Sedekad KL Fashion Week, bagaimana impaknya? - Utusan Malaysia

Sedekad KL Fashion Week, bagaimana impaknya?

KLFW 2023 berlangsung seminggu berakhir Ahad ini, menampilkan 50 pereka di tujuh lokasi berbeza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDEKAD lalu Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) KLFW menyokong industri fesyen tempatan dengan memperjuangkan inovasi, penyesuaian dan kreativiti berterusan pereka.

Memasuki tahun ke-11 penganjurannya, menyaksikan format baharu KLFW yang lebih segar dengan mengambil inspirasi daripada trend semasa.

Segmen baharu turut diperkenalkan iaitu Asia Fashion Xchange akan membuat penampilan sulungnya dan ditetapkan untuk menjadi acara tahunan.

Ia sebagai sebahagian daripada usaha memupuk dan meraikan pereka dan label Asia serantau.

Pengasas KLFW, Andrew Tan berkata, Asia Fashion Xchange tahun ini bermula dengan jenama Indonesia iaitu Buttonscarves.

“Kami mengambil langkah ini kerana melihat jenama Buttonscarves banyak memberi ruang dan peluang pekerjaan di Malaysia dengan membuka lima buah butik di Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

50 PEREKA

KLFW 2023 berlangsung seminggu berakhir Ahad ini, menampilkan 50 pereka di tujuh lokasi berbeza.

Mengambil kira keadaan ekonomi hari ini, Tan mengakui ia sedikit sebanyak memberi tamparan dan cabaran kepada pihaknya dalam mencari penaja.

“Ramai yang ingin menjadi penaja tetapi untuk tahun ini kekurangan bajet kerana terkesan dengan ekonomi. Begitupun KLFW perlu diteruskan.

“Ia perlu terus berlangsung dengan mencipta peluang penggiat seni daripada jurusolek, pendandan rambut, model dan mereka yang berada di belakang pereka. Jadi, saya perlu meletakkan pereka dan fesyen Malaysia di hadapan. Kita perlu sokong pertumbuhan industri fesyen tempatan.

“Lebih daripada itu, pereka kita memiliki kreativiti tinggi selain mampu menawarkan sesuatu yang lebih kepada industri,” katanya.

Istimewa untuk edisi kali ini, KLFW ditambah baik dengan pemberian pengiktrafan kepada pereka fesyen dalam majlis Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) pada September.

KLFW menyediakan platform untuk pereka Malaysia, individu maju fesyen dan industri fesyen tempatan untuk bersatu, menghormati dan berkembang.

Antara menarik perhatian ialah kemunculan semula pereka Fairuz Ramdan, Andy Sulaiman, Ezzati Amira, ZaimiZulkafli dan Supercrew selepas berehat seketika.

Potongan sopan, gedoboh

Busana sopan, longgar dan gedoboh kian mendapat tempat dalam kalangan peminat fesyen antarabangsa.

Pereka Kreatif, Abu Shaef Hamza berkata, biarpun ada berpandangan potongan gedoboh daripada fabrik tebal bertentangan dengan erti ‘berfesyen’, namun ia bukanlah suatu yang baharu di luar negara.

“Tanpa memperlihatkan kulit dan tubuh badan, busana ini mudah menawan selera. Cuma saya agak kecewa apabila zaman sekarang orang lebih pertikaikan baju-baju yang menutup aurat berbanding seksi dan terdedah. Sepatutnya mereka perlu pertikaikan yang seksi dahulu sebelum bincangkan isu busana sopan,” katanya.

Baginya, industri perlu lebih terbuka dalam menerima rekaan yang lebih lebih longgar dan sederhana.

Abu Shaef yang juga penata gaya akan membuat kemunculan pertama di KLFW dengan membawa label Abu bagi merealisasikan 22 koleksinya yang berwarna hitam dalam potongan gedoboh tetapi bergaya.

Mengenai pakaian mencolok mata di pentas peragaan katanya, ia pilihan individu.

“Saya tetap dengan fesyen modest, edgy dan Islamik tetapi ia tidak bermaksud saya mahu semua pereka tampil dengan idea sedemikian.

“Mungkin bagi sesetengah pereka, mereka berfikiran sebaliknya dan hanya mengikut pasaran dan permintaan pelanggan yang mahu ketat dan seksi. Tapi jangan gunakan seksi itu sebagai alat pemasaran kita. Kalau ada yang pentingkan keseksian, itu mungkin pilihan audien,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN