tips tanaman kubis

Campuran najis arnab suburkan tanaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peningkatan kos sara hidup ketika ini, mendorong ramai orang mencari alternatif bagi mengurangkan perbelanjaan terutamanya belanja dapur.

Ramai yang mula berjinak-jinak bercucuk-tanam sayur-sayuran sendiri di rumah bagi mengurangkan perbelanjaan keperluan harian.

Tidak terkecuali Guru Pendidikan Khas, Siti Khadijah Basarai@Basri,32, yang menanam sayur-sayuran di halaman rumahnya.

Katanya, minat menanam sayur itu turut timbul selepas melihat emaknya menanam sayur di kampung.

“Daripada situ minat menanam timbul dan menjadikan ia sebagai hobi.

“Saya kira hobi berkebun ini dapat menjimatkan perbelanjaan kos harian. Yalah nak guna sikit saja, jadi tidak perlu membazir beli di kedai. Petik dalam pasu tepi rumah saja,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Fleda Mempaga 2, Pahang.

Amalan bercucuk tanam itu dilakukan sejak dua tahun lalu ketika negara sedang diserang pandemik Covid-19.

Berkongsikan tips memperoleh sayur-sayuran yang segar, katanya dia menggunakan medium tanah hitam atau sawit yang dibeli dengan orang kampung.

Tidak membazir, dia juga turut menggunakan najis arnab dalam campuran tanah untuk mendapatkan hasil tanaman yang subur.

“Saya campur tanah hitam dengan tanah kuning dan najis arnab. Gaul sebati semua dan biarkan seminggu.

“Tujuan saya biarkan seminggu sebab tinja arnab panas, kena biarkan lama dulu baru masukkan dalam pasu. Sudah cukup seminggu baru saya masukkan dalam pasu atau polibeg dan tanam pokok yang sudah disemai,” katanya.

Beliau yang mempunyai arnab belaan, menggunakan bancuhan baja AB jenis cecair yang dicurah pada pokok seminggu sekali.
“Tidak perlu banyak sangat siram, cukup sekadar separuh cawan untuk satu pokok.

“Akhir sekali sembur cuka kayu seminggu sekali pada pukul enam petang supaya daun tidak dimakan serangga perosak,” katanya yang turut dibantu suami daripada aspek bancuhan baja.

Antara tanaman menghiasi laman kediamannya ialah pokok daun sup, pak choy, kubis, daun kesum, cili, bawang besar dan tomato.

Tips penanaman

Daun sup
» Guna keratan batang yang dibeli di kedai. Potong sejengkal dan cucuk dalam tanah. Letak di tempat teduh dan jangan siram hari-hari bagi mengelakkan batang busuk. Apabila nampak tanah kering, siram renjis-renjis tanpa terkena batang pokok.

Pak choy
» Semai benih dan apabila tumbuh daun empat helai tukar medium penanaman. Asingkan satu-satu pokok masuk pasu untuk membolehkan pokok mmbesar dengan sihat.

Kubis
» Semai seperti biasa. Apabila tumbuh daun empat helai terus tukar masuk dalam pasu. Perlu disiram selalu.

Daun kesum
» Potong keratan batang daripada pokok asal dan rendam dalam air sehingga tumbuh akar. Lebih senang, campak sahaja dalam besen biar tenggelam keratan sehingga nampak akar tumbuh. Cucuk masuk pasu. Siram selalu. Biasanya, selepas tiga hari dicucuk baru pokok akan kelihatan segar.

Cili
» Semai sampai pokok naik sejengkal, baru pindahkan ke pasu.

Bawang besar

» Potong sedikit bawang besar dibahagian atas dan potong sedikit akar supaya akar baharu dapat tumbuh. Perlu rajin siram. Timbus dengan tanah separuh sahaja. Bila sudah tumbuh tunas baru tutup keseluruhan bawang dengan tanah.

Tomato
» Semai sampai keluar daun dan tinggi sejengkal, kemudian pindah pasu. Rajinkan timbus tanah sebab akar baharu akan terjojol pada permukaan tanah. Siram sehari tiga kali kerana pokok tomato cepat layu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya