Menjejaki dakwah dan warisan sejarah Uzbekistan - Utusan Malaysia

Menjejaki dakwah dan warisan sejarah Uzbekistan

MASJID Bolo-Houz, bukan sahaja menjadi simbol keagungan seni bina Islam, tetapi merupakan peringatan kepada kekuatan iman, pengorbanan dan keikhlasan seorang wanita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, saya bersama-sama 19 rakan sejawat Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkesempatan menziarahi Uzbekistan.

Negara terletak di Asia Tengah ini turut dikenali sebagai pusat utama laluan sutra, sebuah laluan perdagangan kuno, menghubungkan Timur dan Barat berbatasan dengan lima negara, Kazakhstan, Turkmenistan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Afghanistan.

Iklim dimiliki, daripada panas padang pasir di selatan hingga pegunungan bersalji di timur, negara ini menjanjikan pengalaman pelancongan yang pelbagai.

Kami menyelami sejarah Islam, mengenali tokoh-tokoh agama Islam dengan lebih dekat serta memahami kepercayaan dan budaya masyarakat setempat.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan tapak-tapak bersejarah, Uzbekistan memainkan peranan penting dalam membentuk identiti rakyatnya, khususnya masyarakat Islam.

Antara fakta menarik mengenai penduduk tempatan ialah aspek kebersihan.
Budaya ini dipercayai berakar daripada pengaruh agama Zoroastrianisme kuno yang pernah berkembang di wilayah ini sebelum kedatangan Islam.

KESAN MENDALAM

Kunjungan ke makam Qutham Bin Al-Abbas R.A, sepupu baginda Rasulullah, memberikan kesan mendalam kepada kami. Sahabat Nabi ini sanggup meninggalkan tanah kelahiran demi menyebarkan dakwah Islam melalui laluan sutera yang tandus dan mencabar. Qutham disemadikan di kota bersejarah, Samarkand.

Kami menziarahi makam Imam Al-Bukhori atau nama sebenarnya, Muhammad Bin Ismail Al-Bukhori.

Tokoh Ilmuan Hadis yang terulung ini, pernah menghadapi fitnah dan terpaksa meninggalkan kota kelahirannya, Bukhara dan disemdaikan di bumi Samarkand.

CINCIN DAN DARAH

Di tengah-tengah keindahan sejarah dan budaya Uzbekistan, terdapat sebuah permata arkitektur yang sering menjadi tumpuan pelawat iaitu Masjid Bolo-Houz.

Terletak di Bukhara, masjid ini dikenali kerana keunikan rekabentuk dan sejarah pembinaannya yang mengagumkan.

Pembinaannya dikaitkan dengan dedikasi dan pengorbanan seorang wanita solehah yang dikatakan terbina daripada penjualan sebentuk cincin.

Menurut penduduk tempatan, seorang wanita solehah dari Bukhara memutuskan untuk membina sebuah masjid bagi kegunaan masyarakat Islam.

Namun, beliau tidak memiliki dana mencukupi, sebaliknya hanya ada sebentuk cincin warisan keluarganya.

Dengan penuh keyakinan dan dedikasi terhadap tujuan mulianya, wanita tersebut menjual cincin tersebut dan menggunakan wang diperoleh untuk membina masjid.

Merakam kenangan di Registan Square.

Pintu masuk masjid yang tinggi, mihrab yang indah, serta tiang-tiang kayu berukir halus mencerminkan seni bina Islam tradisional dan menambahkan keunikan kepada struktur bangunan ini.

Masjid ini bukan sahaja menjadi simbol keagungan seni bina Islam di Uzbekistan, tetapi peringatan akan kekuatan iman, pengorbanan, dan keikhlasan seorang wanita.

Kami turut ke Galeri Al-Quran di Tashkent. Salah satu pameran paling berharga di sini ialah Mushaf Al-Quran Peribadi Saidina Uthman Bin Affan R.A.

Mushaf ini masih menampakkan kesan darah Saidina Uthman R.A sewaktu tragedi pembunuhannya.

Menurut rekod sejarah, mushaf berharga ini dibawa oleh pemerintah empayar Timurid, iaitu Emir Timur atau dikenali sebagai Timurlane dari kota Baghdad.

Lawatan ke sini sebuah pengalaman luar biasa. Ia menawarkan kombinasi unik antara sejarah, budaya dan keindahan semula jadi serta warisan dakwah Islam melalui pelabagai aspek kehidupan.

Artikel sumbangan Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi UIAM merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, Mohamed Rashid Ab Razak al-Hafiz. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN