PERNAHKAH tangan anda tiba-tiba sahaja lemah untuk menggenggam objek di samping rasa sakit dan kebas setelah menggunakan tetikus atau menatal skrin telefon dalam tempoh yang lama?
Jika ya, anda mungkin mengalami sindrom terowong karpal yang menyebabkan saraf di laluan lengan ke tapak tangan terhimpit.
Pakar Perunding Pembedahn Ortopedik, Trauma dan Pediatrik Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Maria Shelynn Wong, berkata sindrom terowong karpal yang menyebabkan saraf median di laluan daripada lengan ke tapak tangan terhimpit, cenderung menyerang wanita dengan kehamilan menjadi faktor penyebab yang ketara.
Situasi itu berlaku kerana semasa hamil, darah wanita melonjak sebanyak dua kali ganda, sekali gus meningkatkan tekanan dan menyebabkan bengkak pada saluran darah di seluruh badan mereka.
“Pembengkakan boleh menyebabkan pemampatkan saraf median pada pergelangan tangan lalu mengakibatkan sindrom terowong karpal.
“Sindrom itu biasanya berkurangan selepas proses kelahiran kerana paras cecair darah kembali normal,” katanya.
Beliau menasihati wanita untuk segera berjumpa doktor dan mendapatkan konsultasi dengan pakar perubatan sekiranya sakit tidak berkurangan biarpun selepas bersalin.
Trigger finger
Individu yang mengalami sindrom terowong karpal mungkin menghadapi satu lagi penyakit bukan traumatik iaitu trigger finger.
Penyakit itu berlaku apabila satu atau lebih jari mengalami kekejangan dan sensasi terkunci ketika dibengkok atau diluruskan lalu menyebabkan kesakitan.
Antara punca utama berlakunya sindrom trigger finger adalah melalui aktiviti berulang seperti memulas, memicit, menggenggam atau aktiviti tangan lain yang kuat.
Selain itu, penyakit seperti diabetes dan rheumatoid arthritis juga berpotensi menyebabkan sindrom trigger finger.
“Seperti sindrom terowong karpal, wanita hamil turut berisiko untuk mendapat trigger finger akibat pengekalan cecair dan bengkak semasa mengandung,” katanya.
Kata Maria Shelynn, pemerhatian mendapati penyakit itu lebih kerap berlaku dalam kalangan surirumah yang berulang kali mencengkam dan menggenggam peralatan dapur serta alat pembersih rumah.
“Golongan lain yang turut berisiko ialah warga emas, individu dengan pekerjaan atau hobi melibatkan kerja tangan berulang, tugasan menaip intensif atau perlu mencengkam peralatan secara berpanjangan,” katanya.
Jaga kesihatan tangan
Dr. Maria Shelynn menasihatkan wanita untuk sentiasa berwaspada dengan kesihatan pergelangan tangan mereka walaupun selepas bersalin.
Ujarnya, kekerapan mengangkat bayi dan melakukan gerakan berulang-ulang boleh membawa kepada gangguan tendon hingga menyebabkan kesakitan, bengkak dan fungsi terjejas.
“Oleh itu, penting untuk ibu-ibu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang ketegangan atau kecederaan selepas bersalin.
“Begitupun, sindrom terowong karpal tidak terhad kepada usia tua atau kepada satu punca.
“Sebaliknya boleh berlaku kepada semua peringkat umur berdasarkan aktiviti seharian mereka,” katanya.










