Kuih bingka bersulam cipta kelainan - Utusan Malaysia

Kuih bingka bersulam cipta kelainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Idea meletakkan sepotong kuih bingka ubi yang kuning terang warnanya dikelilingi bunga-bungaan, pada sepasang baju mencipta keunikan yang ‘menangkap’ mata.

Bagaimanapun, ia tidak sekadar motif dalam meraih perhatian.

Lebih daripada itu ia adalah simbolik, bagaimana sesuatu sajian itu mampu bertahan dan diwarisi masyarakatnya.

Pengasas BingkaKL, Adrihana Rashid berkata, makanan menjadi tema lantaran ia menggambarkan keaslian Malaysia dan antara elemen penyatuan.
“Menarik sungguh apabila melalui makanan ia boleh diperturunkan daripada generasi ke generasi. Ia tidak akan pupus kalau kita tahu menghargainya,” katanya pada pelancaran LILIT x BingkaKL Comeback Set baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Kreatif Kumpulan Fashion Valet, Vivy Yusof.

Jenama yang diasaskan lapan tahun lalu itu bermula dengan penghasilan batik. Namun kerja renyah dan kekurangan kepakaran pembuatan batik memaksa Adrihana beralih kepada penghasilan produk cenderahati seperti beg dan tuala serta dekorasi rumah berinspirasikan budaya tempatan.

Bermula daripada situlah nama BingkaKL menjadi sebutan dan ia banyak menghasilkan kerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Nestle dan Uniqlo.

Kerjasama dengan Lilit adalah yang pertama kali dilakukan dalam penghasilan busana dalam koleksi signature Lilit – Comeback set.

Sulaman kuih bingka itu diletakkan pada bahagian lengan untuk baju manakala corak tabur untuk skirt.

KEUNIKAN JADI PILIHAN

Vivy berkata, keunikan sentiasa menjadi perhatian jenama apabila menghasilkan sesebuah kolaborasi dan BingkaKL menepati citi-ciri itu.
“Makanan sesuai dengan bulan kemerdekaan. Elemen ini menyerlahkan budaya kita,” katanya.

Ujar Vivy, Lilit gemar berkerjasama dengan pereka lain dan menyifatkan ia sebagai suatu usaha memeriahkan lagi dunia fesyen tempatan selain memberikan lebih pilihan kepada pelanggan.

“Kami terbuka dalam menjalinkan kolaborasi kerana ia salah satu cara membangunkan perniagaan khususnya daripada aspek populariti, pendedahan dan promosi.

“Sejak dibangukan empat tahun lalu, Lilit ada lima cawangan di ibu kota dan Singapura. Kami sedang dalam perancangan untuk membuka cawangan di luar ibu kota,” katanya. LILIT x BingkaKL Comeback Set boleh didapati pada harga antara RM129 hingga RM169.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN