaja memberi manfaat kepada pemiliknya di atas dunia malah berterusan hingga ke akhirat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita harus bersikap proaktif dalam pengurusan harta bukan sahaja ketika hidup, malah selepas kita mati. Mudahkan urusan mereka yang ditinggalkan dengan meninggalkan wasiat, menyediakan perancangan faraid dan hibah.

Ahli waris dan keluarga perlu dikenal pasti. Andai mahu memanjangkan amal jariah melalui hibah, wakaf dan sedekah melalui pelbagai medium yang ada.

Carilah pengurus dana amal jariah yang dipercayai dan telus. Lihat rekod pengurusan dan tatakelola agensi yang menguruskan harta yang kita pilih.

Senaraikan juga liabiliti setiap harta kita; cukai tanah, cukai pintu, bil pengurusan dan penghutang atau pemiutang sama ada yang mengikat melalui kontrak yang jelas seperti pihak bank atau koperasi, atau kontrak secara lisan.

Ramai orang terlepas pandang atau memandang remeh isu pemiutang dan penghutang sehingga menyebabkan kesukaran pengurusan harta apabila berlaku kematian secara tiba-tiba.

Mengambil takaful dan melantik pengurus harta juga adalah salah satu cara terbaik.

Harta dunia bukan sahaja perlu dicari, dikumpul dan dikembangkan tapi harus diuruskan ke mana pengakhiran harta apabila kematian berlaku.

Harta yang berkat bukan sahaja memberi manfaat kepada pemiliknya di atas dunia malah berterusan hingga ke akhirat. Dalam masa yang sama keberkatan harta juga terzahir melalui mudah sukarnya urusan harta pusaka.

Kerap kita dihidangkan dengan berita pertelingkahan di antara anak-beranak, adik-beradik, ipar duai, mertua menantu berkaitan harta pusaka apabila berlaku kematian.

Harta ditinggalkan seharusnya memberi manfaat kepada waris bukan jadi punca perbalahan dan putusnya hubungan sesama manusia.

Apabila anak adam meninggal dunia, urusan berkaitan harta wajib diuruskan setelah semua urusan jenazah diselesaikan. Hutang wajib dilaksanakan, wasiat ditunaikan dan faraid diberikan kepada ahli waris yang berhak.

Hukum faraid adalah antara hukum yang disebut di dalam al-Quran dan sunnah.

Firman Allah yang bermaksud: Orang lelaki ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang perempuan ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari peninggalan harta yang ditinggalkan itu,itulah bahagian yang telah diwajibkan (ditentukan) oleh Allah SWT. (an-Nisa’: 7).

Ibu ayah berhak mendapat 1/6. Isteri si mati berhak mendapat 1/8 jika mempunyai anak, atau mendapat ¼ jika tiada anak.

Jika suami yang kematian isteri berhak mendapat ¼ jika mempunyai anak atau ½ bahagian jika tiada mempunyai anak.

Islam juga menentukan bahawa anak-anak lelaki berhak mendapat dua bahagian melebihi satu bahagian anak perempuan.

Jika si mati mempunyai anak lelaki, maka adik-beradik lelaki automatik menjadi mahjub atau terhalang untuk mendapat harta warisan. Dan sekiranya si mati tidak mempunyai ahli keluarga, ibu bapa, pasangan, anak atau kerabat lainnya, harta akan menjadi milik Baitulmal.

RM90 BILION

Jumlah harta faraid tidak dituntut di negara kita amat besar. Sehingga tahun 2022, lebih kurang RM90 bilion tidak dituntut di seluruh negara.

Antara punca harta ini terbiar dan tidak dimanfaatkan adalah sikap waris yang bertangguh menguruskan harta, jumlah harta sedikit yang tidak menarik ahli waris membuat tuntutan, ahli waris yang hilang tidak dapat dikesan sama ada berhijrah ke luar negara atau telah bertukar alamat atau nama pendaftaran.

Selain itu, perbalahan yang berlarutan hingga berlapis-lapis waris yang menyebabkan proses menjadi sukar dan rumit.

Jumlah itu bukanlah satu nilai kecil dan nilai pusaka ini sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk kegunaan ahli waris dan masyarakat Islam seluruhnya.

Ahli waris boleh menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, boleh dilaburkan dalam perniagaan atau apa cara yang boleh mengembangkan harta dengan halal.

Harta ditinggalkan perlulah dimanfaatkan dan dikembangkan. Harta beku tidak terurus adalah satu pembaziran sumber kekayaan yang Allah kurniakan kepada kita.

Bagi mengelakkan harta pusaka menjadi beku dan sukar diuruskan, semua pihak harus bekerjasama dan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah masing-masing.

Masyarakat Islam harus mempunyai kesedaran dari awal untuk menguruskan harta ketika masih hidup.

Kenalpasti ahli waris kita sama ada dekat atau jauh. Hubungkan silaturrahim yang terputus dan pelihara hubungan kekeluargaan dengan baik.
Muslim juga harus mengenal pasti kategori harta yang dimiliki, sama ada mudah dicairkan atau diuruskan.

Harta kekal seperti rumah dan tanah perlu difikirkan sama ada mahu diuruskan dengan pembahagian melalui jualan atau dipindah milik.

Proses pemindahan milik harta bukan satu proses yang mudah. Maka ahli keluarga harus sepakat dan memudahkan urusan.

Ada ibu bapa yang membuat proses pertukaran nama pemilikan harta kekal ketika hidup seperti rumah dan tanah, dengan niat memudahkan anak-anak di kemudian hari.

Hasrat murni orang tua ini tidak harus disalahgunakan oleh anak-anak.

Terdapat banyak kes anak-anak menjual harta orang tua yang telah dipindah milik ketika hidup, yang menyebabkan ibu bapa merempat dan terpaksa pula menyewa di tempat lain.

Ada juga kes ahli waris yang sengaja menyembunyikan maklumat ahli waris yang lain, dengan niat untuk membolot harta dan ada perbalahan yang dibawa ke mahkamah untuk menafikan hak ahli keluarga dalam pemilikan harta.

Hal ini sangat menyedihkan kerana harta yang ditinggalkan seharusnya memberikan manfaat kepada waris yang ditinggalkan tapi sebaliknya harta pusaka membawa mudarat pula.

Haram menyembunyikan harta daripada ahli waris yang berhak. Hukum ini jelas disebut dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: Bahagikanlah harta pusaka kepada mereka yang berhak di kalangan ahli waris, jika berbaki maka lelakilah yang lebih berhak. (Riwayat al Bukhari).

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1992 dalam Seksyen 146 juga menyatakan bahawa; ‘Sesiapa dengan sengaja menyembunyikan ahli-ahli waris yang berhak menerima apa-apa harta pusaka adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu.’

Sehingga tahun 2022, sebanyak 72,348 kes tuntutan harta pusaka tertunggak direkodkan. Antara kes perbicaraan melibatkan harta pusaka tertinggi ialah tuntutan harta sebanyak RM300 bilion yang melibatkan pelbagai generasi ahli keluarga di Johor.

Bertindak bijaklah sebelum ajal menjemput tiba.

Penulis adalah Anggota Majlis Agama Islam Selangor dan Jawatankuasa Perundingan Syarak Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya