Amin saji makanan di 13 pelantar minyak

Amin saji makanan di 13 pelantar minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN masih ada beranggapan orang Sarawak berpakaian primitif dan tinggal di atas pokok sebagaimana zaman dahulu kala.

Namun, itu hanya tanggapan dangkal bagi mereka yang tidak mengetahui atau mengenali rakyat negeri tersebut dengan lebih dekat.

Hakikatnya, sudah ramai anak kelahiran bumi kenyalang mencipta nama di pentas antarabangsa termasuk Pengarah Urusan SOCC Holding Sdn. Bhd., Amin Aznizan, 34.

Bagi Amin, kejayaan menubuhkan syarikat perkhidmatan katering di pelantar minyak bukan dikecapi dalam sehari, sebaliknya mengambil masa dan menuntut usaha keras yang tidak berbelah bahagi.

Menurut anak jati Miri itu, sifat cekal dan tidak mudah mengalah amat dituntut jika seseorang mahu berjaya dalam apa jua bidang.

“Saya pernah kerugian besar sewaktu mengusahakan produk organik berasaskan susu kambing enam tahun lalu.

“Tetapi pesan ayah, kerugian itu adalah harga yang perlu dibayar untuk mendidik kita supaya lebih bijak dan tahu selok-belok dalam dunia perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.


Amin berkata, syarikatnya kini berkhidmat di 13 pelantar dan juga kapal di perairan Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Labuan.

Beliau yang juga pengarah di syarikat pengendalian latihan keselamatan untuk syarikat minyak dan gas (O&G) turut berminat meneroka pasaran baharu di Indonesia pada masa hadapan.

Katanya, antara perkara paling membanggakan sepanjang terlibat dalam perniagaan itu ialah dapat melihat ramai anak Sarawak menjadi jurulatih kepada warga asing dalam bidang O&G.

“Sebelum ini ada segelintir yang melabel orang Sarawak duduk atas pokok dan pakai cawat, tetapi apabila saya pergi ke Arab Saudi, Singapura dan Dubai, hakikatnya orang yang pakai cawat dan duduk atas pokok itulah yang mengajar mat saleh,” katanya.

Rasa cinta pada negeri kelahirannya turut mendorong Amin membuka restoran Kedey Kamek di ibu kota yang menawarkan sajian istimewa dari bumi Kenyalang.

“Tujuan saya membuka restoran ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati keaslian hidangan Sarawak.

“Saya bangga apabila pelanggan sanggup datang ke sini untuk merasa menu Sarawak, malah ada juga yang menyatakan hasrat melancong ke sana,” ujarnya.


Dalam pada itu, Amin menasihatkan generasi muda agar tidak terikut-ikut trend menjadi pempengaruh di media sosial bagi menjana kekayaan dengan cara pantas.

Katanya, pendidikan adalah keutamaan kerana dapat menentukan tahap pemikiran dan mentaliti seseorang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN